Sesuatu yang Tumpang lalu gemari dengan veteran politik ini ialah Rais orangnya yang suka berterus terang. Sejak dulu lagi, perwatakannya begitu - baik semasa dalam UMNO mahupun selepas masuk parti Bersatu.

Bertemu Rais di Wisma Packer 195, pejabat guamannya di Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara Rabu lalu, banyak yang kami perbualkan. Rais menjawab setiap soalan yang ditanyakan.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan itu memberi ulasannya tentang UMNO selepas presiden parti itu dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini. Rais turut menegur ‘kepincangan’ dalam kerajaan Pakatan Harapan terutama berkisar kerenah menteri-menteri dari Bersatu.

Terkedu juga Tumpang lalu mendengarnya. Rais ‘mengolahnya’ dalam pertemuan singkat 30 minit dengan Tumpang lalu. Berikut olahan Rais:

UMNO telah tiada?

Umum tak mengetahui secara terperinci kedudukan kewangan UMNO sama ada sebahagian besar peruntukan kewangannya dikaitkan dengan wang haram punca 1MDB. Hanya Perdana Menteri dan Peguam Negara atau Polis Diraja Malaysia yang lebih tahu. Kalau itu salah satu faktanya, memang UMNO boleh dianggap kesusahan amat sangat oleh kerana akaun yang disyaki sabit dengan Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram dan Pen­cegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) boleh ditutup, digantung atau tidak dioperasikan. Sebaliknya jika wang itu tidak bersabit dengan 1MDB, kesukaran yang didapati UMNO ialah membuktikannya. Dan hanya Datuk Seri Najib Tun Razak atau Dr. Ahmad Zahid boleh terangkan hal ini.

UMNO mesti bangkit cepat

Di Parlimen ahli parlimen UMNO tak bangkit kecuali dua atau tiga orang untuk terapkan imej baharu bagi pembangkang. Sementara Ahmad Zahid menghadapi dakwaan-dakwaannya itu, kumpulan lain sama ada Khairy Jamaluddin mesti bangkit dan menerpa ke depan secara pembangkang. Ini bererti UMNO kena buat investigative penelitian terhadap pihak-pihak tertentu. Antaranya, membuat anggaran tentang keperluan grassroot atau anak buah di bawah. Gerak kerja berhubung pembentukan nukleus pemimpin atasan juga tak nampak.

Katak lompat atau on block?

Sekadar untuk mengambil pemimpin-pemimpin UMNO khasnya ahli-ahli Parlimen masuk Bersatu, ini angan-angan yang biasa. Sesiapa pun jadi ahli politik dalam suasana sekarang faham itu. Cuma tak cukup masa untuk tarikan ahli parlimen terus lompat begitu sahaja. Ini disebabkan mereka jaga juga reputasi peribadi masing-masing. Bimbang dikatakan sebagai ‘katak lompat’.

Kerusi Bersatu kecil

Sesungguhnya jika Bersatu tak mengembangkan kerusi Parlimennya, maka realiti politik, PKR seterusnya DAP akan menjadi penentunya, Jarak kerusi antara Bersatu dengan PKR cukup besar, yakni melebihi 30 kerusi dan DAP pun begitu. Inilah salah satu isu membebankan pimpinan Bersatu.

‘Pancing’ kerana menteri lemah?

Menteri-menteri dari Bersatu memang saya (Rais) akui sangat berada di tahap rendah. Bukan sahaja dari segi penentuan dasar, tetapi juga kaedah melaksanakan sesuatu perkara. Kementerian-kementerian utama seperti Pendidikan (diterajui Dr. Maszlee Malik) dan Pembangunan Luar Bandar (Datuk Seri Rina Mohd. Harun) kelihatan tidak dapat melaksanakan kerja yang mana rakyat menaruh keyakinan besar. Inipun diakui oleh Dr. Mahathir sendiri. Jadi, cadangan salah seorang wartawan veteran (Datuk A. Kadir Jasin) untuk ‘menyekolahkan’ mereka itu amat baik. Ia bukanlah sekolah dalam bentuk kelas tapi latihan itu mesti wujud.

Kejar peribadi atau dasar?

Beberapa menteri Bersatu tak dapat membezakan antara dasar dengan perbuatan harian. Ego mereka agak tinggi. Antaranya panggilan telefon dan surat tak berjawab. Apabila dikemukakan pandangan, mereka melenting. Ini tanda-tanda tidak teguh pada sesuatu parti yang memerintah. Jadi, amatlah baik sekiranya para menteri dari Bersatu diberi serlahan secara langsung. Tidak boleh lagi berselindung di bawah teguran begitu sahaja. Mereka harus duduk di depan, mendengar apa yang Dr. Mahathir mahukan. Baru ada perubahan.

Kasut hitam, stoking

Kerenah menteri-menteri dari Bersatu ini sebenarnya faktor yang membebankan Bersatu sebab output atau produktivitinya tidak ada. Orang kampung menantikan Kementerian Pembangunan Luar Bandar sekarang menghuraikan perkara yang akan diberi atau diutamakan.

Kementerian Pendidikan pula, rakyat nak tahu apa dasar yang hendak diutamakan, takkanlah kasut hitam dan stoking. Saya tak mahu apologetik untuk memperkatakannya. Mereka ini harus terima bimbingan secara langsung dari Dr. Mahathir jika hendak survive.

Menteri DAP emphatic?

Berbeza dengan yang lain, menteri-menteri dari DAP cukup emphatic (menyatakan sesuatu secara tegas dan jelas) walaupun tidak semua betul. Mereka tahu apa yang mereka mahukan dan ada agenda yang tidak diumumkan.

Kementerian Pengangkutan (diketuai Anthony Loke) misalnya, kecenderungannya lebih kepada grab dan tidak kepada teksi, sedangkan Dr. Mahathir sudah beri arahan agar diadakan common ground atau arahan-arahan am yang tidak menyebelahi kuat sebelah pihak.

Tunaikan manifesto

Kerajaan PH masih kena balik kepada manifesto. Dan waima apa pun yang Dr. Mahathir sebut pasal manifesto, itulah janji-janji kepada rakyat. Ia mesti ditunaikan setakat yang nampak praktikal. Ini memang boleh dilakukan dalam semua perjanjian. Ada jalan keluar bagaimana untuk bincang balik supaya sedikit margin diturunkan.

Prestasi menteri-menteri besar Bersatu?

Menteri Besar di Perak (Ahmad Faizal Azumu) harus berhati-hati dalam dasar-dasar berkaitan tanah. Mesti menonjolkan sesuatu yang teguh kepada kepentingan semua dan tidak nyatakan sesuatu yang hanya popular.

Bahana eksperimen

Ramai orang muda dalam Bersatu tetapi mereka belum faham kaedah berjuang. Learning curve mereka pada masa ini ada tetapi kalau belajar seni politik dengan menjadikan rakyat sebagai sengkalan ladanya, ia pasti sukar. Sengkalan lada hanya menyebabkan rakyat menanggung risiko. Bereksperimen itu ini, tapi rakyat tanggung kaedah tak baik. Kalau tak ada produktiviti, kelak rakyat akan lekas-lekas buat perhitungan.