Sempena menyambut Hari Kebangsaan 2017 ini saya terpanggil untuk memberi pendapat menerusi pengalaman dan penglibatan saya dalam gerakan ­menuntut kemerdekaan negara sejak 1946 lagi khasnya mengenai kehebatan yang diperjuangkan oleh bangsa Melayu.

Hakikatnya, pencapaian kemerdekaan Tanah Melayu bermula daripada hasil penyatuan bangsa Melayu.

Dengan penyatuan bangsa Melayu, kita telah memerdekakan negara ini, yakni Persekutuan Tanah Melayu dan kini Malaysia.
Dengan teras penyatuan bangsa Melayu, kita telah membina negara ini dengan jayanya.

Dengan penyatuan bangsa Melayu juga, ia tidak berniat dan tidak akan menafikan hak semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia seperti mana yang dipersetujui dalam perjanjian kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua kaum yang mengakui taat setia yang tidak ber­belah-bahagi kepada negara ini.

Dengan berpegang teguh kepada konsep penyatuan bangsa Melayu juga, seterusnya adalah asas kekuatan perpaduan, kestabilan politik dan kemakmuran negara untuk semua kaum yang tinggal di negara tercinta ini.

Bangsa Melayu telah banyak bertolak ansur dan mengorbankan hak-hak mereka kepada kaum-kaum lain di negara ini demi mencapai kemerdekaan negara.

Kebahagiaan negara, kestabilan politik dan kemakmuran rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum berteraskan kepada penyatuan bangsa Melayu.

Kini, bukan sahaja negara yang tercinta ini teruji dan tercabar, bahkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan bangsa Melayu sebagai anak watan negara ini sedang teruji dan tercabar akibat dari perpecahan orang Melayu yang ghairah berpolitik

Menerusi perayaan ulang tahun ke-60 pada 2017, marilah kita menyambut Hari Kebangsaan yang tercinta ini dengan hasrat dan niat serta berdoa ke hadrat Allah SWT supaya orang-orang Melayu bersatu semula tanpa mengira fahaman pegangan ideo­logi dan latar belakang politik bagi mewujudkan semula simbol ketuanan bangsa Melayu di negara ini.

Ini sebagaimana seruan “Bersatulah kita orang Melayu seperti mana kita pernah bersatu.

Sebagaimana kita berjaya mencapai kemerdekaan negara kita.”

Apalah sangat untuk me­mentingkan kedudukan, martabat, pangkat, jawatan dan fahaman kerana semuanya ini hanya sementara.

Kembalilah ke pangkal untuk kita bangsa Melayu bersama-sama membuktikan bahawa kita adalah suatu bangsa yang bermaruah, bermartabat dan bersatu padu.

Justeru, akan terbina suatu benteng kekuatan bangsa yang kukuh yang tidak boleh diganggu dan digugat oleh sesiapa pun.

Untuk mengenang sejarah dan erti kemerdekaan, generasi muda masa ini perlu dan wajib diberi pengertian bahawa pencapaian kemerdekaan negara ini bukan datang secara bergolek.

Banyak pengorbanan dari segi tenaga, harta benda, wang ringgit mahupun nyawa yang telah dilakukan dan telah dikorbankan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan dan pembela tanah air termasuklah angkatan bersenjata dan polis untuk menentang musuh dari dalam dan luar negara.

Atas kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Melayu khas­nya pe­mim­pin tersohor, Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan dibantu secara jujur dan ikhlas oleh pemimpin-pemimpin lain seperti Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Cheng Lock, mendiang Tun Kolonel H.S. Lee, mendiang Tun Tan Siew Sin, mendiang K.L Devaser dan mendiang Tun Sambanthan telah membawa kemerdekaan negara ini menerusi perundingan dengan penjajah Inggeris.

Namun di antara Almarhum Tunku, terdapat ramai lagi tokoh besar dan kecil sebagai pejuang dan pembebas tanah air ini daripada cengkaman penjajah dan anasir-anasir jahat, dengan nama-nama mereka tertinggal dalam catatan tinta emas lipatan sejarah.

Kita hanya berserah kepada Allah SWT Yang Maha Esa lagi Maha Mengetahui dan semoga Allah merahmati perjuangan dan roh-roh mereka sebagai ­pembela watan dan dihimpun bersama para syuhada dan solihin. Amin.


TAN SRI MOHD. YUSSOF LATIFF ialah Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang).