Mah Siew Keong
Mah Siew Keong

Sekiranya langkah tersebut dilaksanakan, ia sudah pasti akan menjejaskan lebih 650,000 pekebun kecil kelapa sawit dan 3.2 juta rakyat yang bergantung hidup dengan industri itu di negara ini.

Apa yang membimbangkan, larangan penggunaan biobahan api berasaskan minyak sawit mungkin menjadi titik permulaan kepada pengharaman import sawit ke pasaran EU pula selepas ini dalam usaha blok tersebut melindungi industri negara-negara anggota.

Dengan kedudukan EU sebagai antara pasaran minyak sawit terbesar di dunia, keputusan tersebut pasti akan memberikan kesan kepada Malaysia yang merupakan antara negara pengeluar utama minyak sawit global bersama Indonesia dan Thailand.

Untuk rekod, sebanyak satu pertiga atau kira-kira 600,000 tan daripada daripada dua juta tan minyak sawit dan produk sawit yang dieksport ke EU digunakan untuk biobahan api, dengan EU mengimport 215,000 tan biodiesel secara langsung dari Malaysia.

Daripada keseluruhan 2.8 juta tan permintaan EU ke atas biodiesel berasaskan kelapa sawit, Malaysia membekalkan 800,000 tan metrik dan baki dua juta tan lagi dari Indonesia.

Ketika ditemui Jumaat lalu, Menteri Perusahaan Perla- dangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, cadangan tersebut terlebih dahulu perlu mendapat kelulusan daripada menteri-menteri dari 28 negara anggota EU sebelum boleh dikuatkuasakan.

Namun, beliau menegaskan, sekiranya EU melaksanakan sekatan tersebut, Malaysia, Indonesia dan Thailand tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan balas dengan menyekat kemasukan produk-produk dari Eropah.

“Sekiranya EU melaksanakan langkah yang diskriminasi tidak membenarkan kelapa sawit jadi biobahan api, kita akan ambil tindakan balas. Negara kita juga beli banyak barang dari Eropah. Kita juga boleh henti beli.

“Tetapi kita harap tidak sampai ke tahap itu. Kita akan meneruskan rundingan dengan negara-negara EU dan berharap satu keputusan menang-menang dapat dicapai,” katanya.

Selain itu, negara-negara pengeluar utama minyak sawit mungkin perlu memberikan perhatian kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkasakan industri sawit agar tidak ada lagi dakwaan-dakwaan seperti menjejaskan kesihatan dan alam sekitar.

Ini kerana nilai pasaran global minyak sawit bukan kecil, sebaliknya bernilai puluhan bilion setahun dan dijangka mencecah AS$92.84 bilion (RM372.122 bilion) pada 2021.