Tetapi beberapa hari lalu, isu Uighur mula menarik perhatian rakyat negara ini kerana terdapat desas-desus mengatakan dua rakyat Turki etnik Uighur bolos daripada tangkapan pihak berkuasa keselamatan Thailand dengan melarikan diri ke Malaysia.

Apa yang membimbangkan adalah kedua-dua mereka ini dikatakan dalam perancangan melakukan serangan di Thailand dan menjadikan tempat kunjungan pelancong asing sebagai sasaran utama mereka. Strategi sebegini mirip dengan kejadian letupan bom di Kuil Hindu Erawan tengah kota Bangkok pada Ogos 2015.

Kuala Lumpur amat berhati-hati menangani isu ini kerana ia begitu sensitif sekali sebab melibatkan beberapa faktor yang berkait di antara satu sama lain. Masyarakat antarabangsa menilai isu ini dari sudut hak asasi kerana bukan menjadi rahsia lagi penduduk di Xinjiang berada dalam keadaan terdesak dan sebab itu kebanyakan yang berada di Malaysia dianggap sebagai pelarian.

Sementara itu, rakyat Malaysia pula bukan sahaja menilai dari sudut hak asasi tetapi diwarnai dengan persepsi bahawa penduduk etnik Uighur di Xinjiang diperlakukan sedemikian oleh kerana anutan agama mereka iaitu Islam.

Tetapi tidak kira sama ada pe­nilaian dari sudut hak asasi atau agama, oleh kerana ia juga membabitkan negara China maka isu ini perlu ditangani dengan lebih bijak.

Dua peristiwa yang berlaku pada tahun 2011 dan 2012 apabila Kuala Lumpur menghantar pulang beberapa pelarian etnik Uighur yang berada di Malaysia ke China, masyarakat antarabangsa mengkritik dan me­nuduh Kuala Lumpur terlalu tunduk dengan tekanan China. Masalahnya adalah semua etnik Uighur terutama sekali yang berasal dari Xinjiang yang berada di luar negara akan dilabel oleh China sebagai pengganas.

Sebab itu juga isu Uighur terkini yang melibatkan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama perkongsian maklumat risikan mengenai pelarian Uighur adalah kritikal demi memastikan kesahihan sesuatu maklumat.

Kerjasama ini menurut Ahmad Zahid lagi melibatkan polis antarabangsa (Interpol), polis kalangan negara ASEAN (Aseanapol) serta pihak keselamatan China iaitu Homeland Security of China.

Tiada masalah jika Malaysia dijadikan negara transit oleh pelarian etnik Uighur sementara menunggu peluang ke negara ketiga tetapi akan timbul kerumitan jika transit yang dimaksudkan digunakan untuk ke negara demi mendapat pengalaman militan seperti di Indonesia.

Telah terbukti bahawa Indonesia dijadikan medan mendapat pengalaman militan oleh kumpulan yang mempunyai niat melakukan aktiviti keganasan dan ianya tidak terhad kepada kumpulan ethnik Uighur sahaja. Kepulauan Sulawesi di timur Indonesia dianggap sebagai tarikan kepada etnik Uighur kerana lebih mudah untuk ke Indonesia berbanding ke tempat bergolak seperti Syria. Myanmar dijadikan pintu masuk utama sebelum ke Thailand dan seterusnya Malaysia sebagai negara transit untuk ke Indonesia.

Perlu ditegaskan serangan berdarah di Jakarta pada Januari lalu di­dalangi oleh kumpulan militan dari Sulawesi. Malah pada awal Disember 2015 polis Indonesia melakukan beberapa serbuan di wilayah tersebut dan antara ahli militan yang ditahan terdiri daripada mereka yang berasal dari etnik Uighur. Paling membimbangkan adalah kumpulan militan di Sulawesi ini dipercayai mempunyai kaitan dengan militan Daesh yang berpangkalan di Syria dan Iraq.

Penglibatan secara langsung oleh etnik Uighur dalam aktiviti militan di rantau negara ASEAN dianggap satu perkembangan yang amat membimbangkan kerana mampu memberi dimensi yang lebih bahaya jika digabungkan dengan ideologi yang dibawa oleh Daesh. Senario sebegini dikatakan berlaku secara mendadak bermula 2009 apabila Beijing mula mengamalkan dasar tindakan keras terhadap etnik Uighur di wilayah Xinjiang.

Setiap keputusan yang melibatkan etnik Uighur tidak kira sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia begitu sukar untuk dilakukan ke­rana bukan sahaja dikaitkan de­ngan faktor hak asasi atau agama tetapi lebih membimbangkan adalah kerana wujud tekanan dari Beijing.

Sebab itu, bukan sahaja Kuala Lumpur tetapi juga termasuk Bangkok dan Jakarta perlu berlaku adil terhadap pelarian dari kumpulan etnik Uighur kerana bukan semua yang terlibat dalam aktiviti militan seperti yang dicanang oleh Beijing.

‘‘Mereka adalah pelarian ekonomi, jadi untuk melabel mereka semua sebagai pengganas adalah tidak adil. Sesetengah daripada memang terlibat dengan pengganas tetapi tidak semua,’’ tegas Ahmad Zahid lagi yang mempamerkan dasar kerajaan terhadap isu yang begitu sensitif dan amat rumit sekali.

Menarik juga dipetik ucapan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di persidangan mengenai keganasan yang diadakan di Geneva baru-baru ini yang antara lain menegaskan punca sikap ekstrim dan ganas adalah kerana wujud ketidakadilan berpanjangan dan secara dahsyat, akses tidak sama rata kepada sumber dan peluang, pe­langgaran terhadap hak asasi manusia secara berleluasa, pendudukan asing dan diskriminasi secara sistematik.

Jika dipadankan ucapan Anifah dengan isu Uighur yang sedang dihadapi Kuala Lumpur pada ketika ini maka secara mudahnya ia tidak mungkin mampu diselesaikan jika punca pokoknya tidak ditangani dengan adil.

Tapi agak melegakan apabila dikaitkan kenyataan Ahmad Zahid dan Anifah, dasar Kuala Lumpur terhadap rakyat Uighur yang berada di Malaysia pasti akan diadili dengan bijaksana.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.