Entahlah. Abang hensem malas layan apabila diajukan soalan, mengapa dia cam tu hah?

Apa sebabnya hingga si polan ni sanggup mengeluarkan suatu komen dangkalnya yang begitu menyentuh sensitiviti orang Islam, abang hensem pun tak mengerti dengan fiil nya ni.

Tapi abang hensem percaya ramai pembaca akhbar ini pasti sudah ketemu dengan orang yang mulutnya tak ada insurans ni dalam kehidupan mereka.

Abang hensem nak petik sikit kata-kata hikmah Prof. Dr. Hamka, seorang penulis dan ulama terkenal Indonesia ini. Kata Allahyarham: “Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan pada wajah dan pakaiannya.”

Ungkapan ini memberi gambaran amat bermakna bahawa ilmu pengetahuan dan adab yang mulia sangat penting dalam kita menjalani kehidupan ini. Ilmu pe­ngetahuan merupakan inti pati utama bagi pembangunan bangsa yang kuat dan dihormati dengan disertai adab yang baik untuk saling melengkapi.

Wah! Berfalsafah pulalah abang hensem kali ini, tidak seperti selalu kan dalam ruangan santai ini yang gemar berleterkan orang perempuan.

Tapi memang abang hensem serius dan nak ingatkan korang ke­rana mulut badan binasa (walaupun abang hensem tak ‘faham sa­ngat’ kenapa santan bi­nasa kerana pulut). Mu­lut yang boleh bercakap dan mengeluarkan suara adalah antara nikmat hidup yang tidak ternilai har­ganya kepada manusia yang tahu menghargainya. Barangkali abang hensem tidak perlu menyenaraikannya satu persatu di sini.

Cuma, salah satu tanda syukur manusia kepada nikmat itu ialah menjaga lidah yang berada di dalam mulut itu agar terpelihara daripada kebinasaan yang berpunca darinya. Sama ada kebinasaan secara terus di dunia ini atau kebinasaan akhirat yang dijanjikan dengan api ne­raka.

Lumrahnya apabila sesuatu itu memberi kesan kepada emosi kita, maka terkeluarlah ayat-ayat yang berbaur emosi. Ketika itulah tanpa kita sedari nafsu menguasai akal.

Pernah dengar tak kata segelintir orang, ada orang yang mulut jahat tapi hatinya baik? Abang hensem selalu juga dengar ayat begitu. Tapi abang hensem dengan cepat patahkan ‘hujah’ itu dengan ayat begini, “Siapa yang ikut Nabi akan dapat kasih sayang Allah. Setiap apa yang dipaparkan dari mulut adalah apa yang terdetik dari hati. Tidak ada yang dinamakan mulut jahat tapi hati baik.

Tidak ada juga yang dikata mulut jahat berasal dari keturunan. Jika kita buat dosa, jangan salahkan orang lain atau keturunan. Salahkan diri sendirilah.

Bercakaplah yang baik-baik. Atau lebih baik diam. Diam menyelamatkan daripada fitnah dan menyelamatkan diri dari masuk neraka. Kebanyakan daripada sangka buruk itu adalah dosa. Jangan mencari-cari keaiban orang lain.

Percakapan yang baik juga sebenarnya satu sedekah tau. Itu yang abang hensem diajar sejak kecil. Setiap ruas kita ini adalah sedekah. Sedekah yang paling tinggi ialah mengucap kalimah syahadah. Sedekah paling rendah adalah membuang sesuatu di jalanan. Semua ini adalah sedekah. Sedekah dengan ucapan ini juga adalah sedekah yang sangat sempurna.

Kepada sesiapa yang pernah ‘terkena’ dengan si mulut tak ada insurans ini, kesabaran pun ada hadnya kan?

Cuma abang hensem nak kongsi, tak semua kesakitan boleh dibalas dengan kesakitan juga. Tidak semua fitnah boleh dibalas dengan kebenaran. Tidak semua kebencian boleh dibalas dengan kebencian juga.

Barangkali atas banyak sebab. Mungkin kerana kita orang yang tiada apa-apa. Kerana kita tiada kuasa. Kerana kita di pihak yang lemah dan seumpamanya lagi.

Kepada yang selalu tidak pandai `jaga mulut dan lidah’, sedarlah juga. Lambat laun kau juga akan terkena juga.

Ingatlah. Kehidupan ini ada dua. Dunia dan akhirat. Sebab itu untungnya ada akhirat.

Beremosi pula lah abang hensem minggu ini ya.

Abang hensem nak petik jugalah pepatah Arab yang menyebut: “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya. Bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan bajunya.”

Tanyalah jauhari manakah manikamnya. Mungkin Jauhari tahu!!!