Ternyata pelbagai dugaan termasuk dilambung ombak sejak 3 Februari lalu tidak melemahkan semangat 182 sukarelawan yang menyertai misi berkenaan. Bantuan pertama disampaikan pada 9 Februari di Yangon dan seterusnya semalam di Chittagong.

Sudah pastilah kita bersyukur dengan kejayaan misi tersebut kerana ia menjadi lambang solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia khususnya umat Islam terhadap penderitaan pelarian Rohingya.

Awang percaya misi kemanusiaan seumpama ini tidak akan berhenti di situ sahaja. Banyak lagi misi lain pasti akan dilaksanakan oleh KP1M dan Mapim dalam membela nasib mereka yang berada dalam kesusahan dan kesengsaraan.

Awang berharap pihak-pihak berkenaan sama ada di Myan­mar dan Bangladesh memastikan bantuan yang diserahkan akan disampaikan kepada pelarian Rohingya. Kepada KP1M, Mapim dan sukarelawan misi tersebut, tahniah dan terima kasih, sesungguhnya apa yang dilakukan pasti akan meningkatkan imej Malaysia di mata dunia.

AWANG - Kagum dan bersyukur.