Fadillah Yusof
Fadillah Yusof

Jika diteliti satu persatu barisan kepemimpinannya, Gagasan dilihat sudah matang kerana pemimpinnya dibarisi mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan pengalaman. Keadaan ini sekali gus menyerlahkan keseriusan Gagasan untuk melaksanakan matlamat penubuhannya.

Gagasan berpegang pada pesanan orang tua-tua, iaitu jika ingin melentur buluh biarlah waktu rebung. Sehubungan itu, Gagasan berpendapat bahawa anak muda adalah aset penting yang akan membantu kita untuk ­merencanakan pelbagai perancangan masa depan negara. Hal ini selaras dengan pesanan mereka terdahulu, iaitu “didiklah anakmu sebagaimana zamannya kerana mereka bukannya menjalani kehidupan seperti apa yang telah kamu lalui”.

Oleh itu, Gagasan amat bersetuju dan berikrar akan bersama dengan kepemimpinan negara untuk bersama-sama melakar peta kehidupan anak-anak muda melalui lontaran idea seiring dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50) agar bumi tercinta ini akan terus diwarisi generasi yang lebih hebat untuk menjamin kehidupan sejahtera.

Gagasan kini diterajui oleh Datuk Seri Fadillah Yusof, pemimpin dari Bumi Kenyalang. Beliau yang berpegang pada prinsip kesederhanaan dalam pelbagai perkara telah memulakan langkah untuk mendekatkan generasi muda kepada semangat cintakan Sains dan Matematik.

Bagi mencapai matlamat itu, sehingga kini Gagasan telah menjelajah ke seluruh negara melalui penganjuran Pertandingan Olympiad Sains dan Matematik. Pada tahun ini, pertandingan ini akan dimantapkan lagi dengan penambahan program sampingan, seperti pameran, ceramah dan simulasi yang berorientasikan Sains dan Matematik.

Gagasan juga telah memper­kenalkan Pertandingan Pidato Piala Presiden Gagasan khas untuk guru-guru pelatih dengan format baharu yang lebih mencabar. Pertandingan tersebut akan diadakan di tempat terbuka seperti di ruang legar Mara Digital dan Mydin Mall. Pemilihan lokasi ini dibuat bagi mempertingkatkan keyakinan dan keberanian pemidato untuk menyampaikan hujah di hadapan khalayak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat.

Gagasan amat yakin bahawa generasi muda perlu dididik dan dilunakkan dengan prinsip-prinsip termaktub dalam Rukun Negara. Hal ini penting kerana prinsip itu adalah tunjang ataupun sebagai penanda aras, khususnya apabila memperkatakan nilai-nilai kehidupan bermasyarakat, kepercayaan kepada konsep ketuhanan dan juga kesetiaan kepada tanah air yang berpaksikan pada Raja-raja Melayu dan Perlembagaan negara.

Sehubungan itu, Gagasan menyarankan agar prinsip-prinsip yang digarap dalam Rukun Negara perlu dijadikan teras utama penggubalan idea TN50, khususnya untuk melahirkan generasi 2050 yang kukuh jati diri dan ketaatan mereka kepada watan.

Gagasan berpendirian dalam keghairahan mencipta kecemerlangan diri dan negara, kita tidak seharusnya lupa keperluan mempertahankan bahasa Melayu dan tulisan Jawi kerana bahasa dan tulisan tersebut adalah teras kekuatan jati diri bangsa yang dipasakkan oleh mereka terdahulu.

Berdasarkan situasi semasa, bahasa Melayu dan tulisan jawi kini semakin terpinggir dan lebih malang apabila kedua-duanya itu dikesampingkan bangsa Melayu sendiri. Buktinya, cuba kita lihat penggunaan bahasa Melayu sama ada dalam perbualan ataupun dalam penulisan. Pemimpin lebih betah berbicara dalam bahasa Inggeris yang dicampur-adukkan dengan bahasa Melayu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sesetengah anggota masyarakat Malaysia, termasuk Melayu yang mula bertindak membodohkan diri tentang bahasa Melayu apabila mereka berpelajaran agak tinggi. Situasi inilah yang menjadi antara faktor popularnya bahasa rojak. Telitilah bahasa digunakan mereka apabila diwawancara atau berucap.

Anak-anak muda pula lebih selesa dengan bahasa yang tidak difahami umum. Nama-nama yang berbunyi keinggerisan menjadi keutamaan kerana diperlihatkan oleh pihak-pihak tertentu sebagai lebih hebat dan lebih komersial seperti diletakkan di papan-papan tanda atau di bangunan tersergam indah.

Begitu juga nasib tulisan jawi. Jika Kementerian Pendidikan khasnya gagal bertindak secara serius, tidak mustahil pada 2050 nanti kita hanya dapat menatap­nya di ruang-ruang legar Muzium Negara atau di Muzium Negeri.

Apakah kita rela anak-anak TN50 membaca al-Quran dengan menggunakan huruf rumi sebagaimana anak-anak di negara jiran? Atau apakah kita sanggup melihat al-Quran dijadikan barang perhiasan di dalam almari yang setaraf dengan pinggan mangkuk berjenama? Jawapan ada pada kita kerana kitalah pembentuk generasi TN50 yang akan mencorakkan negara dan bangsa.

Sesungguhnya, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bersama-sama memperkasakan kedudukan, fungsi serta penggunaan bahasa Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Peranan ini perlu dimainkan oleh setiap warganegara tanpa mengambil kira fahaman, warna kulit, dan bangsa. Keteguhan identiti nasional hanya boleh dicapai jika kita mempunyai dasar dan melakukan tindakan yang berkesan terhadap peruntukan, seperti tercatat dalam Perkara 181, 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan.

Semoga Persidangan Agung Tahunan Gagasan Ke-7 ini mampu dijadikan medan perkongsian kebijaksanaan minda dalam usaha menentukan acuan terbaik untuk generasi yang bakal kita tinggalkan amanah. Jangan pula pada suatu hari nanti, khususnya pada 2050 anak cucu kita ­menuding jari menghina kita kerana kegagalan mendidik mereka sewajarnya. Marilah kita rapatkan saf, lupakan perbezaan ideologi untuk memperkukuh iltizam bagi membina negara bangsa yang kuat akar dan akalnya untuk meneruskan legasi perjuangan kita.

PENULIS ialah Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan).