Begitulah pandangan atau persepsi buruk terhadap kerajaan apabila tindakan yang dilakukan sebelum ini dilihat sebagai satu kesilapan. Sekali persepsi buruk tertanam di dalam benak seseorang, buatlah apa pun yang dikatakan ter­baik akan dianggap sebalik­nya. Ketika bertemu beberapa pemandu teksi yang sudah lama terlibat dalam industri itu, Selak cuba memaklumkan bahawa permit individu akan dikeluarkan. Seorang pemandu menjawab: ‘Itu gula-gula’. Beliau mempersoalkan kenapa dahulu dibekukan. Mulalah dikaitkan de­ngan usaha untuk mempe­ngaruhi pemandu teksi menerima kehadiran perkhidmatan Uber dan GrabCar. Disebabkan mahu ‘menghalalkan’ Uber dan GrabCar, maka TITP diperkenalkan. Biar apa pun motifnya, pemandu teksi harus bersedia menerima Uber dan GrabCar. Walaupun perkhidmatan itu masih menjadi persoalan status undang-undang, promosinya sudah pun menjangkaui seperti perkhidmatan yang diluluskan.

Banyak cerita mengenai kebaikan Uber dan GrabCar. Pendapatan se­paruh masa dikatakan sekitar RM7,000 sebulan dan jika sepenuh masa pula RM12,000 sehingga RM13,000 sebulan. Begitulah me­wahnya pendapatan perkhidmatan baharu itu. Jika begitu, apa lagi yang ditunggu oleh pemandu teksi? Kenapa tidak beralih kepada Uber dan GrabCar? Melihat senarai 11 program yang dibentangkan melalui TITP, ada beberapa per­kara yang dapat membantu me­ri­ngankan be­­banan pemandu. Ba­­gaimana­pun tidak semua yang akan dapat menikmati kemudahan yang bakal disediakan terutama melibatkan permit individu. Banyak halangan yang akan dihadapi pemandu kecuali kerajaan mempunyai jalan keluar yang belum diumumkan secara terperinci kecuali geran.

Contoh­nya faktor usia, pinjaman bank dan kelayakan pemohon - tidak disenarai hitamkan. Ramai pemandu teksi yang sudah mencecah usia lebih 55 tahun. Adakah institusi kewangan bersedia memberikan pinjaman? Seorang pemandu memberitahu, usia teksinya sudah hampir sembilan tahun dan akan habis bayaran sewa beli dengan syarikat. Dia sepatutnya gembira dengan pengumuman itu, tetapi dia sedar tidak layak kerana masih dalam senarai hitam bank akibat satu perniagaan yang pernah dilakukan. Walaupun hutang itu melibatkan rakan kongsi tetapi namanya juga terbabit. Seorang lagi membe­ritahu, beliau pernah memohon permit tetapi ditolak kerana gagal menunjukkan akaun bank yang mengandungi sejumlah wang.

Bagi yang memandu teksi syarikat juga, khabarnya perlu menunggu sehingga kontrak pajak selesai. Jika dibatalkan, deposit yang diberi sebelum ini akan ‘hangus’. Inilah dilema pemandu teksi. Diharapkan jumlah pemandu dalam dilema ini tidak ramai. Pihak berkuasa juga harus melihat keupayaan sebenar pemandu teksi. Mereka mampu membayar sewa bulanan yang tinggi dalam keadaan terpaksa menyebabkan harga kereta yang sebenarnya murah melambung tinggi. Jika orang luar membayar RM700 sebulan, harga bulanan yang dibayar pemandu teksi mencecah sehingga RM1,700.

Mengenai e-hailing, kebanyakan pemandu teksi telah melalui proses inovasi. Mereka pernah mengambil penumpang menggunakan sistem operator telefon radio teksi, khidmat pesanan ringkas (SMS), MyTeksi dan kini Grab. Janganlah mudah membuat andaian bahawa pemandu teksi kita tidak mahu menerima inovasi atau perubahan. Malangnya ketika ini, panggilan terhadap teksi bajet melalui aplikasi kini dikatakan berkurangan. Telefon sunyi sepi. Di manakah silapnya? Di aplikasi ini, teksi bajet sudah pun menduduki pilihan kedua berbanding di peringkat awal, sebagai pilihan pertama. Satu perkara lagi mengenai tambang 2,000 Teksi 1Malaysia atau TEKS1M yang menggunakan Proton Exora. Malangnya sambutan yang diberi tidak memuaskan.

Ramai penumpang gusar kerana tambang yang dianggap mahal. Kini TEKS1M baharu akan kembali kepada kadar tambang teksi bajet semasa. Jelaslah bahawa penum­pang bukan sahaja inginkan perkhid­matan yang selesa tetapi juga tambang yang lebih murah. Inilah cabaran yang bakal dihadapi oleh pemandu-pemandu teksi bermeter apabila Uber dan GrabCar beroperasi sepenuhnya. Tambang murah dan tidak meningkat ketika terperangkap dalam kesesakan menjadi pilihan. Mungkin Uber dan GrabCar boleh mengajar sesetengah pemandu teksi bermeter yang masih berdegil mengenakan tambang ikut suka.