Persatuan-persatuan yang menandatangani aku janji bersama Kementerian Sumber Manusia itu adalah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA) dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO). Kita percaya jika masih ada hotel yang degil dan tidak mematuhi aku janji ini maka pihak kerajaan boleh mengenakan hukuman berat kepada operator hotel ber­kenaan.

Dalam hal ini aspek pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa cukup penting bagi memastikan semua operator hotel mematuhi aku janji tersebut dan juga berharap jika diskriminasi ini masih berlaku pekerja yang menjadi mangsa tampil ke hadapan membuat laporan kepada pihak berkuasa. Jangan lagi takut untuk mempertahankan hak dan maruah anda!

Tatkala lega dengan perkembangan positif ini penulis tertanya-tanya kenapa perkara seumpama ini boleh berlaku di Malaysia. Ironinya, sebagai peringatan bersama jangan lupa bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mematerikan agama Islam adalah agama bagi Persekutuan dan diiktiraf sebagai agama rasmi negara ini. Malah umat Islam juga adalah penduduk majoriti negara ini.

Jadi kedudukan dan darjat agama Islam di negara ini sepatutnya tidak dijadikan mainan atau diperlekehkan sesuka hati oleh mana-mana pihak atas apa jua alasan, justifikasi mahupun tujuan sekali. Jika itu berlaku maka dengan jelas perbuatan tersebut melanggar undang-undang negara ini. Sepatutnya tidak boleh ada sebarang kompromi dalam soal ini.

Dalam konteks ini, kita perlu faham dan jelas dengan apa yang dimaksudkan menghina agama Islam atau tidak menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi. Tindak tanduk menyekat umat Islam menuruti perintah dan ajaran Islam seperti memakai tudung dan menutup aurat adalah satu contoh perbuatan menghina agama Islam yang sangat jelas. Begitu juga de­ngan larangan atau sekatan untuk menunaikan solat mahupun perkara-perkara lain seperti isu laungan azan sebelum ini.

Jadi sekali lagi penulis terta­nya-tanya apakah pihak hotel yang selama ini melarang wanita Islam memakai tudung tidak sedar yang mereka sebenarnya tidak menghormati peruntukan undang-undang tersebut yang dengan jelas menghina agama Islam atau sengaja buat-buat tidak tahu?

Hakikatnya isu larangan pemakaian tudung di hotel ini hanyalah salah satu contoh yang memperlekeh kedudukan agama Islam yang mana selama ini sudah terlalu banyak peristiwa yang dengan jelas menghina dan memperlekeh kedudukan dan kehormatan agama Islam telah berlaku di Malaysia.

Dari soal halal dan haram makanan, larangan terhadap amal ibadat sehinggalah kepada isu pemakaian tudung seperti ini sudah banyak kes memperlekeh agama Islam dilaporkan dan ­ironinya ia masih terus berlaku. Jadi kita risau apakah generasi yang ada pada hari ini semakin buta sejarah dan begitu sukar untuk menghormati undang-undang sedia ada.

Golongan muda sekarang pula lebih suka buat hal masing-ma­sing dan menghabiskan masa de­ngan gajet serta media sosial. Soal agama, bangsa dan perpaduan dilihat gagal untuk menarik minat dan perhatian mereka sekali gus mereka tidak peduli tentang soal ini. Ringkasnya, anak muda Islam seolah-olah sudah tidak peduli bila ada orang menghina dan memperlekeh agama mereka.

Sikap seperti ini boleh menghancurkan negara ini suatu hari nanti. Jadi adalah menjadi tanggungjawab setiap seorang daripada kita yang masih sayangkan agama, bangsa dan negara untuk mem­betulkan situasi ini sebelum menjadi semakin parah. Didiklah anak-anak supaya faham dan jelas dengan tanggungjawab mereka terhadap agama, bangsa dan negara. Dalam pada itu kepada individu dan kelompok yang sengaja mahu mencetuskan konflik agama dan perkauman dengan melakukan pelbagai tindakan dan provokasi sehingga menggugat kedudukan agama Islam serta menyakitkan hati umat Islam, disarankan hentikanlah perbuatan tidak berfaedah ini. Ingat jangan bermain dengan api takut membakar diri nanti.

Dalam konteks ini, kita wajar ambil iktibar dengan apa yang sedang berlaku di dunia luar yang menyaksikan pergolakan dan pertelingkahan sesama rakyat akibat daripada perbezaan anutan agama serta ideologi politik yang akhirnya menghancurkan negara mereka. Ini juga akhirnya mengundang campur tangan asi­ng yang mengambil kesempatan dan terus memusnahkan negara terbabit.

Apakah kita mahu menjadi seperti penduduk Islam Rohingya dan Palestin yang hidup merempat di negara sendiri? Tepuk dada dan tanya diri masing-masing. Jangan suatu hari nanti anak cucu kita hanya mampu membaca dalam buku sejarah bahawa agama Islam pernah menjadi agama rasmi negara ini.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).