Kes melibatkan Richard Huckle secara tidak langsung memberi kesedaran kepada kita mengenai ancaman serius penderaan seksual yang boleh dilakukan oleh seorang pedofilia. Namun, kita mampu menarik nafas lega apabila warganegara Britain itu dikenakan hukuman penjara seumur hidup di negaranya, apabila didapati bersalah melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia dan Kemboja.

Baru-baru ini, rakyat Malaysia turut melahirkan kebimbang­an apabila mereka mengetahui seorang perogol bersiri, S. Selva Kumar, akan dihantar pulang ke Malaysia selepas menjalani hukuman di Kanada. Secara perbandingan, sebenarnya lebih banyak kes penderaan seksual dilakukan oleh individu yang paling hampir dan dipercayai oleh mangsa, terutamanya ahli keluarga terdekat.

Bayangkan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa apabila kepercayaan yang diberikan oleh mereka dibalas dengan penderaan seksual yang kesannya kekal sehingga akhir hayat. Jika trauma yang dihadapi mang­sa tidak ditangani dengan betul, mereka akan mengalami pelbagai simptom seperti kemurungan, kegelisahan, masalah tidur, tiada selera makan, ketakutan, sukar mempercayai orang lain serta kecenderungan menjadi seorang pendera apabila dewasa.

Terdapat banyak kes sebegini seperti yang dilaporkan bulan lepas, melibatkan seorang penjawat awam di Kuching, Sarawak yang dijatuhi hukuman penjara selama 60 tahun dan 30 sebatan setelah mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan merogol anak tirinya yang kini berusia 17 tahun.

Pada 30 Disember lepas, seorang lelaki yang hidup secara gelandangan dihukum penjara 80 tahun dan sebatan 110 kali oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dan satu pertuduhan seks oral melibatkan anak kandungnya yang berusia 16 tahun.

Menurut Ketua Unit Siasatan Seksual Bukit Aman, DSP Tan Gee Soon, hampir kesemua mangsa penderaan seksual mengenali mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu. Statistik di antara 2005 dan 2015 menunjukkan secara konsisten bahawa 91 peratus pemangsa kanak-kanak ialah mereka yang dikenali mangsa.

Dalam tempoh 10 tahun tersebut, kes sumbang mahram yang melibatkan bapa kandung me­rangkumi 23.9 peratus, diikuti bapa tiri (23 peratus), bapa saudara (18.7 peratus), abang kan­dung (12.5 peratus), sepupu (7.2 peratus), abang ipar (5.3 peratus), abang tiri (4 peratus), datuk (1.6 peratus) dan datuk tiri (1 peratus).

Menurut data yang dikumpul polis, mereka yang melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak termasuk juga kenalan keluarga, jiran, guru, anggota polis dan tentera, guru agama dan pengawal keselamatan.

Statistik polis di antara 2013 dan 2016 turut menunjukkan sebahagian besar kes rogol, mencabul kehormatan dan liwat melibatkan kanak-kanak dilakukan oleh mereka yang dikenali ­mangsa.

Kita sering mengingatkan anak-anak tentang bahaya yang bakal menimpa mereka jika berkenalan dengan orang asing sedangkan di sekeliling kita sebenarnya terdapat lebih ramai yang bersikap seperti musang berbulu ayam atau haruan makan anak.

Dalam kebanyakan kes penderaan seksual kanak-kanak, laporan polis lambat atau langsung tidak dibuat kerana mangsa atau ahli keluarga mahu menjaga nama baik mereka.

Bagi kes yang melibatkan bapa atau bapa tiri, kemungkinan besar laporan polis tidak dibuat kerana mereka bimbang akan kehilangan sumber pendapatan apabila ketua keluarga dikenakan tindakan undang-undang.

Walaupun sejumlah 10,575 kes penderaan seksual melibatkan kanak-kanak telah dilaporkan di antara 2013 dan Julai 2016, dipercayai lebih banyak kes yang berlaku tidak pernah dilaporkan kepada pihak polis atas alasan sedemikian.

Tahun lepas, kita turut dikejutkan dengan laporan media asing yang mendedahkan penderaan seksual kanak-kanak di Malaysia kebanyakannya tidak berakhir dengan pendakwaan kerana kelemahan undang-undang jenayah negara.

Turut didedahkan kebanyak­an maklumat mengenai pendera­an seksual kanak-kanak tidak diketahui umum kerana terletak di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Oleh itu, kerajaan perlu memastikan Rang Undang-undang Jenayah Seksual Kanak-kanak dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan hadapan ke­rana ia mampu menangani perkara ini dan isu-isu lain termasuk pornografi, penderaan seksual dan grooming melibatkan kanak-kanak.

Jika diluluskan, Rang Undang-undang itu akan menjadi pelengkap kepada Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016, yang membawa hukuman lebih berat.

Akta Kanak-kanak yang dipinda tahun lepas mengenakan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara sehingga 20 tahun kepada mereka yang didapati bersalah melakukan penderaan atau membiarkan kanak-kanak tanpa jagaan berbanding hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga 10 tahun sebelum pindaan dibuat.

Di bawah undang-undang baharu itu, mahkamah khas akan diwujudkan bagi mempercepatkan perbicaraan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak. Dilaporkan hakim dan pihak pendakwa di mahkamah khas tersebut adalah mereka yang mahir dalam bidang berkenaan manakala kes terbabit perlu di­selesaikan dalam tempoh setahun.

Akta itu juga mengandungi peruntukan yang membolehkan pihak ketiga membuat laporan berkaitan kes penderaan kanak-kanak kerana pada masa ini ha­nya keluarga terdekat, doktor dan penjaga kanak-kanak diberi tanggungjawab tersebut.

Peruntukan ini amat penting bagi memastikan orang ramai menjalankan peranan mereka untuk menangani penderaan kanak-kanak secara serius dan bertanggungjawab.

Undang-undang yang lebih ketat dan hukuman berat tidak akan memberi makna sekiranya kita sebagai anggota masyarakat tidak mahu melaksanakan tanggungjawab untuk membantu pihak berkuasa menahan mereka yang bersikap umpama “musang” dan “haruan” dalam kalang­an masyarakat.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.