Pesanan Sultan Nazrin bahawa sejarah kejatuhan Daulah Melayu dan Islam Melaka mestilah menjadi peringatan agar ia tidak berulang lagi. Lebih-lebih lagi kini kita sudah melihat semua tanda yang kita fahami daripada sejarah kejatuhan Melayu Islam Melaka sebenarnya sudah pun dirasai.

Antaranya ialah fitnah menjadi amalan biasa, rasuah berleluasa, adu domba kuasa menjadi kebiasaan asalkan matlamat menghalalkan cara. Semua ini bukanlah satu kebetulan tetapi merupakan satu gerakan tersusun dan dirancang.

Awang ingin mengajak semua umat Melayu dan Islam untuk jadikan titah baginda bukan sekadar peringatan tetapi biarlah ia menjadi satu cetusan kebangkitan semula Melayu Nusantara dalam persekitaran amat luar biasa supaya umat Melayu dan Islam kembali dihormati.

Alhamdulillah tidak ada ayat yang boleh diterjemahkan bagi menyatakan rasa gembira Awang dan semua umat Melayu dan Islam semalam apabila melihat Kuala Lumpur dibanjiri oleh ratusan ribu umat Melayu. Ia bukan sahaja membuktikan bahawa kita mampu untuk bersatu malah juga mampu untuk mengenepikan perbezaan ideologi dan kepentingan peribadi apabila melibatkan isu umat Melayu dan Islam.

Awang juga ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bukan sahaja meminta sambutan ulang tahun Suhakam ditunda malahan membuat keputusan untuk tidak hadir bagi menunjukkan beliau tidak bersetuju dengan cadangan Suhakam yang mahu meraktifikasi ICERD ini. 

Cuma ramai bimbang mampukah Dr. Mahathir memastikan kerajaan Pakatan Harapan (PH)  tidak akan menandatangani ICERD. Ini memandangkan bukan sahaja beliau dicengkam usia malahan kekuatan partinya amat lemah dalam kerajaan PH. Lebih membimbangkan Dr. Mahathir kini bukan seperti Dr. Mahathir yang dulu katanya. Beliau kini lebih beremosi, penuh dengan perasaan untuk membalas dendam kerana kebencian terhadap apa yang kerajaan dahulu lakukan kepada beliau.

Akibat perasaan dendam kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan juga rasa tidak puas hati kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, membuatkan beliau kini mahu membatalkan parti keramat UMNO.

Bagi Awang, himpunan ICERD semalam adalah himpunan untuk memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin Melayu sama ada di dalam kerajaan atau pembangkang bahawa umat Melayu di peringkat akar umbi sudah bersedia untuk mengambil alih tugas menjaga hak kebajikan orang Melayu dan Islam sekiranya pemimpin-pemimpin di atas meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan ummah. Ia juga memberi peringatan kepada orang bukan Melayu bahawa sarang tebuan jangan dijolok.

Awang juga ingin menyatakan bahawa perhimpunan kebangkitan Melayu semalam mengimbau kembali sejarah bagaimana umat Melayu menentang Malayan Union yang mana raja-raja Melayu waktu itu sudahpun menyerah kalah kepada Inggeris namun kebangkitan umat Melayu telah mengembalikan semula kuasa dan hak raja-raja Melayu.

Maka himpunan semalam juga boleh dikatakan membawa mesej yang sama. Jika dahulu PH cuba meraktifikasi ICERD, maka Awang percaya pasti himpunan ini akan menentang sebarang bentuk tuntutan hak sama rata atau pencabulan kepada isu orang Melayu dan Islam seperti telah termaktub dalam perlembagaan.

“Melayu itu penuh dengan adat susila. Lemah lembut tutur bicara. Maruah dan agama dihina jangan. Hebat amuknya tak kenal lawan. Berdamai cara Melayu indah sekali. Silaturahim hati yang murni. Maaf diungkap sentiasa bersahut. Tangan dihulur sentiasa disambut. Luka pun tidak lagi berparut.”