Duit memang tak pernah cukup, kecuali mereka yang bersyukur. Bercakap tentang syukur, perkongsian seorang netizen Facebook (FB) ini membongkar sikap tamak seorang kenalannya.

Kisah benar seorang rakan netizen yang dahulunya penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kini menjadi peniaga nasi lemak berjaya. Hanya meniaga di tepi jalan dengan satu khemah tetapi mampu meraih pendapatan RM15,000 sebulan, ada masa cecah dua kali ganda!

Saya yakin rakan netizen berusia 32 tahun itu telah memanfaatkan wang BR1M sebagai modal perniagaan nasi lemak kukus ready packednya. Ini antara bukti BR1M mampu meningkatkan taraf hidup rakyat, bukan ‘rasuah’ seperti didakwa sesetengah pihak.

Khabarnya, si peniaga itu kecewa kerana tidak lagi mendapat BR1M (dahulunya layak kerana bekerja sendiri dengan pendapatan RM700 sebulan). Malah dia mempersoalkan ketidakadilan kerajaan kerana terus memberi BR1M kepada rakannya yang juga sudah berjaya dalam bisnes kuetiau dengan pendapatan RM30,000 sebulan.

Dikatakan peniaga nasi lemak itu tetap mahukan BR1M untuk membiayai yuran keahlian kelab kesihatannya! Kisahnya itu mengundang kemarahan netizen lain dan me­nganggap BR1M diterima kedua-dua peniaga itu kelak sebagai haram kerana sudah dikira seperti mencuri hak orang yang lebih memerlukannya.

Adat manusia, tak pernah puas dengan apa yang ada. Seringkali kita mempertikaikan apa yang tidak ada, bukan apa yang telah dinikmati. Kisah gaji guru di Malaysia yang dijadikan penanda aras seorang pak supir di Bandung menarik untuk direnungi.

Seperti dikongsikan seorang lagi netizen FB, pak supir berkenaan terus melafazkan ‘Alhamdulillah’ dan memuji kebaikan kerajaan Malaysia apabila dimaklumkan bahawa gaji pendidik Malaysia mencecah lebih RM2,000 sebulan (termasuk elaun).

Komen pak supir, dalam apa jua situasi ujian kehidupan, kita perlu sentiasa bersyukur. Nasihatnya berasas kerana gaji isterinya sebagai guru di Indonesia hanya Rp180,000 iaitu bersamaan RM60 sebulan.

Benar, desakan hidup ada kala mencabar kesabaran seseorang. Namun, bukan alasan kepada mereka yang terkesan mengambil langkah drastik untuk kelangsungan hidup termasuk melakukan penipuan overtime, pecah amanah, rasuah, jual dadah dan sebagainya.

Jika itulah faktor yang ‘menghalalkan’ kita untuk melakukan perbuatan tersebut, apa pula alasan jerung-jerung besar yang dicekup kerana penyelewengan? Apakah kehidupan mereka juga terdesak sebagaimana golongan miskin?

Keberkatan rezeki bergantung kepada penerimaan individu. Jika bersyukur, ia tetap mencukupi biarpun gaji kecil. Teringat saya kisah lelaki mengadu kepada Imam Syafie tentang kesempitan hidup dialami dengan upah gaji lima dirham.

Sehinggalah upahnya dikurangkan kepada tiga dirham seperti dianjurkan Imam Syafie, baharulah lelaki itu berasa lapang. Jelas imam berkenaan, kelebihan dua dirham itu te­lah mencabut keberkatan harta dimiliki lelaki itu selama ini.

Bila gaji diterima tidak seimbang dengan kerja bermakna kita sudah menerima harta yang bukan hak kita. Ini semua akan menjadi penghalang kepada keberkatan harta. Harta yang tidak berkat akan mendatangkan permasalahan hidup. Sekalipun wang banyak, hidup suami isteri berantakan, anak-anak tidak mendatangkan kebahagiaan, hubungan dengan rakan dan jiran tidak baik, kenderaan bermasalah dan lain-lain.

Sebaik-baiknya, harta yang kita ada berbahagi-bahagilah kepada yang lain walaupun sedikit. Islam sendiri me­nganjurkan, bersedekah tidak perlu tunggu kaya, dan jika mahu kaya, perbanyakkan sedekah. Jangan sesekali mencuri atau menyekat hak orang.

Hidup jangan terlalu ‘berkiblatkan’ duit. Elak meru­ngut keterlaluan kerana ditakuti nanti kita jadi umat yang tidak tahu bersyukur disebabkan banyak sangat komplen. ­Paling penting, bersangka baiklah dengan pemberian-Nya, pasti hidup selamat.