Kegigihan, ketabahan dan kesungguhan pasukan itu dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan negara tidak mampu dinafikan oleh sesiapapun. Kalau mahu disenaraikan jasa pasukan tersebut bak kata orang tujuh hari tujuh malam pun belum tentu dapat disiapkan.

Sesungguhnya seluruh rakyat Malaysia terhutang budi de­ngan PDRM. Tidak kira di mana mereka berada sama ada desa mahupun kota, pekan mahupun kampung, di darat mahupun lautan, setiap daripada kita perlu berterima kasih dan menghargai pasukan tersebut.

Apa yang kita nikmati dan kecapi sekarang adalah hasil jasa pasukan berkenaan. Mereka bertugas siang dan malam, pagi dan petang tanpa mengira waktu.

Ketika kita nyenyak tidur, ada anggota yang bersengkang mata melakukan rondaan bagi memastikan tiada kegiatan jenayah berlaku. Apabila kita memulakan rutin harian untuk ke pejabat dan sebagainya, ada anggota polis trafik yang akan memastikan perjalanan kita lancar, bila kita berdepan dengan ancaman penjenayah, anggota polis paling ke hadapan tampil mempertahankan kita.

Biarlah apapun ancaman yang berlaku, rakyat negara ini sentiasa menaruh keyakinan tinggi kepada PDRM untuk menanganinya. Bermula dari demonstrasi jalanan hingga ancaman pengganas Daesh, semuanya mampu diuruskan dengan baik oleh pasukan tersebut.

Oleh itu usahlah ada dalam kalangan kita tidak tahu berteri­ma kasih kepada PDRM. Tanpa PDRM belum tentu kita dapat hidup tenang dan aman, samalah juga dengan bakti pasukan-pasukan keselamatan yang lain.

Tidak dapat dinafikan, ada ketika PDRM terpaksa menempuh cabaran khususnya dari segi persepsi apabila ada pegawai dan anggotanya yang ditahan kerana salah guna kuasa dan ra­suah, tetapi jumlahnya tidaklah ramai.

Memang benar ada seorang dua yang bersedia menjadi pengkhianat kepada pasukan itu dengan bertindak menyalah gunakan kuasa, namun sejarah sudah membuktikan PDRM tidak pernah berkompromi soal berkenaan. Kelompok itu hanyalah segelintir sahaja berbanding ribuan lagi pegawai dan anggota polis yang bertugas dengan penuh dedikasi, ikhlas dan bertanggungjawab.

Mungkin Hari Polis tidaklah disambut dengan meriah, malah mungkin ada dalam kalangan masyarakat tidak mempedulikannya pun, tetapi ingatlah tanpa PDRM belum tentu kita mampu hidup aman.

Justeru belajarlah untuk berterima kasih kepada PDRM. Pegawai dan anggota pasukan itu tidak mengharapkan pujian atau sanjungan. Mereka berkhidmat demi bangsa, agama dan negara tetapi janganlah ada antara ketika begitu mudah mencaci apatah lagi membuat tuduhan melulu terhadap pasukan itu.

Begitulah juga ada yang mengaitkan pegawai dan anggota polis banyak berhutang. Soalnya siapa antara rakyat Malaysia yang tiada hutang? Bagi penulis adalah lebih baik mereka berhutang untuk menampung kehidupan daripada menjamah wang haram dengan mengamalkan rasuah.

Dan lebih daripada itu adalah wajar jika kerajaan mencari pendekatan terbaik bagaimana mahu memastikan pegawai dan anggota pasukan itu tidak terbeban dengan hutang berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Apapun penulis yakin pegawai dan anggota PDRM tidak akan terganggu dengan pandangan dan persepsi negatif terhadap pasukan berkenaan. Sebaliknya mereka akan terus menabur bakti demi tanah air tercinta ini.

Sekali lagi pesan penulis, belajarlah berterima kasih kepada PDRM. Terlalu banyak pengorbanan dan jasa mereka kepada kita. Mereka pertaruhkan segala-galanya waima nyawa sekalipun demi menjaga keselamatan negara dan ketenteraman rakyat Malaysia.