Sehari dua sebelum Ramadan, kita dapati pasar-pasar raya dan pelbagai jenis kedai lain dikunjungi ramai ke­rana umat Islam ingin menyambut Ramadan. Bagi yang tidak mahu bersesak-sesak berbelanja pada bulan Ramadan, awal-awal lagi mereka sudah membeli pakaian untuk keluarga.

Pasar-pasar yang menjual barang basah turut dikunjungi pengunjung kerana ramai yang hendak makan sedap-sedap ketika bersahur pada hari pertama dan kedua Ramadan. Di Negeri Sembilan, mantai diadakan kerana sudah menjadi adat sebelum puasa, kerbau lembu tumbang kerana ramai yang mahu bersahur dengan daging.

Malah, banyak tempat yang mengaktifkan pasar tani kerana barang-barang keperluan terdapat di sana de­ngan harga yang lebih murah dan kualiti barangannya lebih baik. Pendek kata, ramai orang kita sudah berbelanja sakan sebelum Ramadan menjelma.

Itu belum lagi masuk bulan Ramadan. Pada bulan Ramadan pula, oleh sebab sibuk bekerja, ramai antara kita yang mengharapkan 100 peratus juadah berbuka dan bersahur dari kedai atau restoran. Anak-anak muda yang bujang dan merantau lebih-lebih lagilah bergantung sepenuhnya kepada restoran-restoran untuk berbuka dan bersahur.

Tegasnya, bulan Ramadan menjadi pintu rezeki keba­nyakan peniaga makanan dan minuman kerana sambutannya sangat menggalakkan. Maka tidak hairanlah gerai-gerai makanan tumbuh seperti cendawan selepas hujan, termasuklah bazar Ramadan yang dianjurkan di setiap pekan dan bandar. Pokok pangkalnya, hendak berbuka dan bersahur tidak menjadi masalah asalkan ada wang.

Usaha untuk berjimat cermat pada bulan Ramadan bukanlah mudah kerana daya penarik juadah berbuka membuatkan kita teringin hendak membelinya. Pelbagai jenis air minuman ditambah dengan aneka warna menambahkan lagi keinginan kita hendak membelinya, apatah lagi budak-budak yang baru berlatih berpuasa. Sediakan air dua tiga jenis di rumah pun, jika keluar ke bazar Ramadan, tentu ada lagi yang hendak dibeli.

Kita tidak boleh menyalahkan sesi­apa dalam soal ini kerana usaha untuk berjimat-cermat berpunca daripada setiap individu. Bagi peniaga, ia sudah menjadi satu usahanya untuk berniaga dan mereka mesti diberi galakan untuk berniaga asalkan beretika.

Jika tidak ada peniaga barang-barang makanan dan minuman, tentu sukar bagi sesetengah golongan yang mengharapkan juadah untuk berbuka dan bersahur.

Bagaimanapun, penjimatan tetap boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah. Pertama, bagi yang ada masa, juadah berbuka dan bersahur boleh disediakan sendiri di rumah. Kedua, membeli juadah berbuka dan bersahur biarlah ala kadar dan tidak sampai membazir. Ketiga, bijaklah memilih makanan yang agak murah tetapi berkualiti.

Di pihak peniaga, juadah atau makanan yang dijual biarlah berkualiti, tidak basi, harganya berpatutan dan bersih. Semua ini akan menentukan jatuh bangun mereka dalam perniagaan walaupun mereka mencari rezeki hanya dalam sebulan.

Apa-apa pun, kita tentunya akan dapat mendengar pelbagai reaksi orang ramai sepanjang Ramadan ini dan kita tentunya mahu mendengar yang baik-baik. Moga Ramadan kali ini dapat kita sambut dan jalani ibadatnya dengan sempurna dan diterima oleh Yang Maha Kuasa.