Kelahiran bayi itu hanya didaftarkan dua tahun kemudian menerusi prosedur pendaftaran lewat. Pasangan suami isteri itu memohon agar nama bapa dimasukkan dalam pendaftaran sebagai ayah kepada bayi berkenaan. Bagaimanapun, apabila sijil kelahiran dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 6 Mac 2012, nama “Abdullah” dinyatakan sebagai ayah kanak-kanak itu. Terkilan dengan perkara itu, mereka memohon pembetulan dibuat dengan memasukkan nama bapanya sebagai ayah bayi itu.

Pada Februari 2015, permohonan untuk membetulkan nama bapa ditolak JPN berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan anak tidak sah taraf tidak boleh dibin/bintikan kepada nama bapa anak itu atau individu yang mendakwa ayah kepada kanak-kanak berkenaan. Terkilan dengan keputusan itu, mereka merujuk kes mereka ke mahkamah. Pada 25 Julai 2017 lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa bayi yang lahir itu boleh dibinkan kepada bapanya sebagai ayah.

Menurut mahkamah, fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu “hanya melibatkan pentadbiran undang-undang Islam atau hukum syarak” dan tidak ada kena-mengena dengan tugas Ketua Pengarah Pendaftaran Negara mendaftarkan kelahiran dan kematian di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Mahkamah Rayuan turut menegaskan bahawa “fatwa bukan undang-undang” dan “tidak mempunyai kuasa undang-undang”. Selain itu, fatwa tidak boleh dijadikan asas undang-undang bagi Ketua Pengarah Pendaftaran Negara untuk memutuskan nama bapa anak tidak sah taraf menurut seksyen 13A (2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299). Menurut mahkamah, fatwa tidak mempunyai kuasa undang-undang melainkan fatwa itu di­terima atau diguna pakai sebagai undang-undang Persekutuan menerusi Parlimen, yang mana fatwa menjadi sebahagian undang-undang Persekutuan tanpa perlu melalui proses perundangan.

Kata mahkamah lagi, Seksyen 13A (2) Akta 299 itu tidak memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Pendaftaran Negara untuk menolak hasrat seorang ayah yang mahukan seorang kanak-kanak dinisabkan kepada namanya. Juga tidak ada peruntukan yang memberinya kuasa untuk memutuskan sendiri nama bapa kanak-kanak itu ‘Abdullah’.

Dalam keputusan mahkamah setebal 29 muka surat, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli menyatakan bahawa bidang kuasa Ke­tua Pengarah Pendaftaran Negara adalah sivil dan terhad kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak telah me­menuhi keperluan berdasarkan Akta 299 yang meliputi anak tidak sah taraf Islam dan bukan Islam.

Menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan itu, seorang pengamal undang-undang tempatan (individu Melayu beragama Islam) dipetik sebagai berkata: “Salah bagi umat Islam jika tidak mengikut fatwa, tetapi JPN bukan orang yang beragama Islam. Ia jabatan kerajaan.”

Seorang mufti negeri terkilan dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Menurut beliau: “Hukum Islam tetap hukum Islam. Ia wajib dipatuhi oleh seluruh umat Islam, sekali pun undang-undang dunia menolaknya.”

Seorang Ketua Penerangan sebuah parti politik tempatan juga mempersoalkan keputusan itu. Menurut beliau, Mahkamah Rayuan sepatutnya merujuk kepada Seksyen 110 hingga 119 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 mengenai sah taraf anak kerana ia jelas menggariskan siapa yang dikaitkan sebagai bapa bagi agama Islam.

Menurut Seksyen 110 Akta 1984 ini: “Jika seseorang perem­puan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah.”

Bagi Johor (andainya kita memilih negeri di mana perkahwinan sepasang suami isteri ini dilangsungkan dan bayi dilahirkan), peruntukan berkaitan adalah Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003, yang sama kandungannya dengan Seksyen 110 Akta 1984 bagi Wilayah Persekutuan.

Seorang peguam syarie berkata, kalau pun betul (mengikut pandangan Mahkamah Persekutuan) bahawa fatwa mengenai anak tak sah taraf yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan “bukan undang-undang” dan tidak perlu dipatuhi, kenapa mahkamah tidak mengambil kira akta (bagi wilayah persekutuan) atau enakmen (bagi Johor) yang disebutkan di atas?

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mencadangkan agar Akta 299 disemak semula bagi maksud dibuat pindaan. Beliau menjelaskan mana-mana peruntukan dalam akta itu yang bertenta­ngan dengan hukum syarak perlu dipinda supaya tidak lagi terpakai kepada warganegara ini yang beragama Islam.

Katanya, kerajaan boleh mengambil tindakan lain seperti tidak mengehadkan bin kepada Abdullah. Ia boleh juga dibinkan dengan Abdul Rahman, Abdul Rahim ataupun apa-apa nama lain yang sesuai untuk mengelak stigma negatif pada anak.

Zainul menambah bahawa Akta Undang-undang Keluarga Islam sewajarnya menjadi panduan kepada undang-undang lain kerana ini adalah satu undang-undang khusus bagi umat Islam di negara ini, manakala Akta 299 adalah satu undang-undang umum yang terpakai kepada semua. Saya setuju.

Mengikut maxim undang-undang “generalia specialibus non derogant”, suatu undang-undang yang umum mesti beri laluan kepada undang-undang yang khusus. Maxim ini telah dipakai oleh mahkamah kita sejak dulu lagi dan terbaharu telah dipetik oleh Mahkamah Persekutuan (Zulkefli Ali HMP) dalam kes Majlis Agama Islam Selangor lwn. Bong Boon Chuen & Ors (2009).

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.