Pedulikan negara asing hendak guna nama "Malacca". Ter­lampau lama kita membenarkan nama itu mengikut sebutan penjajah Inggeris. Kita sudah 60 tahun merdeka, jadi semua pihak perlu akur dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka pada 3 Mei lalu.

Semua akhbar dan media sama ada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris atau bahasa lain hendaklah menggunakan nama Melaka dalam penulisan atau sebutan pada setiap penerbitan mereka.

Yakinlah, lama-kelamaan pihak negara luar pun akan ikut ejaan dan sebutan nama Melaka ini.

Untuk mendaulatkan dan mengangkat nama Melayu ini kena ada kesungguhan politik juga. Melaka sudah melakukannya.

Bila lagi pihak kerajaan negeri bawah Barisan Nasional (BN) dan parti lain bukan BN, termasuk kementerian, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan hendak mengambil langkah hampir serupa pada nama program dan nama tempat dalam bahasa asing di bawah kuasa masing-masing?

Penat sudah pejuang bahasa menjerit supaya penggunaan nama tempat dan nama singkatan pada dasar atau program kerajaan menggunakan istilah Melayu. Tetapi siapa yang peduli. Pemimpin Melayu sendiri pandang rendah bahasanya sendiri. Mereka sendiri mengiyakan bahasa Melayu seolah-olah tidak ada kelas ekonomi.

Sudah lebih enam bulan berlalu... lupakah kita pada teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah terhadap sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menghormati status bahasa kebangsaan, dengan memberi contoh nama pusat komersial dan taman perumahan menggunakan bahasa Inggeris serta asing.

Sultan Nazrin juga kecewa dengan syarikat besar yang diterajui orang Melayu yang semakin meminggirkan bahasa kebangsaan, sehingga bahasa Melayu hilang nilai komersial.

Sesetengah syarikat berkaitan kerajaan sekarang semakin galak beralih kepada bahasa Inggeris dalam menjenamakan program dan produk masing-masing.

Tak perlu disebut dalam ruangan kecil ini, sebab tidak muat kalau diberi contohnya. Agak terkilan, ia dilakukan oleh agensi kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu – banyak wang dibelanjakan untuk menjenamakan program yang guna nama asing. Sedangkan golongan sasarannya ialah rakyat Malaysia sendiri.

Tidak ada salahnya kalau pro­gram besar itu guna nama Me­layu. Tidak siapa kisah, tapi orang kita sahaja yang malu guna na­ma Melayu. Lepas ini usah kita berpura-pura melaungkan bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan. Sebab, sedikit demi sedikit peranan bahasa Melayu sebagai penyatu rakyat Malaysia diketepikan oleh kita sendiri.


Taksub bahasa asing

Adakala rasa sedih dan takut bila melihat kedudukan bahasa Me­­layu semakin dipinggirkan oleh pihak yang sepatutnya punya kuasa untuk mendaulatkan bahasa ke­bangsaan ini pada tempat yang se­patutnya.

Tetapi kita tak peduli kerana terlampau taksub bahasa asing itu lebih menguntungkan. Tanpa kita sedar – pada masa akan datang nama dalam bahasa Melayu akan terpadam dengan sendiri pada fikiran generasi akan datang. Terpulanglah, kalau itu yang pemimpin kita mahu.

‘Ancaman’ pada nama-nama yang berasaskan Melayu berlaku dalam segenap kehidupan kita sekarang. Selain nama-nama program yang berunsur bahasa Inggeris atau bahasa asing lainnya, hari-hari kita akan menatap nama-nama yang pelik tetapi yang itu yang kita banggakan.

Lihatlah nama-nama kondominium atau projek perumahan sekitar bandar besar dan nama-nama pusat beli-belah. Semakin kurang pemaju projek yang sudi mengambil nama Melayu. Pihak yang melulus nama projek pun bagaikan tiada kuasa, hanya menurut kehendak pemaju.

Tak perlu lihat tempat yang jauh, di ibu negara kita pun sudah nampak seperti negara asing. Pelancong asing yang datang ke Kuala Lumpur pun tersenyum lihat nama tempat di ibu kota kebanggaan rakyat Malaysia ini sudah meniru nama tempal asal mereka.

Kalau kita melancong ke Eropah, atau paling dekat Thailand dan Indonesia, adakah kita temui banyak nama tempat menggunakan nama asing? Mungkin ada juga tetapi tidaklah seperti Malaysia, ada sahaja projek baru, mesti tidak tinggal nama asing.

Nak cari perkataan kampung atau village di negara Eropah jangan haraplah. Tapi kita ada nama village yang tidak meng­gambarkan suasana kampung pun.

Hakikatnya nama tempat di Kuala Lumpur semakin kebaratan. Sudah elok sesebuah tempat itu dikenali dengan nama Melayu, kini diubah dengan nama baharu lagi asing apabila kawasan itu dimajukan atas nama perdagangan.

Kalau Kerajaan Negeri Melaka boleh memutuskan penggunaan nama “Malacca” dibatalkan, agak-agak sebagai permulaan bo­lehkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengambil langkah serupa?

Sebagai permulaan mungkin nama-nama bangunan di kawasan komersial yang berbaur penjajah ditukar dengan nama bercirikan Malaysia. Misalnya KL Sentral, Pudu Sentral, Bukit Bintang City Centre, Sunway Velocity, Bangsar South, Sentul West dan banyak lagi.

Fikir-fikirkan jika tidak diambil langkah membetulkan apa yang patut dibetulkan, kawasan-kawasan berkenaan bagaikan bu­kan untuk rakyat Malaysia.

Apa pun hasrat mengubah nama ini bukan mudah tetapi kalau ada kesungguhan politik dan sokongan, tidak ada apa yang boleh menghalangnya.