Maszlee menggunakan alasan penangguhan itu dengan membangkitkan tentang kedudukan kewangan ketika ini amat nazak sehingga memberi tempias kepada kerajaan baharu untuk meneruskan pemberian biasiswa kepada pelajar.

Dalam ‘menghalalkan’ keputusan itu, beliau menyalahkan kepada kerajaan lama Barisan Nasional (BN) kerana meninggalkan hutang terlampau banyak menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih oleh rakyat tidak lagi boleh memberikan biasiswa untuk manfaat rakyat sendiri.

“Perbincangan telah kita lakukan berkaitan MyBrain15. Ia satu program bagus untuk melahirkan ramai pemegang PhD dengan sasaran seramai 60,000 orang. (Namun) keadaan ekonomi semasa, kewangan Kementerian Pendidikan dan negara, kita berterima kasih kepada kerajaan lama yang telah meninggalkan hutang begitu banyak untuk rakyat dan kita tidak boleh bagi biasiswa kepada orang kerana kerajaan lama punya ‘kerja’.

“Jadi kita terpaksa tangguhkan program itu sehingga keadaan ekonomi pulih dan insya-Allah bila kita ada duit lebih, kita akan kembalikan program tersebut,” katanya ketika dipetik menerusi satu wawancara khas di RTM pada 25 Julai lalu.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, demi mendapat tiket ‘kerusi panas’ di Putrajaya, macam-macam janji disajikan kepada rakyat. Bukan setakat menyenaraikan segala janji itu, PH meletakkan tempoh 100 hari sahaja untuk dilaksanakan semata-mata mahu menampakkan kesungguhan mereka membela nasib rakyat.

Ya, semua pihak tidak menidakkan jumlah hutang negara sehingga menyebabkan kerajaan baharu PH pening kepala memikirkan bagaimanakah cara untuk melaksanakan janji-janji mereka dalam tempoh 100 hari itu dalam tidak berduit. Langkah permulaan telah pun diambil iaitu membatalkan projek-projek mega yang dianggap membazir seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang menelan belanja RM110 bilion dan projek Transit Ali­ran Massa 3 (MRT3) - RM40 bilion.

Pada pembentangan Bajet 2018, kerajaan BN yang tidak berjaya meneruskan pentadbiran negara telah meletakkan peruntukan sebanyak RM90 juta untuk membiayai seramai 10,600 pelajar bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD pada tahun ini. Ia bagi melengkapkan sasaran seramai 60,000 peme­gang sarjana dan PhD menjelang 2023 dengan pembiayaan seba­nyak RM500 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11. Untuk rekod, sehingga akhir 2016, program MyBrain15 telah menaja seramai 54,035 penuntut dengan per­belanjaan sebanyak RM800.2 juta.

Program biasiswa ini adalah salah satu daripada 22 agenda kritikal dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Program berkenaan dirangka dengan beberapa matlamat, antaranya melahirkan graduan berpengetahuan tinggi yang akan menjadi pemacu kepada inovasi dan produktiviti sehingga dapat melonjakkan ekonomi negara ke tahap lebih tinggi.

Mengulas mengenai isu tersebut, Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, keputusan untuk menangguhkan program itu bakal memberikan pelbagai implikasi bukan sahaja kepada penerima biasiswa, malah merencatkan sektor pengajian tinggi negara.

Memandangkan skop pengajian sarjana dan PhD melibatkan kajian penyelidikan, katanya, se­katan sumber pembiayaan utama pengajian itu akan memberi impak dalam pembangunan penyelidikan mereka yang merupakan ‘enjin’ universiti dalam dapatan ilmu dan teknologi baharu.

“Kalau tidak ramai buat pengajian sarjana dan PhD kerana kekurangan dana, maka sudah tentu akan memberi kesan kepada aktiviti penyelidikan dan inovasi universiti. Sedangkan pelajar-pelajar peringkat pengajian inilah yang merupakan sumber utama universiti untuk membangunkan bidang penyelidikan.

“Untuk menjadi sebuah negara maju dengan status ekonomi berasaskan inovasi, Malaysia perlu mengetengahkan pelbagai aktiviti penyelidikan. Jadi, sekiranya tidak ada galakan daripada kerajaan, bagaimana masyarakat yang berkemahiran mahu terlibat dalam bidang ini?” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Mohd. Izani berkata, langkah penangguhan ini hanya dianggap wajar sekiranya kerajaan mahu mengkaji semula soal kualiti pelajar yang dihasilkan supaya ia tidak hanya mencapai sasaran kuantiti sahaja agar sumber kewangan yang diperuntukkan tidak dianggap merugikan.

“Semasa tempoh penangguhan ini, lihat semula keberkesanan pelajar tajaan MyBrain15 ini. Adakah pelajar yang dibiayai itu berjaya tamatkan pengajian atau pun tidak, selain soal kualiti bidang penyelidikan yang dihasilkan benar-benar memberi impak kepada negara,” katanya.

Apapun, bantuan kepada para pelajar untuk melanjutkan pelajaran tidak sepatutnya dilihat sebagai suatu pembaziran, tetapi perlu menjadi keutamaan kerajaan. Mungkin kerajaan PH terlupa bahawa peruntukan biasiswa kepada rakyat juga adalah salah satu janji dalam manifesto mereka iaitu menambah peluang biasiswa dan pinjaman pelajaran terutamanya untuk membantu anak-anak muda dari keluarga B40 dan M40.

Dalam hal ini, kita amat yakin kerajaan tentunya akan berusaha menunaikan janji mereka sebagaimana keputusan menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan yang telah pun melegakan rakyat.

Oleh itu, kita juga percaya, kerajaan pimpinan PH tidak akan menggadaikan program MyBrain15 semata-mata dendam politik. Da­lam tempoh penangguhan ini, pihak kementerian tentunya ingin membuat kajian tertentu berkaitan program tersebut. Ini kerana menurut Maszlee, program berkenaan adalah langkah politik kerajaan terdahulu memandangkan peruntukan RM90 juta didakwa tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan pengajian penerima, sebaliknya keseluruhan kos yang perlu ditanggung adalah RM612 juta sekali gus memberikan implikasi besar kepada kewangan negara.