ANWAR IBRAHIM

 

Demikianlah antara persoalan yang menjadi perbualan dalam kalangan pemerhati politik menjelang pemilihan PKR pada Ogos ini. Setakat ini Anwar sudah mengesahkan akan bertanding jawatan Presiden. Beliau akan mengisi borang pencalonan di Turki yang akan dibawa oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Pada masa sama, Wan Azizah setakat ini sudah menyatakan akan memberi laluan kepada suaminya untuk mengisi jawatan tersebut tetapi akan kekal sebagai Presiden Pakatan Harapan. Selain itu, `ayam sabung’ PKR, Rafizi Ramli pula sudah mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Azmin.

Soalnya ke mana Azmin? Apakah beliau akan berhadapan dengan Rafizi bagi mempertahankan jawatannya atau berusaha untuk `naik pangkat’ dengan bertarung menentang Anwar bagi jawatan Presiden? Sememangnya tumpuan diberikan kepada Azmin kerana sebarang keputusan yang beliau lakukan bakal menyaksikan episod menarik dalam pemilihan PKR kali ini. Ketika ini Azmin masih lagi berteka-teki. Beliau dikatakan akan membuat keputusan pada 5 Ogos ini.

Jika Azmin membuat keputusan untuk menentang Anwar ia boleh dianggap pertarungan `hidup mati’ kepada kedua-dua mereka . Azmin yang melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor dan kini menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi dianggap pemimpin masa depan kepada PKR. Jika beliau tewas mungkin perjalanan politiknya di dalam PKR akan `terbantut’.

Anwar pula mahu memenangi jawatan Presiden PKR bagi membolehkan beliau meneruskan perjalanan politiknya dan paling penting mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. Bagaimanapun jika Anwar tewas dalam pertarungan tersebut karier politik beliau boleh dianggap `berada di hujung tanduk’. Sudah pasti ada yang akan berhujah bagaimana mahu menjadi Perdana Menteri kalau parti sendiri pun menolak.

MOHAMED AZMIN ALI
MOHAMED AZMIN ALI

Atas sebab itulah mahu tidak mahu Anwar mesti menang jawatan Presiden sebelum diteruskan dengan pilihan raya kecil untuk menjadi Ahli Parlimen. Walaupun tiada jaminan beliau boleh menjadi Perdana Menteri selepas itu, tetapi sekurang-kurangnya beliau mempunyai `peluru’ atau `alasan’ untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad untuk mengotakan janjinya melantik beliau menduduki jawatan nombor satu negara itu.

Bagaimanapun ramai yang bimbang apakah Anwar akan kecewa lagi, ia memandangkan setakat ini tidak nampak unsur-unsur beliau akan diberikan laluan mudah untuk menduduki jawatan Presiden. Segala-galanya terletak di tangan Azmin. Walaupun Azmin menganggap segala spekulasi berhubung pemilihan PKR adalah mainan UMNO bagi memecahbelahkan parti itu tetapi hujahnya, kalau benar beliau mahu memberi laluan kepada Anwar, beliau tidak perlu menunggu sehingga 5 Ogos untuk membuat keputusan.

Tindakan Azmin menangguhkan keputusan atau pendiriannya berhubung jawatan apa yang mahu ditandingi hanya mewujudkan lebih banyak spekulasi berhubung pertembungan beliau dengan Anwar. Namun adalah menjadi hak Azmin untuk memikirkan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan.

Biarpun ramai yang meramalkan Azmin tidak ada masalah untuk mengekalkan jawatan Timbalan Presiden PKR tetapi mungkin Azmin mempunyai percaturan politik bagi memastikan beliau mampu melangkah lebih jauh lagi berkaitan kedudukan dalam kerajaan.

Apapun ramai ternanti-nanti apakah pertembungan ‘2A’ – (Anwar-Azmin) akan berlaku? Ini kerana keputusan jawatan Presiden PKR bukan sekadar melibatkan perubahan dalam struktur organisasi PKR tetapi lebih penting daripada politik negara secara keseluruhannya.

Ini kerana jika Anwar tewas maka terkuburlah impian untuk menjadi Perdana Menteri manakala jika beliau menang pula, arena politik negara bakal menyaksikan satu `gabungan menarik’ apabila suami menjadi Presiden parti manakala isteri menjadi Presiden kepada sebuah pakatan politik.

Justeru itulah pemilihan PKR kali ini menjadi tumpuan. Biarpun apa juga hujah yang diberikan termasuklah atas nama semangat demokrasi, namun jika pertembungan `2A’ berlaku maka mereka tidak boleh menghalang spekulasi bahawa di dalam PKR `berpuak-puak’. Kalaulah sebelum ini pemimpin-pemimpin PKR sering membuat spekulasi perkara itu kepada UMNO maka mereka perlu bersedia untuk `menghadam’ perkara yang sama.

Kini segala-galanya terserah kepada 800,000 ahli PKR yang akan mengundi secara dalam talian menerusi `e-voting tetapi sementara menanti hari pengundian, apa yang paling penting siapakah bakal bertanding. Ketika ini kecuali Anwar , Rafizi dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sudah menyatakan pendirian, pemimpin-pemimpin kanan PKR masih belum menyatakan jawatan mana menjadi `pilihan hati’ mereka.

Mungkin mereka masih mencongak dan memantau situasi di peringkat akar umbi yang ketika ini semakin terhakis suara dan semangat reformasi yang bergema pada tahun 1998. Maklumlah impian untuk menjadi kerajaan sudah menjadi kenyataan dan sekarang adalah masa untuk memastikan pemimpin idola mereka menerajui negara.

Walaupun ada perjanjian untuk meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri, tetapi ia bukanlah jaminan pasti menjadi kenyataan. Kalaulah janji-janji dalam manifesto melibatkan 30 juta rakyat Malaysia akhirnya tidak dapat ditunaikan atas pelbagai `faktor’, apalah sangat kegagalan untuk menunaikan janji mengangkat Anwar menggantikan Dr. Mahathir. Sama-samalah kita tunggu kesudahannya.