Ketika sempat meninjau majlis itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelihatan wajah-wajah pe­mimpin yang tidak ceria termasuk mereka yang menang. Kehadiran anggota termasuk yang bertaraf pemimpin juga bukanlah sesuatu yang menggalakkan. Mung­kin ma­sih terkejut. Begitulah ke­san ke­putusan luar biasa PRU kali ini yang menimbulkan pel­bagai kejutan. Ti­dak hairanlah sehingga ke hari ini, ada lagi cerita politik hasil keputusan PRU itu. Memang teramat besar kesannya. Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) dapat menerima realiti kekalahan kepada Pakatan Harapan (PH) tanpa menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tidak ada demonstrasi atau bantahan terhadap SPR. Mereka dapat menerima hakikat akan menjadi pembangkang yang baik di Dewan Rakyat atau di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kecuali Perlis dan Pahang yang me­mihak kepada BN dengan se­lesa, ada juga negeri yang ‘ter­ikat’ keputusannya sehingga me­merlukan sokongan parti lain bagi membentuk kerajaan de­ngan majoriti mudah. Sama ada keputusan berpindah parti atau lebih popular dengan is­tilah ‘lompat’ dianggap belot, po­tong kawan atau melanggar prin­sip perjuangan, apa yang pen­­ting pembentukan sesebuah ke­rajaan itu perlu berjalan lancar. Pe­nangguhan penubuhan ke­ra­jaan akan menyebabkan banyak uru­san terganggu. Benar, lumrah po­litik, apabila berlaku sesuatu ma­salah, ada yang cepat-cepat mahu ‘mencuci tangan’ atau menuding jari mencari silap di sana sini. Padahal mereka inilah yang suatu masa dulu jika ditolak tidak rebah. Tidak ramai yang akan tampil mengakui kesilapan diri sendiri. Kata orang, apabila pokok tumbang, beruk yang ghairah bergayut ke sana sini dari satu dahan ke satu dahan akan turut lari mencari pokok lain yang lebih selamat. Begitulah lumrah kehidupan walaupun tidak semuanya berpendirian sedemikian.

Menyelak kembali pembentukan kerajaan negeri ini, terdapat beberapa orang yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang melompat menyertai parti lain dengan alasan untuk membantu pembentukan kerajaan. Keputusan mereka tidak salah atau bertentangan dengan undang-undang SPR. Situasi ini bukan sesuatu yang luar biasa kerana pernah berlaku. Cuma pada kali ini agak ramai berbuat demikian. Khabarnya masih berlaku tawar menawar untuk memastikan pembentukan kerajaan yang benar-benar berwibawa sama ada di peringkat negeri atau Pusat. Mungkin minggu ini dapat selesai semuanya dan masing-masing dapat melakukan tanggungjawab yang diamanahkan.

Biarlah orang politik menyelesaikan masalah mereka setelah rakyat ‘mengotorkan’ jari mereka untuk memilih. Biarlah pembentukan kerajaan sama ada melibatkan barisan menteri Kabinet atau exco kerajaan negeri dapat diselesaikan dengan segera. Biarlah orang politik membuat perkiraan mengikut kesesuaian. Matlamat mereka biar jelas dan ikhlas untuk kepenti­ngan rakyat, bukannya melepas tengkuk sendiri atau demi keselesaan dan kelangsungan hidup. Di Kedah kedudukan PH bertambah lega apabila dua orang wakil rak­yat BN menyertai kerajaan negeri pimpinan Mukhriz Mahathir; di Perak juga sama apabila seorang wakil BN turut berhijrah kepada PH; di Sabah, Warisan membentuk kerajaan apabila wakil UMNO dan UPKO turut melompat menyebabkan BN kehilangan peluang. Pas pula membentuk kerajaan negeri dengan selesa di Kelantan dan Terengganu tanpa mengharapkan penghijrahan wakil rakyat lain.

Tindakan itu walaupun mendapat pelbagai pandangan sama ada berbentuk kecaman atau sokongan, semuanya terpaksa menerima hakikat warna warni politik masa kini. Adakah pada masa akan datang, sesiapa sahaja boleh bertanding tanpa mewakili parti politik? Selepas bertanding, kumpul semua yang menang dan bentuk kerajaan. Bolehkah begitu? Ketika itu tidak ada lagi istilah lompat melompat atau menggadaikan prinsip perjua­ngan dengan pelbagai alasan untuk meyakinkan para pengundi yang mengundi mereka. Biarlah masa yang menentukan.

Hari ini juga selepas bercuti panjang, penjawat awam terutamanya akan kembali bekerja. Kehadiran mereka hari ini sudah tentu berbeza kerana mendapat ‘majikan’ baharu. Bagi yang berjawatan tetap akan kurang sedikit tekanan, mungkin sekadar ber­ubah posisi atau paling tidak bertukar ke tempat lain. Bagi yang bekerja secara kontrak atau mempunyai kaitan dengan agensi tertentu yang melibatkan hubungan terus dengan kerajaan Persekutuan, mungkin sedikit tergugat. Mereka ini mula memikirkan tentang kemungkinan hilang pekerjaan apabila orang yang disokong selama ini tidak lagi menjadi ‘majikan’. Semoga golongan pekerja sebegini tidak menjadi mangsa PRU. Jangan biarkan mereka se­perti anak ayam kehilangan ibu lebih-lebih lagi menjelang Ramadan dan disusuli Hari Raya Aidilfitri. Janganlah bertindak se­perti ‘enau dalam belukar’.

PRU adalah untuk memilih kerajaan dan jangan kerananya rakyat menjadi mangsa. Kalah menang adat pertan­dingan dan puncanya pelbagai. Kekalahan tidak bererti hilang segala-gala­nya dan yang menang pula belum pasti mendapat semuanya. Dalam politik, sebarang kemungkinan boleh berlaku. Kalah menang PRU kali ini juga menjawab persoalan Rais Yatim sebelum ini. Selak masih ingat reaksi Rais berhubung kenyataan seorang pemimpin UMNO. Beliau berkata: “Belum tahu siapa jatuh dulu – entah pucuk entah pelepah daun. Itu kerja Tuhan,’’ Jelaslah, tidak ada siapa dapat menduga. Pucuk muda dipatahkan, dijadikan ulam. Diharapkan apa yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

Pemimpin perlu muhasabah.Masih ada masa untuk yang jatuh bangkit kembali. Perlu ada strategi. Mereka yang merasai sudah tiba masa untuk berundur, maka berundurlah. Berilah peluang kepada pelapis. Jangan jadi seperti daun pelepah pisang yang terpaksa dicantas kerana tidak jatuh sendiri dan terbiar di pokok. Salah satu kaedah penjagaan pokok pisang adalah daun tua dibersihkan.Pelepah tua dan berpenyakit perlu dicantas. Apa pun tindakan parti politik dalam memantapkan perjuangan masing-ma­sing, sekarang juga adalah masa untuk mereka kembali bersatu. Terlalu ramai yang terluka dan dilukai. Terlalu banyak penghinaan, kecaman, fitnah, maki hamun dan sebagainya dihamburkan sepanjang kempen PRU ini. Cukuplah! Usahlah terlalu berdendam.

Perasaan yang terguris mungkin tidak semudah menghilangkan dakwat di jari. Begitu juga menghilangkan dakwat itu tidak semudah menghapuskan kesan nila yang merosakkan susu sebelanga. Hentikan penyebaran apa juga bahan yang boleh mengaibkan orang lain, bangsa dan agama sama ada dalam bentuk kartun, lukisan, vi­deo dan sebagainya. Semoga PRU ini mengajar kita supaya jangan terlalu benci sehingga menghina dan jangan terlalu suka sehingga memuja. Ambillah kesempatan Ramadan ini untuk mengukuhkan kembali tali silaturahim.