Hal ini disuarakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika merasmikan Karnival Jualan Koperasi dan Kenduri Rakyat peringkat Negeri Kedah baru-baru ini.

Janji ini tentu melegakan semua penduduk di negara ini kerana barang-barang yang disenaraikan itu digunakan setiap hari oleh semua rakyat. Paling tidak pun, nasi dimakan juga sehari sekali walaupun lauk tidak sedap atau orang itu sedang jaga badan dan mahu menurunkan berat badan.

Kalau harga beras naik, ramai akan merungut. Malah, apabila harga minyak masak naik pada 1 Oktober 2016 selepas dilakukan penstrukturan semula, perbincangan mengenainya berlarutan beberapa minggu kerana kita menjadi pengeluar kelapa sawit dan kelapa sawit menjadi eksport utama negara.

Perkara sukar untuk me­yakinkan orang ramai ialah pelbagai kos yang terpaksa dikeluarkan sebelum sesuatu barang dan perkhidmatan itu jatuh ke tangan pengguna.

Apa yang penulis sering dengar sejak beberapa tahun lalu ialah rungutan orang ramai mengenai kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup terutamanya di bandar-bandar dan pekan-pekan.

Dalam pada itu, cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetap menjadi keluhan masyarakat dan ditambah pula dengan pelbagai andaian masyarakat mengenai GST menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Maka tidak hairanlah ini akan menjadi salah satu agenda parti politik pembangkang untuk ‘menghentam’ pemerintah kerana mereka menganggap pelbagai masalah dihadapi orang ramai berkait rapat dengan apa yang dilaksanakan oleh pemerintah.

Apa yang telah dilakukan oleh KPDNKK seperti Program Jualan Sentuhan Rakyat dilihat sebagai sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada orang ramai untuk menjimatkan belanja harian.

Untuk memuaskan hati orang ramai, program ini mestilah diadakan selalu dan lokasinya mestilah diperluaskan supaya orang ramai berpeluang menikmati manfaatnya. Program ini harus diadakan selalu supaya orang ramai tidak menganggap program ini bermotif politik, apatah lagi jika hampir-hampir pilihan raya barulah pelbagai program diadakan untuk penduduk di sesuatu kawasan.

Ini termasuklah juga Program Jimat Belanja Dapur (JBD) yang boleh dilihat sebagai usaha untuk meringankan bebanan golongan miskin dan berpendapatan sederhana agar dapat sama menikmati harga yang berpatutan ketika berbelanja.

Dalam pada itu, semasa keputusan BN merosot dalam PRU-12 dan PRU-13 dahulu, media-media utama negara turut membincangkan kepincangan sesetengah pihak sehingga keputusan banyak memihak kepada parti pembangkang.

Ini termasuklah sikap sesetengah pemimpin yang di­pilih bersikap menyepi selepas memenangi pilihan raya sebaliknya mereka mestilah selalu berjumpa rakyat yang telah memilih mereka sehingga berada di atas.

Dan, mereka tidak semestinya datang hanya pada waktu hampir-hampir pilihan raya sahaja. Malah, ada yang berkata bahawa mereka tidak kenal siapa sebenar­nya wakil mereka kerana pemimpin mereka tidak pernah menjengah langsung selepas memenangi pilihan raya.

Kita sangat bimbang situasi ini akan diterjemah di dalam kertas undi nanti. Apabila nasi sudah menjadi bubur, bincang apa pun sudah terlewat kerana keputusan muktamad rakyat tidak boleh ditarik balik.