Sebab itu, amat menarik sekali beberapa hari lalu apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan laporan penuh mengenai kehilangan pesawat MH370 akan dibentangkan dalam masa beberapa bulan akan datang.

“Sebelum ini hanya laporan interim dikeluarkan dan laporan penuh tidak pernah diterbitkan sejak MH370 hilang pada 8 Mac 2014,” tegas beliau lagi pada sidang media selepas mesyuarat bersama pimpinan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) Isnin lalu.

Menjawab pertanyaan wartawan mengenai keputusan pencarian MH370 selepas misi penca­rian yang dilakukan oleh syarikat Ocean Infinity tamat Rabu lalu, beliau berkata, keputusan hanya akan diumumkan selepas mesyuarat Kabinet minggu ini.

Tetapi jika diteliti mengenai ungkapan laporan penuh akan dibentangkan dalam masa beberapa bulan maka sudah dapat dijangkakan apakah keputusan yang bakal dibuat pada mesyuarat Kabinet nanti.

Ini adalah kerana mengikut peruntukan Pertubuhan Pener­bangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang mengawal selia hal ehwal penerbangan awam, laporan penuh mengenai kemalangan pesawat tidak perlu dikeluarkan selagi bangkai pesawat belum ditemukan atau misi pencarian masih berjalan.

Sebab itu, Kementerian Pengangkutan setakat Mac lalu telah mengeluarkan empat laporan interim mengenai kehilangan pesawat MH370.

Sebab itu juga dihujahkan jika dikaitkan kenyataan Siew Fook mengenai laporan penuh dan peruntukan ICAO mengenai tanggungjawab Malaysia yang mengetuai penyiasatan kemalangan, maka sudah dapat dijangkakan dasar kementerian beliau mengenai isu MH370. Apakah akan ada pengakhiran isu MH370, ia hanya akan diketahui selepas mesyuarat Kabinet nanti.

Jika Kementerian Pengangkutan pada hari ini dilihat proaktif dan tegas berhadapan dengan isu MH370 apabila membuat keputusan menamatkan misi pencarian oleh Ocean Infinity dan berikrar mengeluarkan laporan penuh tidak lama lagi, lain pula halnya dengan isu pesawat MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine hampir empat tahun lalu kerana Malaysia dilihat mengambil pendirian yang agak berprofil rendah.

Mengapa pengamatan sedemikian dibuat sedangkan beberapa hari lalu perkembangan terkini mengenai siasatan oleh Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang dianggotai oleh Belanda, Australia, Ukraine, Belgium dan Malaysia telah mengesahkan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia.

Memang benar laporan akhir yang dikeluarkan oleh JIT pada 2016 mengesahkan peluru berpandu BUK digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 tetapi laporan tersebut tidak menjurus kepada pihak yang bertanggungjawab melepaskan tembakan tersebut. Sebaliknya, laporan terkini adalah begitu spesifik kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu pasukan 53 Briged Anti Peluru Berpandu Pesawat yang berpangkalan di Kursk, barat Rusia. Laporan tersebut juga menegaskan bukti yang dikemukakan mempunyai kekuatan dari segi perundangan jika digunakan dalam perbicaraan mahkamah.

Reaksi awal dari dua negara anggota JIT iaitu Australia dan Belanda telah mengeluarkan kenyataan bahawa Rusia perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

Menteri Luar Australia, Julie Bishop menegaskan Australia akan mengambil langkah susulan supaya keluarga 27 penumpang rakyat Australia yang terkorban diberi pampasan oleh kerajaan Rusia dan mengheret mereka yang terlibat ke pengadilan mahkamah.

Sementara itu, Menteri Luar Belanda, Stef Blok pula me­nyarankan supaya Rusia lebih memberi kerjasama dalam mencari penyelesaian kerana setakat ini tahap kerjasama yang dihulurkan oleh Moscow begitu mengecewakan sekali.

Perlu ditekankan Parlimen Belanda telah meluluskan beberapa perundangan tempatan untuk membolehkan mereka yang disabitkan dibicarakan dalam sistem mahkamah Belanda.

Seperti mana Australia dan Belanda, United Kingdom (UK) yang kehilangan 10 rakyat mereka dalam tragedi tersebut juga begitu spesifik menyebut Rusia perlu menjawab laporan terkini JIT. Menteri Luar UK, Boris Johnson menegaskan Rusia tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya tanpa menerima hukumannya.

Malaysia juga ada mengeluarkan kenyataan melalui Kementerian Luar berkaitan dengan laporan terkini JIT yang antara lain menekankan Kuala Lumpur secara konsisten menyokong dan terpanggil dengan proses siasatan yang dilakukan secara telus, bebas dan menyeluruh.

Tanpa menyebut Rusia secara spesifik seperti yang telah diutarakan oleh Menteri Luar Australia, Belanda dan UK, Malaysia menyeru saksi-saksi tampil membantu JIT dalam melakukan siasatan dengan memberikan bukti sokongan tambahan agar pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Mengapa reaksi Belanda, Malaysia dan Australia sering mendapat perhatian kerana rakyat ketiga-tiga negara ini merangkumi jumlah tertinggi penumpang yang terkorban iaitu masing-masing seramai 193, 44 dan 27 orang.

Harapannya adalah Malaysia perlu menzahirkan ketegasannya mendepani kemelut MH17 walaupun terpaksa berhadapan dengan Rusia demi keadilan mangsa, keluarga mereka dan rakyat umum.

Memang benar Malaysia tidak mengetuai penyiasatan dalam JIT seperti dalam kes penyiasatan MH370 tetapi berada dalam ruang lingkup JIT sudah memadai untuk mengetahui dengan sahih hasil penyiasatan.

Tidak syak lagi isu MH17 berbeza dengan MH370 kerana peristiwa MH17 terpalit dengan percaturan geopolitik antarabangsa terutama membabitkan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Rusia.

Pada 2 Julai 2015 Malaysia te­lah mengusulkan resolusi penubuhan tribunal MH17 di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu maka itu adalah manifestasi iltizam negara walaupun berhadapan dengan veto Rusia. Sebab itu juga dihujahkan ketegasan Malaysia dalam menangani isu ini adalah tidak asing.