Macam hikayat 1001 malam, kalau seorang majikan mula membuka mulut menceritakan kerenah amah di rumahnya, pasti ada yang akan menyambut dan menyambung cerita. Lepas satu, satu.

Daripada yang kelakar dan melucukan, yang rajin, yang menyakitkan hati, yang lembab, yang malas, yang kuat menjawab, yang asyik menonton sinetron, yang gemar bergayut dengan ‘jantan’ dan bermacam-macam lagilah aduannya.

Seorang teman penulis pernah ‘hendak tercabut nyawa’ apabila pulang ke rumah dari tempat kerja dan mendapati anaknya yang baru berusia lima tahun ditinggalkan berseorangan oleh bibiknya yang tiba-tiba ‘cabut lari’ entah ke mana.

Walaupun pengambilannya dibuat mengikut peraturan iaitu melalui ejen yang sah, namun teman penulis itu tetap ‘berputih mata’ tidak mendapat sebarang gantirugi kerana orang gajinya ‘cukup bijak’ menghilang selepas tamat tempoh percubaan selama tiga bulan.

Tak pasal-pasal teman penulis itu terpaksa mengambil cuti tahun untuk menguruskan penghantaran anaknya ke nurseri. Hendak mencari bibik lain, dia serik!

Seorang teman lain pula cukup tidak tahan dengan orang gajinya yang bermulut becok biarpun agak cekap membuat kerja rumah.

Sepatah kata majikan, 10 patah dijawabnya. Disuruh menggosok baju, diiyakannya namun disambung...”Ya, kalau belum gosok jangan dipakai.”

Diingatkan jika menyapu agar jangan lupa debu di bawah permaidani, diiyakannya juga namun disambung...”Ya, bawah permaidani memang berdebu.”

Bermacam-macam lagilah jawapan kreatif si bibik ini yang menurut teman penulis, kalau diikutkan hati memang kadangkala terasa hendak ditangankan sahaja.

Ada juga amah atau orang gaji yang cukup berat mulut, langsung tidak menyahut walaupun dipanggil. Kalau ditanya soalan, hendak keluar sepatah pun umpama ada permata di dalam mulut. Fiil amah yang sebegini boleh membuatkan majikan panas hati.

Bayangkan sahaja beras sudah habis, tetapi tidak sebutir pun perkataan keluar dari mulut si amah untuk memaklumkannya kepada majikan. Apabila majikan balik ke rumah dari kerja dengan membawa lauk-pauk yang dibeli di kedai dan disuruh menanak nasi, barulah diberitahu bahawa, “Ibuk, beras sudah habis!”

Bayangkan apa perasaan kita sebagai majikan. Hendak tak hendak, terpaksalah menghidupkan semula enjin kereta dan keluar ke kedai membeli beras. Tambah menyakitikan hati, apabila pulang dari kedai, dengan muka selamba si amah ini mengatakan pula dia terlupa memberitahu yang gas, minyak masak, garam atau gula pun sudah habis. Majikan mana yang tak bengang.

Ada satu kes, anak seorang teman jatuh basikal sehingga patah dua batang gigi hadapan dan bengkak bibir namun si bibik ‘buat diam’, sehinggalah majikannya pulang dari kerja dan melihat si anak terbaring di sofa kesakitan. Nasib baik gigi sahaja yang patah, kalau ada kecederaan lain yang lebih parah, bagaimana?

Semua cerita di atas adalah antara sebahagian kerenah amah, orang gaji atau bibik yang bukan setakat memeningkan kepala majikan bahkan mampu membuatkan tekanan darah naik mendadak.

Namun sebagai orang yang waras, marah macam mana sekali pun, sakit hati dan geram yang teramat sangat berdepan dengan perangai mereka, tidaklah sampai tergamak hendak mengangkat tangan menempeleng, memukul apatah lagi mendera sehingga mencederakan si amah, orang gaji atau bibik ini.

Sebab kita tahu, mereka pun manusia yang tidak terlepas daripada kelemahan dan melakukan kesilapan.

Walaupun hubungan kita dengan mereka ialah antara majikan dengan orang gaji, tidak bermakna darjat kita lebih tinggi. Tidak juga bermakna yang kita layak memperlakukan mereka sewenang-wenangnya.

Malangnya ada yang merasakan kuasa yang sedikit sebagai majikan itu membolehkan mereka ‘melayan’ orang gaji atau amah sebagai orang suruhan yang selayaknya menjadi budak belasahan.

Maka apabila tidak berpuas hati dengan kerja yang dibuat, majikan ini merasa tidak salah memarahi, menghukum dengan mencederakan dan mendera mental dan fizikal orang gaji terbabit, seolah-olah mereka bukan manusia.

Majikan sebegini sebenarnya termasuk dalam golongan yang sakit jiwa dan sama sekali tidak layak menjadi majikan.

Kes terbaru penderaan pembantu rumah warga Indonesia berusia 21 tahun, Adelina, yang akhirnya menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di hospital selepas diselamatkan daripada rumah majikannya, cukup menyayat hati dan meruntun perasaan kita semua yang waras.

Betapa ada manusia yang sanggup memperlakukan manusia lain lebih teruk daripada binatang, tidak tercapai dek akal kita yang normal.

Melihat visual gadis ini yang kusut masai dengan wajah pucat lesi tersandar lesu di dinding luar rumah majikannya dengan kesan lebam di muka dan kecederaan di kaki dan tangan, tergambar jelas penderitaan yang ditanggungnya.

Wajah pasrah gadis ini seolah-olah ‘merelakan’ agar malaikat mengambil nyawanya kerana seksa yang sudah tidak tertahankan.

Sedangkan penulis percaya tentu sahaja ketika nekad meninggalkan kampung halaman nun jauh di seberang untuk merantau mencari wang di negara orang, Adelina yang baru bergelar dewasa pasti menaruh harapan tinggi untuk mengubah nasib keluarganya.

Siapa tahu, rumah majikan yang disangka mampu memberi sinar menjadi neraka yang menjahanamkan kehidupannya.

Adelina bukan yang pertama, dan penulis percaya bukan juga yang terakhir melalui azab dunia sebegini. Hakikatnya cukup ramai syaitan di luar sana yang bertopengkan manusia. Kedajalan mereka perlu dihentikan.

Justeru mungkin bukan sahaja amah atau pembantu rumah yang hendak diambil bekerja perlu menjalani saringan kesihatan seperti yang dikuatkuasakan sekarang, sebaliknya majikan yang mahu menggajikan mereka juga perlu dipastikan bebas daripada masalah mental dan sebagainya.

Sebabnya majikan dan orang gaji, dua-dua pun layak dilindungi, kerana kita sama-sama manusia.

Cukuplah hanya Nirmala Bonat dan Adelina yang menjadi mangsa.-UTUSAN ONLINE