Lebih menarik lagi, tahun sebelumnya, Francis Fukuyama (The End of History and the Last Man, 1992) meramalkan kejatuhan sejarah dan kemanusiaan boleh terjadi dengan berakhirnya amalan demokrasi liberal dalam kalangan nation-state dunia.

Sebagaimana biasa dalam mana-mana wacana intelek, idea besar kesemua pemikir Barat ini juga turut menerima sanggahan oleh sarjana sejenis; misalnya oleh Jacques Derrida yang mengkritik Fukuyama dalam Spectres of Marx (1993) dan Amartya Sen yang mengulas Huntington dalam What Clash of Civilizations? (2006).

Dalam kesibukan dunia bertarung dengan ancaman keganasan dan terorisme di peringkat global itulah juga, pada Perhimpunan Agung ke-65 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kota kosmopolitan New York, 27 September 2010, Malaysia bangkit mewakili suara golongan sederhana menyatakan pendirian tegas bahawa: “...the real divide is not between the developed and developing worlds or even between Muslims and non-Muslims. It is between moderates and extremists of all religions.”

Kenyataan itu telah disambut baik oleh negarawan dunia yang mendengarnya – bagaikan membe­lah intelektualiti ketua-ketua negara yang berhimpun secara tahunan itu. Perdana Menteri lantas mencadangkan: “...it was time to rally the moderates of the world, from all faiths and ideologies, to come toget­her and stand up for what’s right and to speak up for what’s just.” Yang lain selepas itu hanyalah sejarah dengan lahirnya Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) pada awal 2012 yang dipantau secara dekat oleh beliau sendiri, kini di bawah kepemimpinan Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa selaku Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Dalam Islam, konteks yang ber­kait rapat dengan kesederhanaan (moderation) ialah al-wasatiyah berdasarkan surah al-Baqarah, ayat ke-143 yang bermaksud: “Demikianlah pula kami telah jadikan kamu umat yang adil (pertengahan) supaya kamu menjadi saksi terhadap manusia.” Secara ringkasnya wa­­satiyah mengajak kepada kehidup­an sebenar seorang Muslim-Muk­­min supaya memiliki ciri-ciri jati diri yang berakhlak tinggi, berimbang dan adil – mengikut panduan hidup jelas berdasarkan al-Quran dan hadis serta meninggalkan segala larangannya ke arah mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang memiliki intipati baldatun tayyibah (negeri yang sejahtera-baik).

Namun frasa kesederhanaan itu sendirinya membawa pelbagai tafsiran luas yang boleh diertikan mengikut perspektif berbeza-beza. Misalnya, dalam perbualan harian anak muda hari ini, jika seseorang berkata kepada anda: “Bro, please be moderate, don’t be extreme.” Apakah sebenarnya maksud pertanyaan tersebut? Yang amat kita bimbangkan ialah tafsiran sebegini: “You don’t have to strictly following Islam per se. I mean, solat sikit-sikit dah le, takyah benar-benar lengkap lima kali sehari….Jumaat sekali sebu­lan moderate lah tu. Buat susah je. Tu kan extreme!” Na‘uzubillahi min zalik. Itu sebenarnya adalah pandangan keterlaluan yang ekstrem dan jauh menyimpang.

Bayangkanlah; Apakah respons anda kepada ungkapan sedemi­kian? Benarkah jika seseorang Mus­lim itu patuh kepada ajaran aga­manya dengan penuh komitmen maka dia akan dipanggil sebagai ekstremis lalu tidak lagi terangkum dalam kategori moderate atau sederhana? Bukankah al-Quran menganjurkan kita supaya menjadi Muslim-Mukmin penuh komi­ted (al-Baqarah: 208) dan melarang kita mengambil sebahagian dan menolak sebahagian yang lain (al-Baqarah: 85)?

Inilah realiti yang benar-benar berlaku hari ini. Sesungguhnya dunia ilmu kini diserap pelbagai ideologi liberalis-sekularis dan dikelirukan dengan pelbagai lontaran idea modernis dan pasca moden yang senantiasa mencabar kognitif, keintelektualan dan jati diri, terutamanya dalam kalangan anak muda yang baru mengenal dan menghirup erti kebebasan.

Fahaman Barat berasaskan nilai sekular, demokrasi terbuka dan pemikiran liberal-bebas ini telah meletakkan logik dan hak-hak asasi manusia sebagai kayu ukuran, mengatasi dalil naqli bagi Melayu-Muslim untuk menentukan sesuatu itu benar atau salah. Batas-batas agama yang dinukil daripada al-Quran, hadis serta kitab karangan ulama dan pakar Islam tidak menjadi rujukan dan pegangan. Malah, fahaman kebudayaan yang masih beradab dengan nilai-nilai baik dianggap, “kolot dan membantutkan pemikiran ke arah kehidupan progresif dan penghalang untuk maju ke depan”. Arus pemikiran sebegini mudah diserap Gen-Y dan Gen-Z masa kini yang lahir-lahir sahaja telah dihadapkan pelbagai gajet dunia tanpa sempadan.

Marilah kita tentukan tekad dan berazam untuk membaiki diri ke arah merealisasikan kehidupan yang cukup sederhana tetapi berpegang kuat kepada asas agama dan jalannya yang sahih. Dalam gegak gempita serangan Daesh dan ISIS mengganggu-gugat ketenteraman dunia, bangkitlah dan suarakanlah isi hati majoriti yang senyap itu.

Logiknya, majoriti adalah lebih ramai daripada minoriti namun suara terbanyak kebenaran sering tenggelam ditelan kebingitan dan amukan terorisme yang mengancam yang hakikatnya hanya mewakili kumpulan minoriti. Qum fa anzir! (al-Muddaththir: 1-4) dan beranikanlah diri hanya untuk berkata benar demi sebuah keadilan dan untuk mendapatkan keredhaan-Nya.

PENULIS ialah Pengurus Besar (Komunikasi Korporat), Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF).