Khalid yang membuat penekanan bahawa tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai dan akan menyerahkan mayat Jong-nam kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga dianggap satu isyarat akan berlaku perubahan dasar dalam mencari penyelesaian kemelut ini.

Tidak penting bagaimana proses pengenalan individu tersebut dilakukan tetapi hakikatnya adalah Jong-nam yang merupakan abang kandung kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un telah disahkan identitinya.

Begitu kritikal untuk mengatur strategi yang bersesuaian kerana berhadapan dengan gaya kepimpinan Jong Un yang dianggap unik dan sukar di ramal oleh sebab setiap keputusan yang dibuat kebiasaannya menongkah arus kelaziman dunia diplomasi antarabangsa.

Apabila Korea Utara melancarkan empat peluru berpandu balistik beberapa hari lepas yang mana tiga daripadanya terjunam dalam perairan Jepun, ia tiada kena mengena dengan krisis Kuala Lumpur-Pyongyang tetapi merupakan rasa tidak puas hati Jong-un terhadap latihan ketenteraan di antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan yang baharu sahaja selesai.

AS sudah agak pasti mengetahui Korea Utara akan membuat bantahan melalui pelancaran peluru berpandu kerana perkara itu berlaku setiap kali latihan ketenteraan antara dua sekutu itu berlangsung.

Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Nikki Haley menyatakan pelancaran peluru berpandu tersebut telah memberi sebab untuk AS bertindak dengan lebih tegas dan bagaimana sukarnya untuk berunding dengan Jong-un yang dianggap Haley sebagai pemimpin yang tidak rasional.

Mengurus situasi

Malaysia tidak mampu mengambil pendekatan serupa AS kerana ia sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah tetapi akan memburukkan lagi keadaan. Sama seperti keputusan AS untuk menempatkan sistem peluru berpandu THAAD di Korea Selatan bukan sahaja meningkatkan kemarahan Pyongyang malah Beijing turut menegur sikap AS.

Tetapi jika di teliti tindakan Pyongyang membenarkan dua rakyat Malaysia yang merupakan pekerja Program Makanan Sedunia (WFP) PBB meninggalkan Korea Utara walaupun sebelum ini ditegah berbuat demikian, maka sebenarnya banyak boleh dipelajari bagaimana Pyongyang mengurus situasi kritikal.

Walaupun pada asalnya kesemua 11 rakyat Malaysia ditegah keluar tetapi Pyongyang membezakan dua rakyat Malaysia yang berkait dengan WFP dengan sembilan lagi yang punya pertalian dengan pejabat kedutaan Malaysia.

Kemungkinan Pyongyang membuat tafsiran WFP bukan musuh mereka walaupun ia merupakan agensi di bawah PBB yang selama ini telah mengenakan berbagai sekatan terhadap Korea Utara. Begitu jua dengan pemecatan Park Geun-hye sebagai Presiden Korea Selatan di sambut dengan gembira oleh Pyongyang kerana selama ini Geun-hye dikatakan begitu akrab dengan AS terutama sekali yang membabitkan isu Korea Utara.

Jika pelancaran peluru berpandu dan penempatan THAAD dianggap sebagai peristiwa yang akan menyulitkan lagi bagaimana Malaysia boleh bertindak, isu pemecatan Geun-hye adalah faktor yang boleh dinilai sebagai positif buat Malaysia.

Sebab itu penting setiap langkah yang akan di ambil oleh Malaysia selepas ini demi menyelamatkan sembilan lagi rakyat yang ditegah keluar, isyarat paling penting yang perlu dipamerkan kepada Pyongyang adalah semua keputusan tersebut berlandaskan kepentingan negara dan bukan kerana desakan negara lain.

Apabila KPN menyatakan mayat Jong-nam akan diserahkan kepada KKM maka itu adalah isyarat paling jelas kepada Korea Utara dan apakah langkah seterusnya bergantung kepada interpretasi dari Pyongyang itu sendiri.

Malaysia mahu menyelesaikan isu ini secepat mungkin kerana jika ia dibiarkan berlanjutan, lebih mudah lagi negara lain mengambil kesempatan dan jika ini berlaku ia tidak memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga Korea Utara.

Paling efektif adalah saluran komunikasi secara langsung diantara Kuala Lumpur dan Pyongyang perlu dibuka untuk mengelakkan salah tafsir diantara kedua-dua pihak. Rundingan di sebalik tabir perlu dimulakan supaya ia tidak mudah dipergunakan pihak ketiga yang mempunyai agenda tersendiri.

Rundingan secara langsung ini boleh dilakukan kerana hubungan diplomatik diantara Malaysia dan Korea Utara masih terjalin walaupun tahap ketegangan sudah sampai ke kemuncaknya.

Apabila Duta AS Haley menuduh Jong Un sebagai seorang pemimpin yang tidak rasional, tindak tanduk Pyongyang yang ekstrem seperti melakukan ujian ledakan nuklear atau pelancaran peluru berpandu kesemuanya itu sudah boleh diagak kerana ia merupakan tindak balas Jong-un terhadap tindakan AS dan Korea Selatan.

Walaupun AS dan Korea Selatan telah memuji bagaimana Malaysia mengendalikan krisis dengan Korea Utara, Pyongyang sebenarnya akur tindakan Kuala Lumpur tidak ada kena mengena dengan pengaruh dua negara seterunya.

Pyongyang juga akur dan faham bahawa Malaysia bukan musuh mereka dan persepsi sebegini adalah amat penting dalam menyelesaikan kemelut melalui rundingan secara langsung.

- PENULIS ialah Geostrategis di Perdana School and Geospatial Institute,