Apa yang sedang berlaku sekarang ialah pihak kerajaan mula mengatur langkah untuk membentuk barisan Kabinet dan memenuhi semua janji manifesto mereka manakala UMNO yang pertama kali menjadi pembangkang di peringkat pusat pula dilihat sudah mula melaksanakan transformasi perubahan kepimpinan untuk kembali meyakinkan rakyat serta kekal relevan menje­lang PRU akan datang. Dalam pada mereka sibuk dengan urusan tersebut penulis ingin mengajak semua parti politik dan seluruh rakyat Malaysia supaya marilah kita berganding bahu membina sebuah bangsa Malaysia yang matang, bersatu padu dan progresif.

Pilihan raya datang dan pergi setiap lima tahun, ada ketika pihak ini menang dan ada ketika­nya pihak satu lagi pula menang. Itu adalah lumrah dalam pesta hari raya demokrasi di seluruh dunia dan kita wajar meraikannnya. Tetapi persoalannya adalah apa berlaku selepas setiap PRU? Harapan besar seluruh rak­yat adalah untuk mengekalkan perpaduan yang ada dalam kalangan masyarakat. Justeru cukup-cukup­lah dengan politik perkauman atau rasis yang dijadikan modal kempen dan alat untuk menakut-nakutkan semua pihak. Sedarlah ini akan membuat rak­yat semakin benci kepada kita.

Penulis percaya selepas lebih 60 tahun kita merdeka rakyat semakin matang dan rasional. Keputusan PRU kali ini juga sebenarnya membuktikan rakyat menolak politik perkauman. Kita semua baik Melayu, Cina, India atau rakan-rakan di Sabah dan Sarawak adalah semuanya rak­yat Malaysia. Jadi buat apa mahu dibeza-bezakan dan diapi-apikan provokasi serta rasa curiga. Berprasangka buruk dan negatif terhadap seseorang itu hanya kerana latar belakang kaumnya adalah satu sikap yang amat keji dan tidak adil. Jadi baik pihak kerajaan mahupun pembangkang tolonglah prihatin tentang isu ini. Menang atau kalah dalam pilihan raya bukanlah segala-galanya. Kita tidak mahu menjadi umpama menang sorak kampung tergadai atau yang kalah jadi abu dan yang menang jadi arang.

Selesai PRU-14 ini marilah kita bersatu di bawah naungan dan payung besar bernama Malaysia untuk membina satu bangsa yang merdeka dan progresif serta berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan. Ironinya, dalam perlembagaan semua isu seperti hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan orang bukan Melayu, kedudukan agama Islam dan amalan agama lain, kedudukan bahasa Melayu serta penggunaan bahasa ibunda lain serta kedudukan raja sudah kemas terpateri. Tapi apa yang mengecewakan adalah masih ada ahli politik murahan yang terus memainkan isu ini demi kepenti­ngan peribadi sehingga mencetuskan provokasi dan mengganggu gugat keharmonian kaum dalam negara.

Perkara seperti ini tidak wajar berlaku dan tidak boleh dibenarkan untuk terus berlaku. Ingatlah pasca PRU-14 rakyat mahu perubahan yang total untuk membina dan membangunkan kembali kegemilangan bangsa dan negara kita. Jadi semua pihak tanpa mengira ideologi politik perlu bersatu untuk tujuan itu. Jangan semua benda mahu dipolitikkan. Berpolitik juga perlu ada batas­nya. Jelas politik perkauman dan kebencian bukan budaya kita dan juga bukan budaya yang sihat.

Sudah terlalu banyak bukti yang menunjukkan budaya politik yang tidak sihat boleh menghancurkan hubungan silaturahim baik sesama ahli keluarga mahupun anggota masyarakat. Maka sampai bila kita mahu begini? Kita faham setiap parti politik ada ideologi dan matlamat masing-masing tetapi dalam soal perpaduan dan kesepaduan rakyat kita merayu kepada semua ahli politik agar mengetepikan segala perbezaan, carilah titik persamaan dalam perbezaan yang ada demi survival bangsa Malaysia.

Kita khuatir jika politik perkauman, benci dan caci dijadikan budaya, masyarakat akan berpecah, keamanan dan kestabilan negara akan tergugat, jambatan perpaduan yang telah dibina oleh pejuang kemerdekaan akan retak dan runtuh dan akhirnya akan membawa kepada konflik perang saudara dan campur tangan pihak asing. Apakah kita mahu kembali dijajah oleh orang asing?

Politik ada banyak sisi yang baik dan positif maka gunakanlah elemen positif itu untuk membangunkan masyarakat dan negara dan bukannya menggunakan sisi negatif untuk menghancurkan apa yang ada.

Penulis cukup risau apabila suhu politik tiba-tiba meningkat naik dari penghujung hari kempen sehinggalah sekarang walaupun PRU-14 sudah selesai. Buat sementara ini bawalah bertenang dan lupakanlah apa yang telah berlaku dalam PRU-14, yang menang perlu elak sikap bongkak manakala yang kalah pula tidak perlu terus tangisi nasib yang menimpa. Dalam tempoh lima tahun akan datang masing-masing akan dapat lagi peluang untuk menambat hati rakyat. Sehingga itu tumpukanlah sepenuh usaha untuk membina bangsa Malaysia mengikut acuan kita demi mencapai impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Jauh di sudut hati impian seluruh rakyat ialah alangkah indah­nya jika yang menang dan kalah boleh bergabung tenaga dengan mengetepikan segala perbezaan secara profesional tanpa rasa dendam dan curiga untuk memajukan rakyat dan negara. Kita percaya rakyat semakin matang yang mana literasi politik juga semakin meningkat. Jadi rakyat sudah semestinya bijak dalam menilai antara kaca dan permata, lagipun hanya jauhari yang me­ngenal manikam. Marilah kita berganding bahu membina bangsa Malaysia yang diidamkan.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).