UKE: Apa salahnya diletakkan jenazah itu di suatu tempat yang lebih baik? Walau apa pun perbuatan arwah ketika hidup, tetapi berbuat baiklah kepada jenazah kerana yang layak menghukum ialah Allah SWT semata-mata.

Boleh dilapik dengan alas khas jika jenazah belum mandi. Mungkin diletak di kawasan yang tidak berkarpet atau jenazah diletakkan di dalam alat pengusung mayat yang tidak akan merosakkan karpet atau mengotorkan surau.

Apa pun pandang baiklah kepada si mati dan pandang baiklah kepada AJK surau dan semoga Allah SWT memberikan yang terbaik kepada semua pihak.

Islam adalah agama berkasih sayang dan alangkah indahnya jika kita semua berbuat baik dan berkasih sayang. Semoga mendapat peringatan bagi orang yang leka dalam hal ini dan juga semoga teguran membina bagi pihak yang menjalankan kerja-kerja kebajikan.

Isteri tak benar jaga ibu

Saya sudah bersara selama tiga tahun. Pada awal persaraan, saya menjaga ibu selama setahun. Kemudian ibu balik ke rumah adik di Pulau Pinang.

Sekarang saya tidak lagi menjaga ibu kerana isteri saya mengu­gut untuk meminta cerai sekiranya saya hendak menjaga ibu saya. Apakah yang perlu saya lakukan?

- Pak Ngah, Jengka.

UKE: Memang mulia niat anda untuk menjaga ibu anda. Tak ramai anak yang hendak bersusah payah demi ibu mereka.

Pertama, anda pernah menjaga ibu anda dan sekarang adik anda menjaganya pula maka tidaklah menjadi hal jika anda tidak mengabaikan ibu anda.

Adik anda boleh menjaga ibu anda. Tetapi anda kenalah ziarah ibu anda dan beri sumbangan belanja kepada adik sebagai belanja ibu dan beri nafkah kepada ibu atau ambillah ibu pada waktu tertentu untuk bergilir-gilir menjaganya.

Kedua, seorang isteri kenalah menghormati suaminya. Nama pun berkahwin, maknanya kenalah kongsi dalam banyak perkara. Saya berasa hairan kenapa isteri anda terlalu berkira dalam bab rumah tersebut.

Alangkah bahagianya jika hidup dalam suasana harmoni. Saya rasa anda perlu melengkapkan diri anda sebagai seorang suami yang baik dan taat kepada agama agar dihormati isteri anda.

Ketiga, carilah jalan terbaik bagaimana dapat merapatkan hubungan antara ibu dengan isteri anda. Besar pahala jika seorang anak dan menantu menjaga ibu. Itulah satu-satunya ibu anda dan berbaktilah kepada ibu selagi masih ada hayat.

Jangan mensia-siakan ibu anda dan saya harap isteri anda dapat menerima dan berbakti kepada ibu anda.

Persoalan jamak dan qasar

Dahulu, saya menetap di rumah sendiri di Simpang Renggam, Johor tetapi pada 2014, saya diarahkan bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan di Melaka . Saya kini telah bersara tetapi masih menetap di Melaka dengan menyewa rumah di sini. Saya masih belum buat keputusan sama ada untuk terus menetap di Melaka atau menetap di rumah sendiri di Simpang Rengam.

Adakah layak melakukan solat jamak atau qasar di rumah saya di Simpang Rengam, Johor sekiranya sekali-sekala saya balik ke sana untuk tempoh tidak melebihi tiga hari yang tidak termasuk hari perjalanan pergi dan balik semula ke Melaka ?

- Lola Manja, Melaka.

UKE: Pertama, anda menyewa. Maknanya anda tidak lama diam di situ. Kedua, anda menyatakan belum membuat keputusan sama ada hendak tinggal di Melaka atau di Simpang Renggam. Maka ia membawa maksud anda masih ingin menetap di rumah sendiri iaitu masih ada harapan untuk tinggal di rumah sendiri.

Kalau begitu, saya mengesyorkan agar anda solat secara biasa apabila berada di rumah anda di Simpang Renggam. Anda boleh jamak atau qasar dalam waktu perjalanan sahaja.

Hukum solat sunat ketika khutbah

Apakah hukum seseorang solat sunat ketika khatib sedang membaca khutbah?

- Finza, Kemaman.

UKE: Ada sebuah hadis daripada seorang sahabat Nabi SAW iaitu Tsa’labah Abi Malik yang diriwayatkan oleh Imam as-Syafie di dalam kitabnya al-Umm yang menyatakan, “Duduknya imam di atas mimbar memutuskan segala tasbih (amalan sunnah), dan khutbahnya memutuskan segala macam perbicaraan.” Maka segala amalan sunnah seperti berzikir, membaca al-Quran dan berwirid hendaklah ditinggalkan ketikan imam sudah mula berkhutbah.

Akan tetapi jika jemaah itu baru sampai atau baru masuk ke dalam masjid ketika imam berkhutbah maka diharuskan kepadanya untuk menunaikan sunat tahiyatul masjid dan hendaklah dia mempercepatkan solatnya untuk mendengar khutbah Jumaat pula, itu pun jika khutbah itu masih panjang.

Jika sudah di akhir khutbah, maka adalah memadai baginya berdiri menunggu sehingga solat Jumaat dimulakan. Imam al-Ghazali seperti yang dikutip oleh al-Nawawi berpendapat, “Jika khatib sudah duduk di atas mimbar, maka tidak dibenarkan lagi melakukan amalan sunnah. Kerana itu, sesiapa yang tidak dalam keadaan menunaikan solat, maka dia tidak boleh mengerjakan solat. Manakala sesiapa yang mengerjakan solat, maka hendaklah dia mempercepatkan solatnya.”