Diharapkan semua urusan berkaitan sama ada di negara ini dan di Arab Saudi dapat berjalan lancar. Tahun ini juga, bagi jemaah dari Lembah Klang serta negeri sekitarnya akan menggunakan kompleks haji baharu yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kompleks yang dilengkap­kan dengan hotel ini menggantikan Kompleks Haji Kelana Jaya.

Sebelum berangkat, persiapkanlah diri dengan penjagaan kesihatan, fizikal dan mental. Tiga perkara ini amat penting bagi memastikan perjalanan ibadah itu dapat disempurnakan dengan baik.Berdasarkan pengalaman lalu, bakal jemaah tidak boleh meletakkan harapan yang tinggi semasa di Tanah Suci terutama ketika kemuncak ibadah di Arafah, Muzdalifah dan Mina (Masyair).

Berikutan peningkatan jumlah jemaah, kemudahan yang disediakan juga terbatas. Jika kesihatan baik disokong pula kekuatan mental dan fizikal, fokus kepada ibadah untuk hari-hari penting itu akan dapat dilaksanakan dengan baik walaupun berhadapan de­ngan pelbagai cabaran terutama berkaitan ‘ke­selesaan’.

Lupakan seketika soal keselesaan atau kemudahan di tempat tinggal terutama semasa kemuncak haji. Banyakkanlah bersabar dan istiqamah. Tabung Haji (TH) memang sentiasa berusaha menyediakan yang terbaik kepada jemaah tetapi ­akhirnya pengurusan per­khidmatan di sana adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Arab Saudi. Sebagai penjaga dua Tanah Suci, kerajaan Arab Saudi sentiasa ber­usaha untuk menyediakan kemudahan terbaik. Bagi tujuan itu, sudah tentu akan berlaku serba sedikit kekura­ngan atau kelemahan.

Seperti sering kita terbaca di kawasan pembinaan yang tertulis ‘kesulitan hari ini untuk keselesaan masa depan’. Begitu juga dengan Wawasan 2030 kerajaan Arab Saudi yang turut memberi perhatian terhadap pembangunan kota suci itu bagi menampung sehingga 30 juta jemaah haji dan umrah pada masa akan datang. Kerja-kerja pembesaran masjid mungkin mengganggu sedikit tetapi terpaksa dilakukan untuk keselesaan akan datang.

Bakal jemaah sama ada secara muassasah atau pakej perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran atau kerenah perkhidmatan walaupun TH atau syarikat berkaitan sebagai pemudah cara berusaha mengatur perjalanan dengan sempurna. TH tidak lepas tangan dalam menghadapi isu-isu ini tetapi keputusan ­akhirnya bergantung kepada pihak muassasah.

Perancangan TH memang boleh dianggap terbaik tetapi terdapat kekangan yang memerlukan jemaah lebih memahami situasi yang dihadapi. Apa yang penting, ikutilah nasihat atau arahan yang dikeluarkan oleh petugas TH ter­utama berkaitan pergerakan ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Ingatlah, ketika berada di ‘rumah’ orang, ada peraturan yang perlu diikuti bak kata pepatah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Semoga kursus haji dan kemudiannya kursus perdana haji di seluruh negara dapat memberi motivasi kepada para jemaah walaupun pengalaman secara teori dan praktikal seperti tawaf, saei, melontar dan lain-lain lagi teramat jauh daripada realiti ibadah sebenar. Hakikatnya, tempoh kemuncak ibadah haji bagi melaksanakan rukun dan wajib haji yang banyak menguji kesabaran jemaah tidak sampai satu minggu.

Tempoh inilah yang sebenarnya menguji tahap kesabaran. Bermula dengan hari untuk ke Arafah sehinggalah kembali ke Mekah. Apabila diminta meninggalkan bilik hotel di Mekah, bersedia­lah untuk mematuhi prosedur yang ditetapkan. Ikutilah giliran, dapatkan nombor bas yang tepat, semak senarai nama dan tunggu pada waktu ditetapkan.

Jangan berang apabila jadual perjalanan berubah atau mengalami kelewatan. Menyelak kembali pengalaman lepas, ada jemaah yang dijanjikan ke Arafah selepas Zuhur, akhirnya membawa ke Asar seterusnya hingga ke tengah malam atau awal pagi. Tiba di Arafah pula, berlaku masalah penginapan kerana ruang khemah yang mungkin terbatas. Keadaan yang sama juga berlaku di Mina. Dalam erti kata lain jangan mengharapkan ruang tidur yang selesa sama ada di Arafah atau Mina.

Di Muzdalifah, dengan berpa­kai­an ihram, bakal jemaah boleh bentang alas tikar yang dibekalkan. Berehat dan tidurlah di ruang terbuka berbumbungkan langit sementara menunggu kehadiran bas. Di Arafah dan Mina, setiap jemaah akan dibahagikan kepada kumpulan tertentu dan ruang di dalam khemah mengikut senarai yang ditetapkan.

Patuhilah apa yang diputuskan bagi mengelakkan perebutan tempat atau ruang tidur. Jangan tersilap kumpulan kerana tindakan itu mungkin menyebabkan ada yang terpaksa tidur di luar khemah (Arafah) atau di lorong antara khemah (Mina). Bersabarlah kerana ada jemaah yang bertindak ‘ikut suka’ atau tersilap khemah dan enggan mengalah disebabkan keletihan atau tidak mahu ‘menyusahkan di­ri sendiri’. Perjalanan ke Muzdalifah dan Mina akan timbul masalah apabila perkhidmatan bas gagal mengikuti jadual.

Mungkin disebabkan kesesakan atau pemandu gagal mengenali destinasi. Biar pun berhadapan masalah di Arafah, jangan sampai terlupa untuk memanfaatkan waktu wuquf dengan amalan yang disarankan. Jagalah percakapan walaupun niat asal hanya untuk menegur. Dalam situasi begini, tanpa di­sedari jemaah mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya terhadap TH, petugas atau sesama rakan. Bertenang dan bersabar. Anggaplah ia sebagai kehendak atau ujian daripada Allah.

Elakkanlah daripada ‘perangkap’ yang dapat mengurangkan pahala. Perjalanan melontar jamrah juga satu cabaran kerana berjalan kaki sejauh tujuh kilometer iaitu 3.5 km. pergi dan 3.5 km. pulang. Berge­raklah secara kumpulan, bantulah rakan jemaah yang uzur. Sebarang masalah berkaitan ibadah juga harus dirujuk kepada petugas TH. Jangan bertindak sendirian sehingga me­rosakkan ibadah.

Kemudahan tandas juga satu cabaran kerana bilangan amat terhad. Situasi ini benar-benar me­nuntut kesabaran. Jagalah kebersihan tandas kerana ada yang membuang botol air minuman di dalam tandas. Keadaan lebih buruk apabila jemaah lelaki yang bercukur membiarkan rambut berselerak di tandas atau tempat berwuduk.

Berdisplinlah. Ingatlah kesucian itu amat dituntut oleh Islam. Surau juga terhad di Arafah dan tidak semua jemaah dapat memasukinya. Di Mina, khemah tempat tidur itulah sebagai surau kumpulan masing-masing. Kepada perokok, hormatilah jemaah yang tidak merokok atau alah kepada asap rokok. Carilah ruang yang tidak mengganggu jemaah lain. Lebih elok tidak merokok.

Akhir sekali selamat menunaikan ibadah haji kepada seluruh umat Islam. Sama ada ambil haji, buat haji, tunai haji atau mengerjakan haji, lakukanlah yang terbaik. Semoga segala urusan berjalan lancar dan akhirnya memperoleh haji mabrur, makhsus, maqbul atau mardud. Diharapkan para petugas TH juga dapat meningkatkan tahap kepuasan jemaah pada tahun ini.