Rupa-rupanya hanya lakonan atau gimik si pengendalinya untuk mempopularkan diri menjadi calon pilihan raya.

‘Kurang asam betul’, demikian agaknya yang terpacul daripada sesiapapun terhadap tindakan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah meletak jawatan me­ngetuai gerakan himpunan jalanan haram itu untuk membolehkannya bertanding dalam pilihan raya umum.

Dengar ceritanya Maria menawarkan diri sebagai calon bebas tiket Pakatan Harapan. Agaknya selepas ini menyusul Datuk S. Ambiga lah pula, betulkah Datuk?

Hai Maria! Adakah dengan per­­buatan kamu ini membawa maksud selama ini rakyat Malaysia terutama penyokong Bersih sudah terpedaya dengan Bersih yang ‘memperjuangkan pilihan raya yang adil’? Kasihan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tak pasal-pasal dijadikan ‘kambing hitam’.

Agaknya benarlah seperti mana yang didengar akhbar ini, kalau nak jadi calon pembangkang atau Pakatan Harapan, bakal calon mesti agresif menghentam kerajaan. Tiada fakta dalam cercaan itu tak apa, asalkan lantang. Lagi celupar berapi-api, lagi naiklah graf ‘Petunjuk Prestasi Utama’ (KPI).

Nah! Maria sudah membukti­kan ‘kelayakannya itu’ dengan dipanggil ke sana sini oleh pihak polis sebelum ini untuk memberi keterangan berhubung penganjuran himpunan haram sehinggakan tiada masa untuk uruskan diri sendiri.

Masih ingat tak lagi bagaimana Maria dan Ambiga tertawa besar semasa dipanggil memberi ke­terangan mengenai penganjuran Bersih 4.0 di Ibu Pejabat Kontinjen polis Kuala Lumpur pada 2015.

Waktu itu difikirkan adakah tawa besar itu akan terpapar lagi dalam Bersih 5.0? Apa agaknya yang dimahukan Maria dan juak-juaknya? Rupa-rupanya ‘tawa be­­sar’ mahu jadi calon pilihan ra­yalah.

Bukan sedikit penyokong Bersih kecewa dengan tindakan Maria meletak jawatan dalam Bersih untuk bertanding dalam pilihan raya.

Dan bukan sedikit juga yang merasakan mereka sudah tertipu dengan berpanas terik, berhujan, meninggalkan anak-anak di rumah pada hujung minggu untuk berarak membawa sepanduk yang terpampang kata-kata kesat.

Tidak sekadar itu Maria dan Ambiga, setiap kali himpunan haram Bersih anjuran anda (Maria) ini, sebanyak 36 stesen televisyen di seluruh dunia ‘menjaja’nya yang mengakibatkan nama baik Kuala Lumpur dan Malaysia tercemar.

Setiap kali Bersih dianjurkan, kira-kira 15,000 anggota polis- majoritinya orang Melayu - perlu bertugas dan bekerja. Sudahlah kes-kes jenayah harus dikekang, himpunan haram ini pula terpaksa diharungi.

Dan ahli serta penyokong UMNO dan Pas pastinya tidak akan lupa bagaimana Bersih 4.0 pada 2015 menyaksikan segelintir orang yang tidak bertamadun dengan perlakuan jelek meludah gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam Bersih 2.0 sebelum ini, jumlah tuntutan kerugian dilaporkan adalah RM817,205 yang dialami 317 peniaga.

Sebanyak 36,000 buah teksi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang turut terjejas. Dalam Bersih 4.0 pula, anggaran kerugian adalah RM10.8 juta.

Dianggarkan sebanyak 6,000 gerai di sekitar Kuala Lumpur dengan anggaran keuntungan setiap gerai pada hari aman adalah sekitar RM1,000 hingga RM50,000 sehari.

Dalam Bersih 3.0 contohnya, ke­untungan kompleks beli belah Sungei Wang Plaza jatuh seba­nyak 30 peratus berbanding ming­gu-minggu biasa. Di Sogo, Low Yat, Starhill dan Lot 10 mengalami kerugian sebanyak 50 peratus manakala Pasar Seni terpaksa ditutup sepanjang hari. Di Peta­ling Street pula, lebih 80 peratus kedai ditutup, sementara di Suria KLCC, premis berkenaan lambat dibuka dan kebanyakan kedai di dalam­nya terpaksa ditutup.

Begitu juga dengan usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk meyakinkan pelancong di 44 pejabat pelancongan Malaysia di seluruh dunia terbantut.

Sekitar sebanyak 1.7 juta penduduk di Kuala Lumpur turut mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk untuk sekurang-kurangnya dua hari.

Terima kasihlah Maria kerana pecahkan ‘telur tembelang’ anda.

Cuma ingat satu perkara ini - pengundi tidak gemarkan perlakuan kurang ajar sebegini. Manipulasi Bersih untuk diri sendiri.

Anda akan mereka ajar pada hari pengundian nanti.