Sebenarnya dalam keghairahan dan keterujaan nak ‘belasah’ Bro yang bijak ni, Miss Kitty macam dah tak tahu nak fikir secara rasional. Maka dia main belasah saja asalkan boleh ‘bantai’ Bro, namun Bro tak kisah sebab dah biasa dah jumpa perempuan macam Miss Kitty ni.

Macam Bro kata sebelum ini, perempuan bila angin satu badan mulalah berhujah-hujah, kadang kala perumpamaan yang digunakan tidak sesuai sama sekali tetapi dia orang bak dialog filem P.Ramlee, “hentam sajalah’’.

Bila Bro fikir-fikirkan, Bro berpendapat Miss.Kitty salah tafsir antara perang dengan perang, ejaan sama tetapi maksud dan sebutannya berbeza. Apa yang Bro tahu dan selalu tengok gelagat perempuan ialah mereka hanya tahu perangkan rambut sebab tu sesetengah perempuan nampak macam skunk - sejenis malaria yang dikenali dengan keupayaannya untuk merembeskan cecair yang berbau busuk.

Rambut hitam elok-elok letak warna-warna yang bukan-bukan, sekali lihat patung beruang lagi cantik. Malah ada pula rambut dicalitkan warna putih, sekali pandang macam sifu filem kung fu pula. Tetapi dia orang perasan cantik dan rasa bangga bila orang tengok.

Satu lagi yang Bro tahu perempuan pasal perkataan ‘perang’ ialah bergaduh sesama sendiri dan ‘mengamuk’ kat rumah. Pada zaman teknologi ini laman sosial jadi sasaran untuk perempuan lepas geram atau berperang. Kalau baca mesej-mesej apabila mereka bergaduh, hantu raya pun boleh lari. Tetapi kalau betul-betul berperang guna peluru, bom, meriam dan segala ‘mak nenek’ senjata, mimpi Miss Kittypun tak singgah.

Tetapi Bro tak hairan dengan kenyataan Miis Kitty tu sebab dah biasa dah dengan perangai perempuan, cakap lain buat lain, luar lain dalam lain.

Bila cakap bab ni, baru-baru ni Bro melancong di Pulau Pinang tetapi Bro ni bukan macam perempuan kat mana singgah kat situ nak swafoto lepas tu posting dalam Instagram la, Facebook la, Twitter la, menyampah Bro tengok. Minum teh tarik dengan roti canai pun ambil gambar. Kelakarkan!

Ketika berada di Pulau Mutiara itu, Bro singgah di sebuah stesen minyak, Bro letak kereta sebelah seorang pemandu berpurdah, dah tentulah perempuan kan, tak kan lelaki pulak pakai purdah. Alhamdulillah sejuk hati tengok tetapi Bro terkejut bila tengok dia selamba aje campak sampah keluar kereta. Inilah perangai perempuan pakaian dah okey, perangai pula ‘KO’. Yang Bro terkedu kat kereta dia siap lekat lagi tertulis ‘Allah melihat apa yang anda lakukan’ dan paling kelakar ‘Jangan buang sampah merata-rata’.

Inilah perangai perempuan cakap tak serupa bikin. Patutnya dah berpakaian macam tu jagalah tata susila supaya orang tak pandang negatif, namun Bro ni baik, Bro anggap itu kes terpencil, lagipun dalam keadaan tak ada modal Miss Kitty pasti akan guna hujah tu.

Bagaimanapun ramai lagi perempuan cakap lain buat lain, itu tak kira lagi di depan manisnya mulut bila bercakap kat belakang bahasa macam mak lampir. Jadi nasihat Bro kepada perempuan-perempuan pastikan niat kita sama dengan perbuatan supaya tak timbul prasangka. Tetapi Bro tak terkejut kerana ramai perempuan memang suka ‘berlakon’. Okeylah jumpa lagi dalam coretan seterusnya.

Bro Tompok - Sentiasa bersangka baik.