Namun tarikh sebenarnya tersimpan rapi dalam kotak fikiran dan hati. Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN). Pilihan raya kali ini diramalkan akan berlaku pertembungan sengit antara BN dengan parti-parti pembangkang. Pembangkang pula terbahagi dua, satu dalam Pakatan Harapan yang menggabungkan DAP sebagai ‘taiko’ manakala PKR,PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengikut dari belakang. Pas pula akan bertarung bersendirian.

Tidak dapat dinafikan berbanding gabungan pembangkang, BN jauh lebih baik, tetapi cabaran yang ada di hadapan parti tersebut ialah menterjemahkan dalam bentuk undi daripada rakyat. Perdana Menteri sudah memberi jaminan bahawa BN akan menyediakan manifesto terbaik dalam mengutamakan nasib rakyat.

Justeru seluruh pemimpin dan ahli-ahli BN perlu bersedia ‘turun bertempur’ bagi memastikan rakyat terus memberi mandat kepada parti tersebut untuk memerintah negara. Jangan terlalu memikirkan sangat kekalutan dalam Pakatan Harapan boleh memberi kelebihan kepada BN.

BN perlu membuat persiapan untuk menghadapi sesiapa sahaja dan di mana juga kawasan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen. Paling penting jangan sesekali membuat congakan bahawa pertandingan tiga penjuru akan memberi ke­lebihan kepada BN.

Sebaliknya, BN harus menyediakan jentera yang kuat dan calon yang tepat untuk memastikan kemenangan parti itu. Jentera BN bukan sahaja perlu bersedia dari segi pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka tetapi juga melalui media-media sosial. Sudah pasti menjelang dan ketika berlangsungnya PRU-14, semakin banyak tohmahan akan dilakukan oleh Pakatan Harapan.

Dalam keadaan semakin ke­tandusan modal untuk menum­bangkan BN, fitnah dan tohma­han pasti akan digunakan ha­bis-habisan bagi mengelirukan rakyat. Oleh itu, BN perlu bersedia sepenuhnya. Jangan syok sendiri dan jangan melampaui batas dalam melakukan serangan balas, segala-galanya harus dilaksanakan secara sederhana supaya ia tidak menjadi ‘senjata makan tuan’.

Satu lagi faktor yang paling penting ialah calon. Kali ini pelaksanaan kriteria calon boleh menang dan disukai rakyat harus benar-benar dilaksanakan. Ia tidak boleh sekadar menjadi laungan atau di atas kertas sahaja. Calon-calon yang dipilih mesti berupaya memastikan kemenangan parti bukan kerana mereka menjadi ketua bahagian atau sudah lama menjadi wakil rakyat. Jika ada calon yang jauh lebih berpotensi pilihlah calon tersebut.

Muka-muka baharu termasuk dalam kalangan calon muda perlu diketengahkan. Mana-mana calon yang sebelum ini sudah beberapa kali kalah sepatutnya tidak harus lagi dipertimbangkan untuk disenaraikan semula. ­Berilah peluang kepada orang lain untuk bertanding.

Ini memandangkan akhirnya apa yang paling penting ialah kemenangan parti dan bukannya survival politik mana-mana individu. Kalau ada yang mahu merajuk, biarkan sahaja kerana PRU-14 bukannya masa untuk pujuk memujuk memandangkan ini adalah penentu hidup mati BN.

Jika mereka berjiwa besar dan ikhlas berjuang untuk kepen­tingan parti mereka tidak akan merajuk, sebaliknya akan akur dan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan. Dalam soal ini, BN dan UMNO perlu ada keberanian untuk menggugurkan mana-mana calon yang sudah dilihat tidak relevan lagi.

Mana-mana wakil rakyat tidak kira ADUN mahupun Ahli Parlimen yang dilihat ‘wakil rakyat bermusim’ dan hanya tunjuk mu­ka kepada rakyat menjelang pi­lihan raya perlu disingkirkan. Tidak perlu lagi memberi pertimbangan semata-mata kerana bimbang akan berlaku sabotaj.

Cukup-cukuplah perasaan takut kepada perbuatan sabotaj. Perasaan seumpama itu tidak boleh melumuri parti dalam membuat keputusan. Apa yang perlu diberi keutamaan ialah calon disukai rakyat dan boleh memberi kemenangan kepada parti.

Kita sudah muak mendengar cerita warlord atau ahli politik yang tidak tahu bermuhasabah serta tidak mahu meletakkan kepentingan parti mengatasi politik peribadi. Mereka tidak perlu diberi peringatan betapa pentingnya pilihan raya umum kali ini, bak kata orang, ‘sendiri mau ingat’.

Di peringkat kerajaan, Najib de­ngan dibantu Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Ha­midi boleh dikatakan sudah me­­­lakukan segala-galanya bagi me­mastikan BN menang cemerlang dalam PRU-14, tetapi semua usaha itu akan tergugat jika di pe­ringkat bahagian-bahagian masih lagi bergelut dengan soal perebutan menjadi calon dan politiking sesama sendiri.

Bagaimanapun difahamkan ber­banding sebelum ini, situasi di bahagian-bahagian jauh lebih tenteram memandangkan sudah wujud keinsafan dalam kalangan kepemimpinan bahagian untuk bersedia menerima apa juga keputusan parti berhubung pemilihan calon.

Walaupun ada juga cerita-ce­rita yang tidak enak didengar khususnya melibatkan lobi-me­lobi untuk menjadi calon dan kebimbangan ada calon ‘payung terjun’, tetapi keseluruhannya jen­tera BN sudah bersedia menghadapi ‘bapa segala pilihan raya’ itu. Lagipun mereka semakin memahami sama ada suka atau tidak, cabaran pakatan pembangkang tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi dengan amalan politik matlamat menghalalkan cara yang dilakukan oleh pakatan itu demi merebut kuasa.