Nabila Huda 

Watak air mata, gadis jahat dan liar serta wanita yang terlibat dalam kancah pelacuran, bakatnya menyinari layar perak dan layar kaca sejak 16 tahun berkecimpung dalam dunia seni tempatan.

Cuma ada satu karakter yang belum lagi diteroka oleh anak kepada penyanyi rock terkenal Amy Search ini iaitu komedi.

Mengakui tiada sifat jenaka dalam diri menjadi punca dia terpaksa mengecewakan beberapa rumah produksi yang mahu dia melakonkan watak tersebut.

“Sebelum ini memang ada tawaran berlakon cerita komedi tapi saya tak akan buat sebab saya tak kelakar langsung.

“Ada saja penerbitan program lawak yang nak saya turut serta dalam rancangan mereka tapi terpaksa ditolak dengan baik kerana saya masih tiada keyakinan.

“Kadangkala bakat dalam diri ini ada had. Mungkin orang kata saya boleh berlakon semua watak tapi apabila dikelilingi dengan pelawak, saya rasa tak layak langsung,” jawabnya.

Justeru, penglibatannya dalam filem Rempit Sampai Langit menjadi penanda aras kepada satu lagi watak dalam portfolio kerjayanya.

Pada awalnya, bukan mudah dia menyatakan persetujuan kepada pengarah Silver Chung untuk terbabit dalam cerita yang turut menampilkan pelawak Ajak Shiro, Reen Rahim dan Cristina Suzanne ini.

“Memang luar jangkaan. Saya tak terfikir langsung tahun ini akan berlakon filem komedi. Semasa dapat tawaran itu, saya memberitahu pengarah untuk cari pelakon lain sahaja.

“Tapi dia yakinkan saya, watak ini tak perlukan saya berlawak. Karakter dalam cerita ini hanya memerlukan saya berlakon sebagai seorang yang serius,” katanya yang memegang watak sebagai Comel.

Rempit Sampai Langit mengisahkan tentang Kudin (lakonan Ajak) yang membuat keputusan untuk menyertai geng Mat Rempit bagi memenangi kembali hati teman wanitanya namun menemui kegagalan.

Rempit Sampai Langit juga telah membuka hati Nabila atau Abil untuk menerima tawaran lakonan yang memerlukan dia terlibat dalam naskhah komedi selepas ini.

“Selepas berlakon dalam Rempit Sampai Langit, saya yakin nak bawa sebarang watak lawak. Saya seorang yang setia pada satu. Maksudnya, kalau Rempit Sampai Langit ini ada sambungan, saya akan tunggulah.

“Orang tengok saja saya macam kental dan mampu bawa semua watak tapi perasaan takut itu adalah satu hakikat sukar dibuang,” katanya.

Beralih bicara soal cabaran yang terpaksa dihadapi sepanjang 15 hari penggambaran berlangsung, jelas Abil, dia turut berdepan dengan beberapa rintangan.

“Pada saya cerita ini ringan sebab filem komedi. Tapi yang paling mencabar apabila terpaksa menahan ketawa sebab sekali saya ketawa memang akan gamatlah suasana.

“Cerita ini banyak menggunakan teknologi CGI (imej janaan komputer). Agak mencabar kerana kita perlu lakukan aksi yang sama supaya tidak lari daripada babak yang pengarah inginkan.

“Pengarah pun banyak bantu memberi tunjuk ajar. Saya juga anggap komedi dalam filem ini ada kelas dan tak terlalu meleret.

“Kualiti dan adegan yang dipaparkan sangat bagus. Mungkin kedengaran agak klise sebagai pelakon untuk puji filem sendiri tapi serius saya cakap kalau nak dibandingkan dengan cerita komedi lain, filem ini berkualiti.

“Ini seakan-akan filem komedi generasi baharu. Lebih-lebih lagi sesuai ditonton oleh semua lapisan usia membuktikan jalan cerita ini ‘wajib’ ditonton kepada semua,” jelasnya.

Filem generasi baharu 

Menguak lembaran karier seninya, pelakon drama Dendam Aurora itu memberitahu, ini merupakan kali terakhir dia terlibat dalam naskhah bersiri sebanyak 100 episod.

Bukanlah kerana tidak suka dengan jalan cerita drama bersiri tersebut cuma hati kecilnya berkata, cukup sekadar sudah mencuba.

Mengapa dia membuat keputusan sebegitu seolah-olah mahu menutup periuk nasi sendiri, ini jawapannya.

“Dendam Aurora merupakan percubaan pertama saya berlakon dalam siri yang panjang iaitu 100 episod. Pengalaman yang cukup indah tetapi itulah pertama dan terakhir untuk drama panjang.

“Cukuplah sekali dalam hidup. Kalau boleh lepas ini saya nak elak berlakon drama yang panjang seperti ini.

“Bayangkanlah selama lapan bulan penggambaran saya perlu jadi orang lain dan naskhah itu pula sangat berat,” kongsinya.

Namun Nabila tetap mahu memberikan komitmen seratus peratus tawaran lakonan seandainya ada produksi inginkan khidmatnya dalam drama bersiri.

“Kalau setakat 13 atau 20 episod, saya okay. Tapi sampai beratus episod rasanya tidaklah. Cukup Dendam Aurora sahaja. Alhamdulillah, drama itu sudah tamat penggambaran dan 9 Disember depan merupakan episod terakhir.

“Lepas ini saya nak ambil masa untuk berehat dan bawa Keisha bercuti memandangkan cuti sekolah sudah bermula,” katanya terhadap perancangan cuti dengan anak kesayangannya, Keisha Laila.