Kata Trump lagi, beliau tidak boleh berdiam diri apabila berhadapan dengan gambaran kanak-kanak Syria yang terkorban akibat penggunaan senjata kimia yang dituduh oleh AS berpunca dari tentera Syria. Tindakan Trump yang begitu drastik bukan sahaja dianggap lebih berani ­berbanding Barack Obama tetapi juga ­menongkah janjinya sendiri kepada rakyat AS yang tidak mahu campur tangan konflik di Syria.

Tetapi agak ironis apabila Trump membuat keputusan ­melancarkan serangan kerana hiba dan sedih dengan apa yang dilalui kanak-kanak Syria tetapi tetap dengan keputusan untuk melarang AS mengambil pela­rian dari Syria dan juga menegah ­rakyat negara itu memasuki AS.

Timbul persoalan, apakah agenda sebenar Trump ber­kenaan Syria? Dan jika dikaitkan dengan kenyataan Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson maka besar kemungkinan serangan peluru berpandu yang mirip strategi menggulingkan Presiden Saddam Hussein pada 2003 juga mem­punyai matlamat serupa tetapi kali ini sasarannya ialah Bashar.

Mujur setakat ini sekutu kuat Syria iaitu Rusia dan Iran tidak mengambil tindak balas ketente­raan tetapi menggunakan saluran diplomasi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mencela tindakan AS. Sebab itu juga Trump mungkin merasakan strategi beliau mengugut Bashar sudah berjaya kerana beberapa hari selepas itu beliau mengarahkan satu ketumbukan kapal perang Carl Vinson mengubah haluan asalnya menuju Australia ke Semenanjung Korea. Ketumbukan ini yang terdiri daripada kapal perang pengangkut USS Carl Vinson dan juga beberapa kapal perang pemusnah digunakan khusus untuk me­nyerang sasaran.

Memang benar ketumbukan Carl Vinson ini sering digunakan dalam latihan ketenteraan bersama-sama dengan tentera Korea Selatan atau Jepun dan sering menyusuri Laut China Selatan ketika melaksanakan program kebebasan pelayaran (FON), tetapi perubahan haluan asal ke destinasi baharu berhampiran Korea Utara sudah pasti mem­punyai isyarat tertentu khusus buat Pyongyang.

Sejurus selepas Korea Utara me­lancarkan empat peluru berpandu balistik ke arah perairan Jepun Februari lalu, AS mengeluarkan amaran tindakan tersebut yang bertentangan dengan resolusi UNSC akan memburukkan lagi­ ­ketegangan di semenanjung tersebut. Beberapa hari sebelum pertemuan Trump dengan Presiden China Xi Jinping pada 7 April lalu, Korea Utara sekali lagi melancarkan peluru berpandu.

Kali ini Trump bukan sahaja memberi amaran kepada Korea Utara tetapi juga kepada China bahawa AS akan bertindak sendirian seperti mana serangan ke atas Syria, jika China gagal me­ngawal tindak tanduk Pyongyang.

Mengapa ketumbukan Carl Vinson dihantar secara tergesa-gesa ke Semenanjung Korea ­kerana dipercayai Pyongyang sedang bersiap sedia ­melancarkan ujian peluru berpandu terutama sekali menjelang sambutan 105 tahun pemimpin agung mereka iaitu Kim Il Sung Sabtu ini.

Tetapi tingkah laku Kim Jong-un jauh berbeza dengan Bashar kerana mengikut pe­ngalaman Malaysia tindak tanduk Jong-un bukan sahaja sukar diramal malah ada kalanya tidak masuk akal. Reaksi awal Korea Utara terhadap kehadiran ketumbukan Carl Vinson adalah seperti kelaziman iaitu Pyongyang akan bertindak terhadap sebarang pencerobohan kuasa luar terutama sekali AS. Sudah hampir pasti menje­lang Sabtu ini, Jong-un akan ­melancarkan ujian peluru berpandu ke arah perairan Laut Jepun dan keadaan akan menjadi provokatif lagi jika peluru berpandu menyusuri hampir dengan kedudukan ketumbukan Carl Vinson yang sedang berlabuh di perairan yang sama.

Lebih membimbangkan apakah tindakan Trump kerana senario sebegini mentafsirkan keha­diran kapal perang tidak digeruni oleh Jong-un malah seakan-akan mencabar AS. Jika dalam kes serangan Syria ke­adaan dapat dikawal kerana tiada tindak balas Rusia, maka dalam hal Korea Utara pula menjadi kemusykilan apakah tindakan China yang dianggap satu-satunya sekutu ­Pyonyang. Begitu jelas sekali Trump sudah mendapat keyakinan dari kejayaan beliau ­menyerang Syria kerana tidak wujud tindak balas selepas itu malah Rusia sebagai sekutu Syria dituduh bersekongkol dengan Bashar mengguna senjata kimia.

Tetapi Jong-un tidak boleh dibandingkan de­ngan Bashar, begitu juga China berbeza dengan Rusia dalam percaturan geopolitik antarabangsa. Dalam konflik Syria begitu jelas Rusia membantu kerajaan Bashar dan sebab itu juga AS dan sekutunya menuduh Rusia bersekongkol dengan kerajaan Syria.

Tetapi dalam kes Korea Utara, penglibatan China adalah begitu samar-samar dan tidak mudah bagi AS untuk memulas tangan Beijing seperti yang dilakukan terhadap Rusia. Sebab itu juga tindakan susulan China jika AS mengamalkan tindakan ala Syria terhadap Korea Utara begitu sukar diramal.

Apa yang nyata tindakan Trump menggunakan ketumbukan Carl Vinson sebagai senjata ugutan telah memberi sebab untuk Korea Utara bertindak secara tidak rasional dan hakikatnya rantau Asia Pasifik terutama sekali Korea Selatan dan Jepun berdepan dengan ancaman yang begitu nyata sekali dari Pyongyang gara-gara strategi Trump.