Banyak alasan boleh diberikan bagi mewajarkan tindakan seumpama itu. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, keputusan itu juga sedikit sebanyak berkait rapat dengan situasi semasa. Ada yang melakukan tindakan itu ketika terasa hilang tempat berpaut.

Dahan untuk bergantung sudah patah. Ada juga yang berkata puak ini mengharapkan oksigen demi kelangsungan hidup atau mencari talian ha­yat baharu.

Tidak kurang juga yang menggelarkan orang seperti ini umpama beruk. Kata mereka, pokok tumbang beruk pun lari.

Tidak kisahlah apa juga yang diperkatakan orang tetapi orang politik mempunyai alasan mereka tersendiri. Mungkin mereka boleh memberikan alasan bahawa tindakan itu demi kepenti­ngan rakyat yang memilih mereka.

Rakyat mahukan mereka berada di bawah kerajaan pemerintah bukannya pembangkang.

Maka apabila parti yang diwakili sebelum ini sebagai kerajaan tewas dan bertukar menjadi pembangkang, maka mereka beralih arah.

Terpulanglah kepada para pe­ngun­di untuk menilai sejauh ma­na­kah kebenaran alasan yang dibe­ri.

Tidak kurang juga yang kalah sanggup meninggalkan rakan se­perjuangan yang sebelum ini pernah bersama-sama membangunkan par­ti berkenaan walaupun dalam ke­adaan yang sukar dan mencabar.

Begitulah warna-warni politik di Malaysia hari ini terutama yang melibatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ada dua isu berkaitan keluar masuk atau lompat melompat ini. Pertama parti komponen dan kedua wakil rak­yat. Kepada Gerakan yang me­ninggalkan BN, selamat berjuang untuk mencari hala tuju baharu sebagai pembangkang yang kuat.

Menyelak kembali secara ringkas mengenai parti itu, sudah tentu Gerakan mahu mengembalikan ‘kegemilangan’ sebagai pembangkang sebelum menyertai BN yang dianggoai UMNO, MCA dan MIC.

Gerakan adalah serpihan MCA yang diasaskan oleh Dr. Lim Chong Eu bersama beberapa orang rakannya. Parti itu menang bergaya di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969. Akibatnya MCA hilang kuasa di Pulau Pinang dan Gerakan mengambil alih negeri itu. Ketua Menteri adalah dalam kalangan pemimpin Gerakan sehinggalah BN tumbang pada PRU 2008. Ketika itu dan beberapa PRU sebe­lumnya, prestasi Gerakan menjunam sehingga pada satu ketika, UMNO memenangi lebih banyak kerusi di Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Pulau Pinang sehingga timbul isu bahawa wakil UMNO lebih la­yak menjadi Ke­tua Menteri.

Namun atas se­mangat setia­ka­wan, UMNO tetap memberi la­luan kepada Gerakan tetapi mendapat peruntukan ja­watan Timbalan Ketua Menteri. Pres­tasi Gerakan terus merosot sehinggalah pada PRU lalu, gagal memenangi sebarang kerusi. Gerakan yang berpegang kepada slogan Satu Hati gagal di semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kawasan DUN. Mungkin Gerakan perlu bermula daripada bawah semula untuk bangun kembali.

Gerakan khabarnya mahu memainkan peranan sebagai sebuah parti yang bebas dalam blok pembangkang untuk menjalankan semak dan imbang ke atas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan akan menjadi parti pembangkang yang konstruktif.

“Kami akan bekerjasama de­ngan parti, individu dan kumpulan yang berkongsi fahaman dan perjuangan untuk memartabatkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan demokrasi Malaysia, kami komited sepenuhnya untuk memelihara cara hidup rakyat Malaysia seperti mana yang kami tahu dan kebersamaan sebagai rakyat Malaysia,” kata satu kenyataan Gerakan.Persoalannya mampukah Gerakan mengekang anggotanya ‘angkat kaki’ me­nyertai parti lain terutama yang berada di pihak kerajaan? Mereka boleh memilih DAP atau PKR atau terus mencari pengalaman sebagai pembangkang.

Begitu juga dengan UMNO. Siapa lagi yang akan meninggalkan parti itu? Sebelum ini Ismail Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang, Perlis mengisytiharkan mening­galkan UMNO.

Mantan Timbalan Ke­tua UMNO Bahagian Arau itu, me­nyatakan ke­putusan itu dibuat kerana hilang ke­yakinan terhadap pu­cuk kepe­mimpinan parti.

Beliau berhasrat menyertai PPBM. Kebanyakan orang sudah tentu tahu sebab-sebab tindakan itu dilakukan. Sebelum itu, Azlan Man yang dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ‘dipecat’ oleh Perhubungan UMNO Negeri sehingga Raja Perlis murka. Kini keadaan sebaliknya berlaku.

Terkini, seorang lagi wakil rakyat yang dipilih atas tiket BN mewakili UMNO keluar parti. Anggota Parlimen Bagan Serai, Dr. Noor Azmi Ghazali mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas dan memberi bayangan untuk menyertai parti komponen PH dalam masa terdekat.

Apakah mudah parti gabungan PH akan menerima beliau atau mana-mana anggota UMNO yang ingin ‘menyeberangi jambatan?’ Menyelak kembali beberapa kenyataan yang lalu, pemimpin PH tidak akan mudah menerima anggota UMNO atau BN. Apa yang pasti, mereka perlu sanggup menghadapi sebarang kritikan untuk melompat parti.

Mereka perlu jadi muka papan, muka tebal atau muka tembok.Ketika ini sudah ada suara yang membantah golongan ini me­nyertai parti PH.

Ada pihak yang mengingatkan PH supaya tidak memberi peluang dan ruang kepada pemimpin BN yang keluar parti kerana mereka ini dibimbangi mempunyai agenda dan kepentingan tertentu. Ada yang bimbang, mereka ini membawa ‘penyakit BN’ ke dalam PH atau menjadi jelmaan BN.

Nampaknya ada keraguan dalam kalangan anggota parti komponen PH sendiri.

Namun lambat laun, parti komponen PH juga memerlukan penambahan anggota dan sokongan apabila keadaan terdesak. Mungkin ketika ini, PH sudah kukuh apabila ada wakil rakyat yang mewakili parti-parti komponen BN sebelum ini iaitu di Sabah dan Sarawak telah meninggalkan gabungan itu.

Dalam erti kata lain, blok kerajaan semakin kukuh. Untuk rekod awal bulan ini, PBB, PRS, SUPP dan PDP keluar BN untuk membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan mengumumkan pendekatan mesra kerajaan persekutuan pimpinan PH. Di Sabah, PBS, PBRS dan LDP juga keluar daripada BN manakala UPKO menyokong kerajaan negeri pimpinan Warisan. Biarlah mereka yang mahu meninggalkan UMNO atau BN meneruskan ‘perjuangan’. Apa yang penting, mereka yang di­tinggalkan di dalam bahtera UMNO perlu mencari jalan untuk kembali meneruskan ‘pelayaran’. Biarkanlah mereka yang tidak sabar untuk selamat ‘terjun ke laut dan berenang ke tepian’. Jika tidak lemas atau tidak disambar jerung, mereka selamat ke tepian. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Nakhoda baharu yang bakal dipilih perlu meneruskan pelayaran dengan sokongan anak-anak kapal yang lain.

Jangan ada dalam kalangan mereka yang bertanding semasa pemilihan lalu merajuk apabila tidak terpilih. Usah mencari pelbagai alasan yang mewajarkan mereka meninggalkan perjuangan. Tahniah kepada pemimpin sayap parti yang sudah dipilih semalam.

Bangkitlah! Lakukan pembaharuan yang boleh meyakinkan bukan sahaja anggota parti tetapi rakyat.