Data rasmi yang berasaskan bilangan kes tangkapan dan bukannya bilangan sebenar pengguna dadah di negara ini sudah semestinya tidak mencerminkan situasi sebenar penyalahgunaan dadah yang semakin buruk. Pertelagahan dan sikap menu­ding jari menyalahkan satu sama lain tidak akan membantu keada­an. Hakikatnya, kita semua perlu memainkan peranan masing-masing kerana tiada pendekatan standard yang boleh diguna pakai untuk mengatasi permasalahan ini.

Sebagaimana permasalahan ekonomi, isu berkait dadah perlu dilihat dari perspektif permintaan dan penawaran. Untuk mendapat hasil optimum, permintaan dan penawaran perlulah saling berpadanan. Pengurangan penawaran atau bekalan dadah melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan dalam membendung aliran dadah ke negara ini.

Malaysia mempunyai undang-undang yang tidak kurang ketatnya ke atas pesalah-pesalah yang terlibat dalam pengedaran dadah. Namun begitu, ini masih tidak dapat membantu untuk mengurangkan bekalan dadah mahupun pengedarannya dalam kalangan masyarakat.

Sepanjang penglibatan saya dalam menjalankan kajian melibatkan pengguna dadah, saya sentiasa dimaklumkan oleh pengguna dadah bahawa mereka tidak pernah kekurangan bekalan dadah malah boleh diperoleh dengan mudah. Ini menunjukkan bahawa, meskipun pihak polis dan agensi-agensi penguat kuasa lain telah menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang, jumlah bekalan dadah masih terus stabil di negara ini. Ingin saya jelaskan bahawa Malaysia tidaklah unik dalam hal ini. Negara-negara lain di dunia juga menghadapi cabaran yang sama. Persoalannya, mengapakah ini berlaku? Jawapannya adalah jelas, selagi ada permintaan, akan adanya penawaran (bekalan).

Pengurangan permintaan pula melibatkan pencegahan penggunaan dadah oleh pengguna baharu dan pemberian rawatan kepada pengguna-pengguna yang telah terjebak dalam kancah dadah. Secara teorinya, jika kita berjaya mengurangkan bilangan pengguna dadah di negara ini, secara tidak langsung bekalan dadah akan turut berkurang memandangkan ia tidak lagi dilihat sebagai perniagaan yang meng­untungkan oleh pengedar dadah.

Kita perlu berhenti berbalah dalam menentukan kaedah pencegahan atau rawatan adalah yang paling sesuai dan efektif. Yang nyata, kedua-duanya sama penting dan pengagihan sumber untuk kedua-dua pendekatan tersebut perlulah berasaskan penemuan kajian saintifik.

Sehingga kini, terdapat ba­nyak penemuan penting oleh ahli akademik dan sains yang dapat dirujuk untuk membantu kita dalam membuat keputusan.

Pembuat dasar pula perlu menggunakan bukti-bukti yang ada sebelum memformulasikan pendekatan-pendekatan yang perlu diambil untuk menangani permasalahan dadah.

Namun begitu, tidak semua­nya pincang. Kita telah berjaya melaksanakan usaha yang baik dalam mengurangkan bilangan pengguna dadah yang mempunyai jangkitan HIV di negara ini. Ini berjaya dicapai melalui penggemblengan tenaga oleh pihak kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, polis, Agensi Antidadah Kebangsaan, jabatan agama, NGO dan institusi akademik dalam me­laksanakan program-program pengurangan kemudaratan di seluruh negara.

Pengurangan bilangan pengguna dadah yang mempunyai jangkitan HIV dapat dilihat de­ngan ketara hanya dalam tempoh satu dekad. Kini, pengguna dadah bukan lagi dilihat sebagai penyumbang utama jangkitan HIV di negara ini.

Sebagai pengajaran, kejayaan akan dapat dicapai jika kita dapat mengetepikan perbezaan dan bergabung tenaga dalam mencapai matlamat yang sama. Ini telah menunjukkan bahawa Malaysia mengamalkan sikap keterbukaan dan berani dalam mengaplikasikan bukti-bukti daripada kajian saintifik untuk melaksanakan program-program pengurangan kemudaratan.

Justeru, marilah kita ketepikan kepentingan peribadi dan institusi dalam menangani permasalahan ini secara objektif untuk kepentingan negara.

PENULIS ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan, Universiti Sains Malaysia (USM).