Lagipun tidak salah memperdebatkannya kerana ia termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Hak orang Melayu mendapat atau diperuntukkan biasiswa sebagai anak Melayu dan bumiputera. Jika ia sudah diperuntukkan dalam Perlembagaan mengapa ia masih diperbahaskan?

Saya masih ingat sejak tahun 70an hingga 80an dan 90an berpuluh-puluh ribu anak Melayu yang kolot dari kampung tapi diasuh cemerlang oleh kerajaan dihantar beramai-ramai ke luar negara untuk mendapatkan ijazah.

Anak-anak muda Melayu ini dihantar ke Amerika Utara, England, negara-negara Eropah sehingga ke benua Australia. Sehinggakan ada antara universiti itu menjadi kampung Melayu. Semua dihantar menerusi biasiswa kerajaan Malaysia dan daripada Majlis Amanah Mara atau Mara. Satu dunia pendidikan mengetahui mengenai Mara.

Mereka inilah yang kemudiannya mengisi pelbagai jawatan dalam pelbagai bidang birokrat kerajaan dan menjadi kapten dan penggerak perdagangan dan perindustrian negara.

Di bawah Dasar Pandang Ke Timur kerajaan memperuntukkan kewangan khas menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam menghantar anak-anak muda kita ke Jepun dan Korea. Kerajaan berjaya dalam program itu. Dari negara yang mundur dan kolot menjadi negara yang terkehadapan. Tapi mengapa kita masih bising mengenai isu biasiswa dan pinjaman pelajaran ini?

Perkasa yang membawa isu itu ke medan forum kelmarin amat bimbang dengan fenomena ini. Ramai anak-anak kita yang pergi belajar ke luar negara ada antaranya dalam bidang perubatan dan pergigian terpaksa merempat untuk belajar kerana tak cukup wang. Hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan mulai terhakis dan semakin menghilangkan? Di mana silapnya?

Ucapan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali semasa menutup forum itu cukup keras. Jika tidak kasar mungkin bukan Ibrahim namanya. Tetapi beliau ada alasan untuk bersikap begitu. Jika Perlembagaan negara pun sudah orang tidak ikut ke mana lagi haluan kita ini? Tidak kisahlah jika ada orang kata sampai bila Me­layu mahu bertongkat selagi itu adalah hak yang perlu dimaktubkan.

Anak bangsa kita masih memerlukan tongkat daripada penguasa. Penguasa itu adalah kerajaan yang memerintah ini. Orang Melayu me­ngundi kerajaan ini kerana percayakan kepada Perlembagaan itu, yang memperuntukkan hak-hak yang sepatutnya menjadi milik mereka. Wahai penguasa jangan pandang enteng isu ini. Berilah kepada mereka hak-hak itu. Itu milik mereka. Jangan dikurangkan satupun, malah jika boleh ditambah lagi.

TNB PERLU 
INOVATIF PENGGUNA

SEMASA saya menaip Cuit ini bekalan elektrik di rumah saya baharu sahaja dipotong. Semuanya gelap, semua panas, semuanya cair, ikan dalam akuarium menagih oksigen. Mungkin kerana terlalu banyak bekalan yang saya gunakan semasa mengadakan kenduri perkahwinan baru-baru ini kot?

Saya pun menelefon talian Aduan 15454 untuk bertanyakan sama ada, ada gangguan bekalan di kawasan U10 Shah Alam ini atau pun bekalan saya kena potong.

Menurut pegawai khidmat pe­langgan yang cukup ramah itu. Ada notis pemotongan kerana lambat bayar. Jadi maknanya bekalan elektrik di kediaman saya kena potong.

Saya kata kepadanya “Saya dan TNB ini bagaikan adik-beradik yang berpisah tiada”.

Walaupun ada notis, sudah tentu ada caranya yang lebih “mesra pengguna masa kini” yang boleh digunakan oleh syarikat utiliti itu untuk memaklumkan kepada pengguna sebelum pemotongan mahu dibuat.

Saya kata kepadanya pemoto­ngan secara tiba-tiba itu bagaikan satu “serangan jantung” iaitu orang yang kena serangan itu mungkin akan mati mengejut atau separuh mati. Tiada peringatan walaupun simptomnya ada.

Oleh kerana TNB mencatatkan untung berbilion-bilion ringgit se­tiap tahun, ia perlulah melangkah jauh ke hadapan dalam khidmat pelanggannya.

Saya cakap kepada pegawai itu, bil-bil kertas dan notis-notis merah kertas itu sudah ketinggalan zaman. Bank-bank semua sudah menghantar notis peringatan melalui talian pesanan ringkas SMS, tetapi TNB masih cara lama.

Jika bank mahu repo atau menarik kereta kerana gagal dibayar pun notis dihantar melalui talian SMS. Bil kertas mungkin akan basah di dalam peti surat atau hilang dibawa angin. SMS pula ada dalam tangan kita, kerana telefon dan kita berpisah tiada. Saman polis pun telah melalui talian yang boleh kita lihat muka kita yang memandu melebihi had laju. Tetapi TNB masih cara lama.

Saya cadangkan kepada pegawai khidmat pelanggan talian 15454 itu supaya sampaikan kepada orang atasannya, antaranya:

Notis pemotongan terakhir kepada pelanggan boleh diSMS sehari sebelum pemotongan dibuat, dengan catatan: “Sila buat bayaran hari ini kerana pemotongan bekalan anda akan dilakukan esok 24 September 2015 jam 12.00 tengah hari.” Bunyi pun lebih mesra pengguna dan telus.

Saya sedar surat notis itu sudah lama dikeluarkan tetapi mungkin saya cuai. Namun dalam kehidupan di kota kosmopolitan yang mencabar ini, adakalanya teknologi amat membantu kita.

Memetik kata-kata bos lama saya semasa saya bagi alasan ‘tak boleh’ semasa bertugas dengannya dulu. Katanya: “Minyak pun la ni orang isi di dalam laut atau di atas la­ngit, apa yang tak boleh?” Jadi tiada yang mustahil. Benarkah sahabat-sahabat saya di TNB?

TNB kenalah inovatif - kepada jutaan pelanggannya. Ia bukan lagi LLN!