Dalam sehari dua ini, Tumpang lalu berbual de­ngan beberapa pemimpin UMNO yang pernah kanan dulu termasuklah seorang dua ketua bahagian.

Tapi ada kalangan mereka nampak agak lemah semangat. Malaslah (nak sembang tentang politik), kata mereka. Nada macam ini kalau gagal bercinta, boleh kata patah hati.

Tapi seorang ini agak terbuka. Walaupun kalah di tangan orang baharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang pernah memegang portfolio penting di Kementerian Kewangan, masih percaya ada harapan menunggu UMNO.

Biarpun hujah-hujah yang diluahkannya agak ‘panas’ ketika ditemui baru-baru ini, namun memegang kepada keterbukaan dan berterus terang supaya UMNO bangkit, maka Tumpang lalu titipkan dalam ruangan ini antara rumusan Johari berikut:

 

1. Nombor 1 dan 2 sebagai caretaker parti

* Caretaker ini harus berjalan sehingga Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein me­nemukan pemimpin muda dan berkaliber yang layak meneruskan perjuangan parti.

Kalau boleh tukar balik cara pemilihan UMNO kepada kaedah lama iaitu G7 atau G13. Tak boleh buat macam sekarang, kelak semua ketua bahagian jadi warlord. Perlu ada orang lebih intelek menentukan siapa menjadi ketua.

Dahulu apabila UMNO buat pemilihan di bawah dengan memberi peluang kepada kira-kira 146,500 orang, ingatkan tidak ada politik wang. Tapi ada juga dan banyak. Berisiko jika terlalu terbuka kerana dikhua­tiri ada pihak tidak tahu menilai pemimpin terutama presiden dan timbalan presiden.

 

2. Apa line up paling sesuai?

* Parti kena bagi laluan kepada pemimpin-pemimpin muda untuk mereka menjalankan tanggungjawab rebrand dan transform UMNO. Tetapi itu tidak bermakna pemimpin-pemimpin senior meninggalkan parti. Mereka boleh menjadi penasihat atau memainkan peranan sokongan. Boleh wujudkan majlis penasihat.

UMNO perlukan pemimpin-pemimpin yang bo­leh memahami kehendak ma­syarakat.

UMNO sebuah parti yang banyak berjasa tetapi jasa sahaja tidak cukup untuknya memenuhi cita rasa generasi baharu.

Sebab generasi baharu tak merasai jasa itu. Yang merasainya adalah ibu bapa generasi baharu.

Isu pilihan raya negara ini lebih kepada soal integriti. Bukan soal BN tidak menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah parti yang berwibawa. Kalau BN bukan parti berwibawa, ia tidak akan dapat membangunkan ekonomi Malaysia dari hanya RM4 bilion kepada RM1.3 trilion. Siapa buat? BN dengan di bawahnya UMNO sebagai tunjang. Jadi bukan itu puncanya, tapi telah sampai masanya orang mempersoalkan integriti parti apabila ada ‘pe­mimpin-pemimpin yang dituduh songlapkan duit tapi tidak ada tindakan yang diambil pemimpin itu terhadap orang yang membuat tuduhan’.

3. Bahana persepsi

* Ini apabila Pengerusi Pakatan Harapan (kini Perdana Menteri) Tun Dr. Mahathir Mohamad menuduh pemimpin UMNO, pemimpin parti tidak mengambil tindakan saman fitnah. Ia menggambarkan seolah-olah benda itu betul.

Apabila bercakap soal derma, dipersoalkan bila derma itu dikembalikan?

Orang mempertikaikan mereka sudah beri sumbangan, kenapa pulangkan?

Sedangkan banyak benda kita boleh buat, kenapa pulangkan?

Kalau pulang pun bukan pada tempatnya. Jadi orang mempertikaikan.

 

4. Peluang Pakatan Harapan buktikan janji

* Kita kena berlaku adil kepada kerajaan baharu kerana mereka diberi mandat oleh rakyat. Rakyat sudah menilai BN selama 61 tahun. Mungkin generasi baharu tidak dapat membuat penilaian yang secukup­nya disebabkan 1.7 juta pengundi kali pertama dan sebagainya. Jasa UMNO/BN itu mungkin dicurahkan kepada ibu bapa mereka. Tetapi generasi baharu lebih melihat kepada keterbukaan.

Apabila Pakatan Harapan datang dengan cerita dan nada ke­terbukaan, sudah tentu mereka menjadi satu tarikan. Jadi mereka bagi undi. Bila Pakatan Harapan disokong, kena berlaku adil kepada kepemimpinan sekarang.

Le­bih terbuka dalam segala benda. Kita beri peluang kepada kerajaan sekarang untuk membuktikan keterbukaan dan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat semasa pilihan raya.

Barulah rakyat boleh menilai. Generasi ini mungkin akan me­ngundi semula lima tahun akan datang. Mereka akan buat penilaian.

Tetapi BN sudah ada track record untuk dibuat penilaian, iaitu BN memberi satu kestabilan politik selama 61 tahun. BN mengembangkan ekonomi daripada tiada ada-apa kepada RM1.3 trilion. Kita memberi pendidikan kepada hampir 100 peratus rak­yat yang tidak ada lagi tidak dapat masuk sekolah dan memperoleh pendidikan, sekali gus memboleh­kan mereka ini sekarang berfikir dan menilai sesuatu perkara.

Kemungkinan besar tidak cukup penilaian terhadap Pakatan Harapan. Jadi, kita beri peluang kepada Pakatan Harapan membuktikan janji-janji mereka.

Rumusan 1 hingga 4 tadi diluahkan dari hati ke hati oleh Johari kepada Tumpang lalu.

Dan serta-merta teringat Tum­pang lalu pada kata-kata orang lama UMNO yang kini berada dalam Pakatan Harapan, Tan Sri Dr. Rais Yatim kira-kira empat tahun lalu.

“Jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.7 juta ahli UMNO untuk menang pilihan raya. Jangan lupa, ahli DAP, Pas dan PKR, tidak lebih 800,000 orang. Tetapi mereka telah memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya umum berturut-turut (PRU 2008 dan 2013),” begitu kata Rais, yang terbukti ‘penangannya’ pada 9 Mei 2018.

Sesekali merenung sejenak kejayaan Pakatan Harapan, lebih tepat lagi untuk Tumpang lalu tambah sedikit telahan Rais itu: “Pakatan Harapan melahirkan hanya beberapa ikon yang sudah cukup mengatasi sejuta wajah. Mengiakan kualiti mengatasi kuantiti.”

Dan kalau mahu diceduk idea Johari bab caretaker tadi, Tum­pang lalu lebih gemar melihat wajah-wajah antaranya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; bekas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed selain Johari sendiri berada di barisan hadapan parti - sekurang-kurangnya kalangan mereka di peringkat nombor 3.