Cadangan itu jika dilaksanakan dapat menunjukkan ketinggian dan kebaikan yang ada dalam Islam. Ia juga membuktikan Islam adalah agama yang sempurna sehinggakan semua aspek kehidupan di alam dunia dan akhirat dijelaskan menerusi al-Quran.

Ini dibuktikan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “...Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku reda Islam agama bagimu...” (al-Maaidah: 3)

Pada dasarnya, hukuman bagi kesalahan membunuh dengan sengaja adalah qisas. Jika penjenayah mendapat pengampunan dari ahli waris keluarga mangsa yang terbunuh atau waris mangsa menuntut diyat sebagai ganti qisas maka wajib bagi pembunuh membayar diyat yang dikenakan terhadapnya. Hal ini disepakati oleh fuqaha yang menetapkan pembunuhan secara sengaja perlu menjalani qisas kecuali selepas mendapat pengampunan ­keluarga mangsa.

Ini merujuk kepada firman Allah SWT yang bermaksud: Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu (diyat) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (al-Baqarah: 178)

Antara kebaikan kaedah pengampunan daripada keluarga mangsa mengikut undang-undang Islam (diyat) adalah memberi hak kepada waris menuntut ganti rugi atau memberi kemaafan kepada pesalah. Ia secara tidak langsung menghapuskan rasa dendam oleh pihak waris kepada penjenayah terbabit. Semoga dengan itu, penjenayah terbabit akan insaf, berubah dan menjadi manusia yang ­lebih baik.

Diyat adalah denda atau pampasan yang wajib dibayar oleh orang yang melakukan jenayah di atas perlakuannya sebagai ganti qisas. Apabila keluarga orang yang dibunuh (pembunuhan sengaja) atau orang yang dihilangkan atau dicederakan anggota atau yang dice­derakan memaafkan, ma­ka ia diganti dengan diyat. Bagaimanapun, hanya waris yang boleh memaafkan si penjenayah.

Diyat adalah hukuman yang amat terperinci dalam syariat Islam. Sistem pampasan yang berasaskan diyat­ ­telah dilaksanakan sejak zaman awal kedatangan Islam dan terus berkembang pada zaman Islam. Ia seterusnya diamalkan secara sistematik dan kontemporari di beberapa negara yang mempunyai pemerintahan Islam seperti Arab Saudi, Pakistan dan Sudan.

Sememangnya ada kewajaran menyokong titah tersebut. Apabila ketua rumah terutama suami atau bapa menjadi mangsa bunuh sudah pasti keluarga tersebut hilang punca pendapatan. Dengan diyat, keluarga mang­sa mendapat ganti rugi mengikut kadar ditetapkan. Memanglah, ia tidak akan mengembalikan semua suami atau ketua keluarga tersebut tetapi sekurang-kurangnya diyat boleh membantu dan meringankan penderitaan keluarga ­berkenaan.

Memberi kemaafan adalah yang terbaik, namun ia tidak bermaksud pesalah bebas begitu saja. Dengan diyat, keluarga mangsa akan dapat pembelaan bagi mem­bolehkan mereka membina kehidupan baru.

Dalam hal ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kaedah berkenaan boleh dilaksanakan mengikut pertimbangan jemaah pengampunan negeri masing-masing kerana Sultan telah diberi kuasa untuk memberi pengampunan bagi sesuatu kesalahan yang dihukum oleh mahkamah.

Diyat jika dilaksanakan, insya-Allah juga boleh membantu mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang di negara kita mengorbankan ribuan nyawa saban tahun. Untuk itu, pelaksanaan diyat tidak boleh hanya tertumpu kepada orang Islam atau mahkamah syariah memandang­kan ­kemalangan jalan raya melibatkan semua kaum dan agama.

Sekiranya diyat dikhususkan kepada orang Islam, masalah kemalangan jalan raya yang semakin meningkat di negara ini tidak dapat diselesaikan dan mungkin akan berterusan.

Status diyat sebagai satu hukuman bergantung kepada jenis jenayah tersebut. Ia adalah hukuman alternatif (substitute punishment) dan juga hukuman asal (main punishment). Diyat disyariatkan sebagai hukuman asal bagi kes pembunuhan separuh sengaja dan tidak sengaja. Adapun, bagi kes pembunuhan sengaja ia bertindak sebagai satu hukuman alternatif kepada hukuman qisas.

Diyat pula terbahagi kepada dua iaitu diyat mughallazah (ganti rugi yang berat) dan diyat mukhaffafah (ganti rugi yang ringan).

Antara hikmah pelaksanaan diyat adalah melindungi masyarakat daripada bahaya jenayah dan mencegahnya sebelum berlaku; memperbaiki penjenayah dan memperbetulkan penyelewengan dan membersihkan dosa penjenayah, mendidiknya dan menyelamatkannya daripada azab akhirat.

Untuk itu, diharap Pahang akan menjadi negeri ­pertama melaksanakannya dan diikuti oleh lain-lain ­negeri. Yakinlah, jika melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah, maka Allah akan memelihara kita daripada terkena musibah itu.