Salman Rushdie menerbitkan bukunya The Satanic Verses pada 26 September 1988. Taslima Nasrin, penulis Bangladesh menerbitkan tulisannya yang bercanggah dan berbeza pendapat dengan kefahaman majoriti umat Islam bagi pentafsiran beberapa ayat Al-Quran yang tertentu.

Dalam peristiwa itu terdapat para ulama, malah seorang dua pemimpin Islam yang telah mengeluarkan fatwa bahawa darah Salman adalah halal dan hal sama juga dikatakan terhadap Taslima Nasrin sehingga hal ini menimbulkan perasaan marah dan sentimen amat tinggi dalam masyarakat Islam, maka dalam semangat penentangan yang meluap-meluap inilah terdapat banyak demonstrasi terhadap kedua-dua penulis ini. Ia telah dianjurkan di dalam beberapa buah negara Islam sendiri dan akibatnya berlakulah demonstrasi yang bercampur de­ngan emosi yang akhirnya merebak menjadi pertempuran de­ngan pihak pemerintah dan sesama sendiri yang memakan korban nya­wa umat Islam.

Dalam kes sama juga, pada 19­92, seorang ahli akademik Mesir, Nasr Abu Zaid dipaksa untuk hadir ke mahkamah bagi menceraikan isterinya atas tuduhan bahawa tulisannya mengenai Islam telah menjadikannya murtad, justeru dia haruslah berpisah dengan isterinya.

Banyak insiden dan contoh lain telah berlaku di dalam dunia Islam termasuk dalam isu perbezaan kefahaman mazhab sehingga mencetuskan peperangan sesama sendiri yang memakan korban nyawa hingga ke saat ini.

Dalam konteks inilah umat Islam seharusnya mencuba untuk mempelajari jalan yang bijaksana seperti yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW ketika menghadapi situasi yang mencabar ini.

Malah dalam konteks perhu­bungan baginda dengan golongan kaum Yahudi dan Nasrani, baginda sering menghadapi situasi ini de­ngan penuh kebijaksanaan, berpandukan kepada ajaran Allah SWT tentang pertalian umat manusia sejagat sebagai hamba Allah SWT yang mempunyai perbezaan puak, bangsa dan agama juga.

Pada 10H (631M), Nabi Muhammad SAW telah menerima satu rombongan penganut Kristian dari Najran di dalam Masjid Al-Nabawi. Baginda telah membenarkan penganut Kristian itu menunaikan ibadat mereka dalam Masjid, diikuti perbincangan tentang doktrin ketuhanan dan kenabian, termasuk kerasulan Nabi Isa.

Dengan itu ternyata bahawa ajaran Allah dari surah Al-Ikhlas menjadi panduan yang terbaik dalam keharmonian perhubu­ngan sosial manusia ini ketika isu keimanan dan ketuhanan merupakan dasar utama dalam bidang perhubungan sosial kerana keimanan berdasarkan akidah Islam sememangnya tidak harus dikompromi sama sekali. Namun dalam masa sama tidak seharus­nya merupakan satu unsur pergolakan dan keganasan sesama umat manusia.

Malah ayat 59–61 dari surah Ali-Imran telah menjelaskan tentang kewajipan umat Islam supaya mempercayai dan mengakui tentang kenabian Islam, yang samalah kedudukannya dengan Nabi Adam.

Perbezaan akidah mereka sememangnya amat nyata, tetapi hal ini memang merupakan akidah yang salah daripada mereka. Namun, mereka semuanya haruslah mempunyai kesatuan dalam kehidupan yang harmoni.

Penulis berpandangan bahawa ruang untuk berbicara secara sihat dan mesra masih terbuka, yang sepatutnya dapat dilakukan dalam isu-isu perbezaan tanggapan dan tafsiran ini. Ia terutamanya yang menyentuh masalah ijtihad dan perbezaan mazhab dalam perkara-perkara cabang dan ranting asalkan tidak menyentuh hal-hal yang teras dan fundamental.

Isu di atas penulis kemukakan ialah kerana akhir-akhir ini telah timbul semula pemikiran yang cuba melahirkan kebimbangan dalam negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ketika terdapat pandangan yang penuh kebimbangan terhadap kepelbagaian ancaman dan cabaran kepada Islam di negara ini yang di­sebabkan oleh sikap orang-orang bukan Islam dan juga ancaman para Muslim yang mempunyai fikiran dan sikap yang berbeza.

Sedangkan hal ini tidaklah me­rupakan sesuatu yang harus dibimbangi sekiranya umat Islam sendiri dapat mengambil sikap yang lebih objektif dan produktif dalam mempertahankan agamanya dan menyusun strategi yang lebih bertamadun dalam menghadapi cabaran yang sering ditujukan kepada umat Islam dan agama Islam itu.

Al-Quran banyak menjelaskan tentang nilai-nilai akhlak yang universal untuk keharmonian sesama manusia berlainan agama, selagi tidak timbul sesuatu peri laku yang mengancam akidah dan maruah umat Islam sendiri - yang juga masih mempunyai ruang untuk mencari ke­sejahteraan bersama.

Saya merasakan bahawa ke­har­monian umat Islam sendiri haruslah dipupuk dengan baik dan penuh hikmah, melalui sesi dialog dan perbincangan yang sihat. Ini termasuk usaha menterjemahkan semangat institusi agama dan diraja yang telah sedia wujud dalam masyarakat kita, juga hubungan intelek dan budaya murni umat Melayu sendiri, yang pada umumnya amat me­nyantuni ajaran Islam sendiri.

Kegagalan umat Islam sendiri dalam masyarakat dan kefahaman ajaran agama sendiri yang bergantung kepada wahyu Allah SWT dan ajaran Islam yang murni, sering menjadi duri dalam daging dalam kalangan umat Islam sendiri.

Umat Islam mempunyai ke­ku­a­tan sendiri untuk digambarkan kepada umat bukan Islam dengan kesepaduan mereka dan keikhlasan hati dalam menegakkan hukum agama, terutamanya melalui seruan Islam kepada semua manusia dengan hikmat, bijaksana dan jalan-jalan yang baik.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).