Filem Paskal adalah cerita yang fokus pada tugas-tugas pasukan itu dalam membanteras musuh di lautan. Itu saja. Barulah kita boleh faham bagaimana pengorbanan dan kekuatan Paskal.

Tetapi sebenarnya bukan akak cun nak bercerita pasal filem Paskal ini. Cuma bila melihat pelakon-pelakon utama dalam pasukan itu yang hensem-hensem semuanya akak cun teringat kata-kata seorang kawan lelaki akak cun, jangan terperdaya apabila melihat lelaki berbadan sado dan nampak macho, cuba letak lipas di kakinya, mungkin ada yang tak cukup tanah berlari. Apatah lagi lipas itu terbang pula.

Yakah? Ramaikah orang lelaki yang begini?

Selalunya, yang takut lipas, tikus atau cicak ini adalah orang perempuan, tetapi kalau lelaki yang takut, ini nak letak dalam kategori lelaki lembut ke, tak kuat semangat atau lelaki sweet?

Bukan setakat lipas, ada ramai juga lelaki sebenarnya takut dengan haiwan peliharaan seperti kucing. Yang ini memang akak cun selalu jumpalah. Masa makan di restoran mamak, bila kucing datang, ada lelaki yang kalau boleh mahu mengangkat kakinya ke atas kerusi atau naik atas meja!

Tak kurang juga lelaki yang melatah apabila nampak kucing dan cuba menyembunyikan rasa cemas yang memang nampak ketara sangat.

Ada juga akak cun lihat video-video yang viral di media sosial, mengenai lelaki yang takut kucing. Memang ketawa guling-guling bila melihatnya, tetapi kasihan pun ada, macam hendak putus nyawa nampaknya.

Orang yang fobia dengan kucing ini disebut ailurophobia atau felinophobia. Sebab apa takut? Mungkin dia rasa kucing yang comel itu, boleh makan dia atau jelmaan harimau.

Akak cun sebenarnya pun ada pengalaman bersama rakan lelaki sekerja di tempat letak kereta di pejabat masa balik kerja. Bila tiba-tiba kami disergah seekor anjing, yang lari dulu adalah kawan akak cun itu. Memang hampaslah! Ingatkan bolehlah akak cun harapkan dia melindungi akak cun. Ini terbalik pula, akak cun yang ambil batu dan baling anjing itu.

Akak cun pun pernah melihat seorang lelaki meminta tolong orang lain, menghalau cicak yang ada di depan cermin keretanya. Sanggup dia berhenti semata-mata tidak tahan melihat cicak itu yang agaknya asyik merenungnya sedang memandu. Akak cun ingatkan ada apa-apa kecemasan dia berhenti di tepi jalan. Rupa-rupanya, hanya sebab seekor cicak.

Bayangkanlah, kalau suami atau teman lelaki anda menjerit minta isteri atau teman wanitanya menghalau lipas, tikus, anjing atau kucing. Agak-agak dalam waktu-waktu kecemasan lain yang tidak melibatkan binatang atau serangga ini, siapa yang sepatutnya melindungi siapa? Ini menarik juga untuk difikirkan bila ada masa lapang.