(a) Semua cukai, kadaran, sewa, fi untuk lesen, bayaran dan caj yang perlu diserahkan kepada PBT di bawah Akta 171 dan undang-undang bertulis yang lain;

(b) Semua caj dan keuntungan dari mana-mana tred, ­perkhidmatan atau usaha yang dijalankan oleh PBT;

(c) Semua faedah dari pelaburan dan pendapatan dari mana-mana harta PBT; dan

(d) Semua hasil lain dari Kerajaan Pusat, negeri atau mana-mana badan berkanun serta dari mana-mana sumber lain ­seperti pemberian, sumbangan, endowmen atau sebagainya.

Warga PBT sudah biasa dengan sumber kewangannya yang disebutkan dalam kelompok (a) seperti cukai pintu (kadaran atau taksiran), fi yang dikenakan untuk pelbagai lesen yang di­pohon oleh peniaga dan dikeluarkan oleh PBT, serta caj lain yang perlu dibayar kepada PBT. Begitu juga, mereka sudah biasa dengan kelompok (b) dan (c) iaitu keuntungan dan pendapatan daripada pelbagai usaha komersil yang dijalankan oleh PBT dari semasa ke semasa.

Bagaimana pun, bila warga PBT menilai kelompok (d), mereka sepakat menyatakan bahawa endowmen adalah satu-satunya bidang yang belum diterokai secara serius dan terancang selama ini. Seksyen 39 ini sudah wujud selama 40 tahun, sejak Akta 171 dikuatkuasakan. Soalnya, kenapakah selama ini belum ada usaha menerokai bidang endowmen ini untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan PBT agar boleh meningkatkan lagi per­khidmatannya kepada masyarakat setempat?

Soalan itu, sempat saya lontarkan kepada hampir 50 orang (terdiri dari warga PBT seluruh negara) yang menghadiri seminar dan bengkel dua hari di Batu Pahat, Johor baru-baru ini. Teruja dengan persoalan ini, mereka berjanji akan terus memberi perhatian mengenainya.

Di masa lampau fungsi dan peranan PBT dikatakan tertumpu hanya kepada 3R (roads, rates, rubbish) – iaitu setakat membina dan menyenggara jalan raya, mengenakan dan mengutip kadaran (taksiran atau cukai pintu) dan mengutip sampah (menjanjikan kebersihan bandar). Dalam alaf baharu sekarang ini, fungsi dan peranan PBT di negara ini ­telah jauh berubah, sejajar dengan objektif kerajaan yang terkandung dalam Dasar Perbandaran Negara.

Menurut David Winder, endowmen adalah aset kekal ­(seperti wang tunai, sekuriti dan harta) yang boleh dilaburkan untuk menjana pendapatan berterusan bagi menampung kos kegiatan atau perkhidmatan sesebuah organisasi atau PBT. Ada banyak sebab kenapa sesebuah orga­nisasi atau PBT itu perlu mewujudkan endowmen, antaranya kelesta­rian (mampu terus merancang keperluan masa depan), autonomi (meningkatkan kemam­puan untuk tidak terus bergantung kepada sumber kewangan lain), dan leveraging (jumlah yang terkumpul dalam endowmen boleh meningkatkan kemampuan organisasi berkenaan mendapatkan dana tambahan).

Beliau menambah, ada pelbagai sumber dana yang mana sebuah organisasi atau PBT itu boleh mendapatkan sumber mewujudkan endowmen, iaitu dari kerajaan, orang awam, sektor swasta, golongan dermawan, dan dari pendapatannya sendiri. Sebagai contoh, Yayasan Alam Sekitar Filipina yang ditubuhkan di Manila adalah hasil pemberian (geran) sebanyak AS$20 juta dari kerajaannya.

Satu lagi contoh adalah Yayasan Masyarakat Puerto Rico (Puerto Rico Community Foundation, PRCF), yang ditubuhkan tanpa dana pada 1984 tetapi kini mempunyai dana sebanyak AS$20 juta hasil derma dan pemberian oleh pelbagai pihak, termasuklah yayasan dan syarikat di peringkat antarabangsa.

Kajian mengenai isu ini di Indonesia menunjukkan bahawa entiti endowmen yang diwujudkan di negara itu menggunakan pelbagai nama, mencerminkan kepelbagaian objektif ia ditubuhkan, aktiviti yang dijalankan olehnya dan amaun endowmen yang dimilikinya - antaranya Yayasan, Lembaga, Sekretariat, Dana dan Forum. Satu entiti yang dikenali ramai di negara itu, Yayasan Keanekaragaman Hayati (Kehati) mempunyai dana endowmen sebanyak RP190 bilion dan mampu menjalankan pelbagai amalan filantropi setiap tahun.

Di Malaysia, dana endowmen BPM1M (Bantuan Pelajar Miskin 1Malaysia) telah ditubuhkan oleh PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) bagi mendapatkan sumbangan daripada syarikat korporat. Mengikut portal rasmi PTPTN, objektif dana ini adalah menyediakan biasiswa tambahan kepada pelajar miskin.

Antara syarat kelayakan menjadi penyumbang kepada dana ini adalah (1) Penyumbang mesti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, (2) Sumbang­an mestilah dalam bentuk wang tunai, dan (3) Penyumbang tidak boleh menetapkan syarat-syarat tertentu. Penyumbang dana layak diberi potongan cukai sebanyak dua kali bagi maksud pengiraan cukai pendapatan mulai tahun taksiran 2012 hingga 2017.

Kesimpulannya, Seksyen 39(d) Akta 171 menggalakkan amalan filantropi dalam kalangan masyarakat di negara ini untuk membantu mengukuhkan kedudukan kewangan PBT.

Jika selama ini hanya jutawan mampu mewujudkan yayasan mereka sendiri untuk menjalankan amalan filantropi, kini orang awam biasa dalam kawasan satu PBT boleh menyalurkan derma dan sumbangan (setakat yang mereka mampu) kepada endowmen yang diwujudkan oleh PBT berkenaan.

Pada hemat saya, sudah sampai masanya peruntukan lama Akta 171 ini dimanfaatkan sepenuhnya. Andainya difikirkan perlu, satu peraturan yang lebih nyata dan terperinci hendaklah digubal dan dimaklumkan kepada orang awam.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Profesor Tamu UTM Skudai Johor.