Terlebih dahulu beta mera­kamkan setinggi-tinggi penghar­gaan kepada Paduka Nenda Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah dan Paduka Nenda Tuanku Hajah Haminah, Sultanah Kedah, yang sebelum ini telah bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selama lima tahun, menaungi negara dan rakyat jelata dengan penuh adil, saksama serta bijaksana.

Beta bersyukur kerana de­ngan kehendak dan izin-Nya jua, beta telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XV bagi negara Malaysia yang bertuah ini. Beta berikrar akan meneruskan kesi­nambungan pemerintahan yang adil dan saksama, mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan.

Beta mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, barisan jemaah menteri, anggota-anggota pentadbiran lain, penjawat awam, pemimpin masyarakat dan sekalian rakyat jelata di atas penat lelah mereka bagi membangunkan negara ini. Marilah kita saling bekerjasama untuk meningkatkan lagi kejayaan-kejayaan tersebut.

Beta merakamkan tahniah di atas kejayaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengurangkan kadar jenayah, membasmi fahaman radikal dan ajaran-ajaran sesat serta ideologi militan yang bercanggah dengan pega­ngan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Tidak dilupakan Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) juga memainkan peranan yang sangat pen­ting dalam menjaga keselamatan negara tanpa kita menyedari pengorbanan mereka yang tidak terhingga demi tanah air tercinta. Beta serta kerajaan akan terus memperkukuhkan kedua-dua pasukan keselamatan tersebut. Bila diizinkan, kerajaan beta berhasrat untuk menambah perolehan kelengkapan dan kenderaan, menjaga kebajikan mereka seperti menyediakan kuarters, memperluaskan faedah tertentu termasuk kepada anggota yang cedera atau keluarga veteran yang meninggal dunia sebelum tahun 2001 dan sebagainya.

Beta juga mengalu-alukan tindakan kerajaan menempatkan lebih banyak aset dan fasiliti kese­lamatan seperti pangkalan operasi hadapan helikopter serta sea basing di perairan Pantai Timur Sabah bagi meningkatkan kese­lamatan di kawasan berkenaan. Kerjasama dan persefahaman yang telah dicapai dengan kerajaan Filipina berhubung kawalan keselamatan di Laut Sulu telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara terutama dalam bidang keselamatan.

Bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh, kerajaan beta komited untuk meneruskan langkah konsolidasi fiskal bagi mencapai sasaran bajet berimbang pada tahun 2020. Justeru, kerajaan akan terus berusaha gigih untuk mengambil langkah-langkah konkrit bagi meningkatkan lagi saiz ekonomi daripada RM1.3 trilion pada masa ini kepada RM2 trilion dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang. Di samping itu, untuk jangka panjang kerajaan beta akan turut berusaha untuk menjadikan Malaysia antara 20 buah negara ekonomi utama dunia.

Beta menyeru supaya semua pihak berganding bahu menghadapi cabaran-cabaran dengan meningkatkan lagi produktiviti ke arah ekonomi yang lebih mampan. Peningkatan produktiviti yang berterusan berasaskan kreativiti dan inovasi akan menjadi pemangkin untuk merealisasikan pertumbuhan dan menjadikan negara kekal berdaya saing.

Kerajaan beta sedar penyusutan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia memberi kesan terhadap rakyat. Namun, penyusutan ringgit adalah disebabkan oleh faktor luaran dan juga dalaman. Beta percaya, kerajaan akan bertindak dengan komitmen yang sepenuhnya bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

Insya-Allah kerajaan beta akan terus mengambil langkah-langkah untuk membantu mengu­rangkan beban rakyat terutamanya kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus te­rendah, atau B40 dan 40 peratus pertengahan, iaitu M40 kerana kedua-dua kumpulan ini paling terdedah kepada beban kewang­an. Beta mengalu-alukan usaha kerajaan dalam menyediakan pelbagai insentif bagi menjana pendapatan tambahan kumpulan ini dengan meneruskan pemberian subsidi bersasar, meningkatkan kadar dan mempelbagaikan pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M, bantuan kepada peniaga kecil, bantuan kepada pemandu teksi memiliki permit serta pelepasan cukai gaya hidup. Langkah ini adalah bagi meringankan beban kos sara hidup kedua-dua kumpulan isi rumah terbabit dalam mengharungi kehidupan sehari­an. Kerajaan beta juga sedang meminda Akta Kebankrapan 1967 bagi memberi peluang kedua kepada golongan yang bankrap untuk bangkit kembali memulakan kehidupan baharu dan terus menyumbang semula kepada ekonomi negara.

Kerajaan beta, dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat akan terus mempelbagaikan insentif dan bantuan bagi membolehkan mereka memperoleh pendapatan yang tinggi, sekali gus membantu menangani masalah kos sara hidup. Di sam­ping itu, aktiviti penguatkuasaan akan dipergiatkan ke atas peniaga yang tidak bertanggungjawab bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Antara cabaran kehidupan rakyat adalah isu pemilikan rumah yang keperluannya sentiasa meningkat seiring dengan pertambahan penduduk. Sebagai kerajaan yang prihatin, kerajaan beta sentiasa berusaha untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri. Insentif lain juga telah diperkenalkan oleh kerajaan termasuk Perumahan Rakyat 1Malaysia, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, rumah sewa untuk beli atau RTO, MYDeposit, MyHome, Rumah Bina Negara Felcra dan Risda, Perumahan Generasi Baharu Felda dan sebagainya. Setakat ini, 77.1 peratus daripada sasaran pembinaan satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 2013 hingga 2018 berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan termasuk yang telah siap.

Kerajaan juga bercadang membina 10,000 unit rumah untuk anak muda di dalam kelompok M40 yang dipanggil Rumah Mampu Milik bagi golongan belia. Projek berkenaan akan bermula tahun ini dengan lebih kurang 5,000 unit akan dibina di atas ta­nah milik Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur.

Beta amat sukacita dengan penekanan kerajaan terhadap pembangunan prasarana peng­angkutan awam terutamanya yang berasaskan rel seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (High Speed Rail), Transit Aliran Massa (Mass Rapid Transit), Laluan Rel Pantai Timur dan sambu­ngan Transit Aliran Ringan (Light Rail Transit) bagi meningkatkan hubungan dan mobiliti rakyat.

Sesungguhnya, rakyat telah lama menunggu untuk menikmati sistem pengangkutan awam yang efisien, berkualiti serta kadar tambang yang berpatut­an seperti mana yang terdapat di negara maju. Jus­teru, beta meng­ucapkan tahniah dengan terlaksananya projek ikonik MRT Sungai Buloh - Kajang Fasa Satu yang telah mula beroperasi pada 16 Disember 2016, yang akan disusuli pula Fasa Dua pada Julai 2017. Begitu juga, beta amat me­ng­alu-­alukan cadangan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur yang akan menghubungkan antara kawasan pantai timur dengan pantai barat semenanjung. Projek Lebuh Raya Pan Borneo pula akan menjadi pemangkin kepada pertumbu­h­an ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak. Pelaksanaan semua projek ini akan memberi kemudahan kepada rakyat, meningkatkan ja­ringan pengangkutan, merangsang kegiatan ekonomi serta meletakkan Malaysia setanding de­ngan negara maju.

Kebajikan rakyat luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli serta pribumi di Sabah dan Sarawak sentiasa diberi perhatian. Kerajaan beta akan terus melaksanakan projek infrastruktur asas, program pembangunan ekonomi dan sosial serta menaik taraf bangunan sekolah luar bandar yang daif terutamanya di Sabah dan Sarawak. Pemba­ngunan luar bandar akan terus diperkukuhkan di bawah Dasar Pembangunan Luar Bandar Transformasi Nasional 2050 yang dirangka selaras dengan keperluan semasa dan akan datang.

Beta mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri yang telah mengambil inisiatif tertentu bagi mendorong peningkatan harga komoditi seperti getah dan minyak sawit. Kerajaan beta sedar terdapat usaha menimbulkan publisiti negatif mengaitkan pengeluaran komoditi dengan isu-isu yang boleh menjejaskan eksport negara. Sehubungan ini, kerajaan akan terus meningkatkan promosi dan kempen pene­rangan untuk menangkis segala tohmahan.

Beta menyeru supaya lebih ba­nyak langkah diambil bagi memastikan jaminan bekalan makanan yang mencukupi dan berkualiti dengan harga yang munasabah bagi memastikan keperluan rakyat dipenuhi selaras de­ngan aspirasi ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’. Program galakan dan pendedahan potensi sektor pertanian moden yang berinovatif hendaklah ditingkatkan bagi memenuhi permintaan pasaran dunia. Sektor pertanian mampu menjanjikan pendapatan lumayan jika diusahakan secara kreatif dan menggunakan teknologi terkini. Ini menjadikan Malaysia sebuah negara self-sufficient untuk sektor agrikultur.

Bagi meningkatkan lagi sumbangan wanita kepada ekonomi negara, beta mengalu-alukan penglibatan golongan ini dalam ekonomi diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dengan menetapkan sasaran penyertaan 59 peratus daripada wanita dalam pasaran kerja. Menyedari penting­nya keseimbangan antara kemajuan dan kesejahteraan masyarakat serta keluarga, kerajaan beta telah menggubal Dasar dan Pelan Tindakan Keluarga Negara sebagai panduan dalam pembangunan sosio­ekonomi dengan mengambil kira kepenting­an institusi kekeluargaan. Beta juga berharap semua pihak bergan­ding bahu bagi memelihara kebajikan golongan mudah terjejas seperti kanak-kanak, warga emas, ibu tunggal yang miskin serta orang kurang upaya agar mereka terus di­lindungi. Bagi melin­dungi golongan kanak-kanak daripada penjenayah seksual yang mengeksploitasi mereka, kerajaan beta akan membentangkan rang undang-undang jenayah seksual kanak-kanak untuk menangani masalah tersebut secara komprehensif.

Kerosakan alam sekitar akan menjejaskan kehidupan dan mengambil masa yang lama untuk dipulih sepenuhnya serta melibatkan kos yang tinggi. Juste­ru, beta menggesa semua pihak menghargai dan melindungi alam semula jadi serta tidak memusnahkan keseimbangan ekologi. Contohnya di Cameron Highlands, undang-undang hendaklah dikuat kuasakan sepenuhnya demi meningkatkan keyakinan rakyat bahawa kerajaan serius dalam menjaga dan memulihara pengekalan alam sekitar. Beta juga menyeru rakyat supaya mengamalkan gaya hidup hijau seperti menggunakan tenaga dan air dengan lebih cekap ke arah mencapai matlamat negara untuk menjadi ekonomi rendah karbon. Selain itu, masyarakat perlu lebih prihatin serta tidak membuang sampah merata-rata dan keadaan tandas awam hendaklah diberi keutamaan dalam kebersihannya.

Beta amat prihatin dengan peningkatan yang agak membimbangkan kes-kes penyakit tidak berjangkit. Perkhidmatan saring­an risiko penyakit tidak berjangkit dan khidmat nasihat penjagaan kesihatan telah disediakan oleh kerajaan melalui klinik kesihatan dan Klinik 1Malaysia di seluruh negara. Berbanggalah, negara ini memiliki prasarana dan kemudahan kesihatan yang diiktiraf antarabangsa. Beta menyeru rakyat supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang bagi meningkatkan lagi tahap kesihatan diri.

Kepelbagaian budaya, waris­an dan keunikan alam semula jadi adalah antara daya tarikan sektor pelancongan yang merupakan salah satu penyumbang utama kepada pendapatan negara. Beta menyeru supaya sektor ini dipertingkatkan lagi dengan mempelbagaikan produk-produk pelancongan dan meneroka pasaran strategik yang mampu meningkatkan ketibaan pelancong ke negara ini. Usaha menarik kedatangan pelancong adalah tugas kita bersama dan bukan di bahu kerajaan semata-mata. Ini boleh dilaksanakan termasuk dengan menyokong kempen Tahun Melawat [email protected]

Beta menyambut baik dan menyokong visi Transformasi Nasional 2050, atau TN50 seper­ti yang telah digagaskan oleh Perdana Menteri. TN50 bersifat inklusif bagi mendapat pandang­an, idea dan aspirasi mengenai hala tuju negara melalui national discourse yang merangkumi semua segmen masyarakat seper­ti belia, wanita, ilmuwan, budayawan, ulama dan sebagainya. TN50 juga merupakan suatu visi 30 tahun ke hadapan dan menjadikan Malaysia sebuah negara berjaya di persada dunia.

Pada masa ini lebih 80 peratus lepasan bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional atau TVET berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Justeru, bidang ini akan terus diperkasakan. Dalam bidang pendidikan tinggi pula, pelbagai inovasi telah diperkenalkan yang berjaya mempertingkatkan lagi modal insan yang berkualiti termasuk menyediakan akses pendidikan tanpa mengira had umur, lokasi dan masa. Ini adalah sejajar dengan perkembangan Revolusi Industri Keempat yang bukan sahaja memerlukan pekerja berkemahiran tinggi tetapi juga bakat dalam bidang sains. teknologi dan inovasi atau STI yang mampu me­lonjak Malaysia menjadi negara yang lebih kompetitif.

Usaha kerajaan beta dalam pembangunan modal insan turut merangkumi seluruh lapisan masyarakat termasuk Orang Asli di Semenanjung serta pribumi di Sabah dan Sarawak. Tahap pendidikan mereka pada masa ini dilihat semakin meningkat apabila ramai dalam kalangan mereka telah memegang pelbagai jawatan profesional. Usaha murni bagi meningkat lagi pendidikan komuniti ini akan diteruskan bagi memastikan mereka turut bersama-sama menyumbang dalam arus kemajuan negara.

Untuk mengukuhkan lagi kese­paduan dan integrasi nasional, kerajaan beta sedang menyediakan pelan tindakan untuk pelaksanaan Pelan Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatupaduan yang telah digubal berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Beta berharap pelan tindakan ini kelak dapat menentukan hala tuju ke arah menyatupadukan lagi rakyat. Janganlah kita cepat berpuas hati dengan usaha-usaha memupuk perpaduan yang telah dilaksanakan. Adalah tidak salah untuk kita berbeza pendapat, namun gunakanlah saluran yang betul, secara berhemah serta tanpa perlu melibatkan pihak luar mencampuri urusan dalaman negara.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip wasatiy­yah atau kesederhanaan, beta menyokong segala inisiatif yang dilaksanakan agar sebarang unsur penghinaan terhadap agama Islam dan institusinya di negara ini ditangani dengan kebijaksana­an dan ketegasan. Beta berharap langkah-langkah yang dilaksanakan dalam menangani penyeba­ran ajaran yang menyeleweng daripada Islam melalui media massa dan laman web terus dipertingkatkan termasuklah meneruskan pemerkasaan undang-undang pentadbiran agama Islam. Pada masa yang sama, kese­pakatan pemimpin-pemim­pin Islam utama di negara ini adalah suatu yang amat baik dan dialu-alukan sebagaimana dalam menangani isu minoriti Rohingya di Myanmar.

Pada kesempatan ini beta amat sukacita atas kunjungan Raja Salman bin Abdul Aziz Al-Saud, Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Arab Saudi ke Malaysia minggu lepas.

Sesungguhnya lawatan tersebut mengukuhkan kedua-dua negara yang berada pada tahap terbaik. Beta juga mengalu-alukan usaha kerajaan menganjurkan Sesi Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam Mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya pada 19 Januari 2017 di Kuala Lumpur. Sesungguhnya, ini bukan bermakna Malaysia mencampuri urusan dalaman sesebuah negara, sebaliknya konsisten de­ngan dasar negara seperti mana penentangan Malaysia terhadap kekejaman dan penindasan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin sebagai membantu saudara sesama Islam sedunia.

Dalam pada itu, beta dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasu­ah serta pembocoran maklumat terperingkat kerajaan termasuk penjawat dan bekas penjawat awam. Walaupun dilakukan oleh segelintir namun ia menghakis kepercayaan rakyat. Justeru, beta mengalu-alukan tindakan membawa mereka terlibat ke muka pengadilan. Rakyat juga perlu memberi sokongan dengan tidak terlibat sebagai pemberi rasuah atau memiliki dokumen terpe­ringkat tanpa kebenaran.

Beta bersyukur persediaan dan pengurusan kerajaan dalam menghadapi bencana banjir yang melanda negara hampir tiap-tiap tahun bertambah baik. Ini terbukti dengan usaha-usaha dan bantuan yang telah diberikan oleh agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan para sukarelawan terutamanya sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dalam pengurusan serta penyaluran bantuan kepada mangsa banjir baru-baru ini. Ia disambut baik dan sangat dihargai oleh mereka yang terlibat. Justeru, beta berharap kerjasama dan persefahaman pelbagai pihak dalam membantu mangsa banjir akan diteruskan lagi pada masa hadapan. Beta juga mengalu-alukan usaha kerajaan melaksanakan beberapa projek mitigasi banjir.

Beta menghargai sumbangan rakyat yang telah mengharumkan nama negara dalam pelbagai bidang seperti kepimpinan, akademik, sukan, kesukarelawan dan kesenian di peringkat antarabangsa. Begitu juga sumbang­an serta pengorbanan anggota perkhidmatan awam, ATM dan PDRM dalam mentadbir, membangunkan dan mempertahankan negara sangat dihargai. Beta juga menghargai segala usaha untuk meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri terutamanya dalam menangani cabaran mendatang demi ke­se­-
jahteraan rakyat dan negara. Beta yakin, walau apapun cabaran dan halangan yang kita hadapi, selagi kita semua bersatu, mempu­nyai niat yang betul dan berusaha bersungguh-sungguh dan secara jujur, insya-Allah kejayaan akan menjadi milik kita, iaitu rakyat dan negara.

Beta berdoa semoga negara Malaysia yang tercinta serta rak­yatnya terus dianugerahkan oleh Allah SWT dengan taufik dan hidayah, maju, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.

Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13, semalam.