Walaupun tidak banyak masa untuk melihat kedua-dua bandar raya itu dengan lebih dekat, penulis sempatlah menjengah, memerhati dan melihat secara sambil lalu kehidupan penduduk di dua negeri tersebut.

Biarpun tidak lama, ada satu dua pengalaman yang sempat dikutip dan boleh diteladani.

Chennai yang dikenali dengan nama Madras sebelum ini adalah ibu negeri Tamil Nadu.

Bandar raya keempat terbesar dan terpadat di India ini juga dicatatkan sebagai destinasi paling banyak dilawati oleh pelancong asing. New Delhi pula adalah ibu negara India dan salah sebuah daerah di negeri Delhi.

Di bawah pemerintahan Perdana Menteri Narendra Modi, ibu kota ini telah dibangunkan sebagai salah sebuah bandar raya pintar di India.

Walaupun hubungan diplomatik Malaysia dan India sudah berusia 60 tahun, kedua-dua negara mempunyai sejarah yang cukup panjang. Tujuh peratus daripada penduduk Malaysia adalah masyarakat yang berasal dari India. Jumlah tersebut adalah peratusan tertinggi diaspora India di luar India dengan ­majoritinya adalah berketurunan Tamil.

Penulis dan tiga rakan wartawan Malaysia sempat berjalan kaki dan menaiki beca beroda tiga ala tuk-tuk menyelusuri beberapa jalan raya di Chennai. Sesekali terasa tidak ubah seperti berada di Brickfields atau Jalan Masjid India atau di Little India, Pulau Pinang. Banyak persamaan. Kesesakan lalu lintas, suasana dan wajah kedai atau gedung beli-belah serta ‘kemeriahan’ bahasa pertuturannya.

Ini belum lagi ditambah dengan aroma kari dan rempah ratus masakan autentik India yang menerawang menusuk hidung hingga membuka selera.

Baunya pula kekal sepanjang hari dari hujung rambut hingga ke hujung kaki!

Dalam banyak-banyak perkara yang sempat diperhatikan dalam waktu singkat itu, penulis tertarik dengan ‘kerenah’ para pengguna jalan raya, sistem lalu lintas dan keadaan jalan raya di ibu negeri yang mempunyai kepadatan penduduk kira-kira tujuh juta orang itu.

Walaupun terlalu banyak kenderaan di atas jalan yang hingar-bingar dengan bunyi hentakan hon tanpa henti, aliran trafik tetap berjalan lancar.

Tidak pula kelihatan kemala­ngan jalan raya atau kereta belakang menyondol kereta di hadapan sebagaimana boleh ditonton di Malaysia hampir setiap pagi.

Keadaan ini juga mengingatkan penulis akan suasana yang sama di Hanoi, Vietnam. Walaupun jalan raya dipenuhi ­kenderaan terutama motosikal, bingit de­ngan bunyi hon dan lampu isyarat tidak dipatuhi, aliran kenderaan tidak tersekat.

Kelihatannya seperti ada satu persefahaman sesama pengguna jalan raya untuk bertolak ansur dan memberi laluan kepada kenderaan lain.

Kenderaan beca roda tiga berenjin sebagai contoh, dengan status tidak ubah seperti ‘raja jalan raya’ dalam keadaan sesak sentiasa diberi laluan oleh kenderaan lain walaupun cara kenderaan bermotor itu dikendalikan agak membahayakan pengguna lain.

Meskipun hon kereta, motosikal dan beca dibunyikan bertalu-talu sehingga boleh menyakitkan hati pengguna jalan raya lain tetapi tidak ada pula kedengaran maki-hamun, carut-marut atau pergaduhan di tepi jalan.

Lantas penulis teringatkan Malaysia. Kalaulah itu berlaku di negara ini berapa ribu perkataan sumpah-seranah sudah dihamburkan kepada si pelaku. Bukan itu sahaja, pemandu tuk-tuk sedemikian jika silap hari bulan boleh separuh mati dibelasah! Betapa bezanya sikap pemandu di Chennai dan Malaysia.

Di sana mereka memandu tanpa emosi marah-marah dan tanpa provokasi, di sini pantang diacah atau terkena provokasi, api emosi boleh membakar segala kewarasan akal fikiran.

Seperkara lagi, keadaan jalan raya utama di dua bandar raya utama itu. Meskipun tidak moden dan secanggih jalan raya di Malaysia, rupa bentuknya jauh lebih elok. Kalau di Malaysia hari ini diturap, esok atau lusa sudah pasti akan digali, dibongkar, dikambus kemudian ditampal sesuka hati.

Tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja di sekitar ibu pejabat syarikat penulis bekerja ini yang rupa bentuknya tak ubah seperti medan perang. Tak sampai sebulan selepas diturap, esok ada sahaja yang sudi datang mengorek kemudian ditinggalkan dengan kualiti tampalan yang sangat buruk.

Jalan rayanya rata, tidak berlubang atau bertampal-tampal.

Lantas penulis terfikir, patutlah pemandu tuk-tuk di sana dengan selamba sahaja merempit sambil ‘mencilok’ kereta dan kenderaan lain.

Kalaulah rupa bentuk jalan raya tak ubah seperti medan perang sudah lama beca tuk-tuk tersebut masuk gaung!

Bagaimanapun ada satu persamaan antara Chennai, New Delhi dan Kuala Lumpur iaitu sikap pemandu teksi.

Sepertimana segelintir sikap pemandu teksi di Malaysia yang suka menipu dan tidak suka menggunakan tambang bermeter ke atas pelancong asing, perkara yang sama juga berlaku di Chennai dan New Delhi.

Mungkin ini satu fenomena lumrah di mana-mana bandar raya lain di seluruh dunia.