Obesiti merupakan masalah global yang serius. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa dua pertiga daripada populasi kanak-kanak di dunia bakal mengalami obesiti serius menjelang tahun 2050.

Di Malaysia, sehingga tahun 2010, peningkatan kes obesiti yang direkodkan dalam kalangan keseluruhan kanak-kanak berumur antara tujuh dan 12 tahun adalah sebanyak 10 peratus.

Sehubungan itu, pelbagai kaedah dilakukan oleh negara-negara maju dan membangun bagi mengurangkan tahap obesiti dalam kalangan rakyat mereka dan malangnya pelaksanaan inisiatif itu di negara kita agak terkebelakang, namun masih belum terlambat untuk dimantapkan.

Antaranya, jiran kita di sebelah selatan, Singapura pada 1992 memperkenalkan program Trim and Fit (TAF) di setiap sekolah iaitu para pelajar yang mempunyai berat badan berlebihan diwajibkan menjadi ahli kelab hilang berat badan dengan perlu mengekalkan makanan waktu rehatnya di bawah 350 kalori sehari.

Namun, program itu digantikan dengan program lain, Holistic Health Framework (HHH) pada 2007 yang ditambah baik dengan mengambil kira kajian menyeluruh terutama daripada aspek psikologi dan hasil maklum balas yang diterima.

Beberapa negara lain seperti Korea, Argentina, China, Taiwan, Singapura, Pakistan, Filipina, India, Mauritius, Jerman, Malta dan Belanda turut menekankan kepada program kesihatan kanak-kanak membabitkan kesedaran nutrisi dan aktiviti fizikal bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak berusia antara tujuh dan 12 tahun.

Masalah berlebihan berat badan dan obesiti berkait rapat dengan faktor pemakanan dan dalam perkara ini kualiti penyediaan makanan di kantin-kantin sekolah amat memerlukan pemerhatian yang serius bagi memastikan setiap makanan yang disajikan kepada para pelajar memenuhi kriteria nutrisi pemakanan sihat.

Sehubungan itu, sewajarnya dijadikan kriteria utama sebelum diluluskan pemberian tender kepada pengusaha kantin sekolah atau pejabat-pejabat kerajaan untuk melabelkan setiap makanan yang dihidangkan dengan jumlah kalori lengkap.

Memang terdapat sesetengah kantin menyediakannya tetapi ia tidak menyeluruh. Pengalaman semasa mengunjungi sebuah hospital di Sabah, kantinnya boleh diberikan pujian kerana setiap sajian makanannya dilabel dengan jumlah kalori termasuk minumannya juga tidak menggunakan susu pekat manis tetapi digantikan dengan susu rendah lemak.

Dalam perkara ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertindak proaktif apabila mengambil inisiatif mengajak semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama bersenam dan mempelajari kaedah-kaedah terkini untuk sentiasa kekal cergas.

Daripada cetusan itu, maka lahirlah gerakan FitMalaysia sebagai satu gerakan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan dengan mengguna pakai konsep 3M (Mudah, Menarik dan Murah) dalam empat aktiviti utama iaitu larian, berbasikal, seni mempertahankan diri dan aktiviti kecergasan.

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Jamil Salleh ketika ditemui Utusan Malaysia memaklumkan bahawa objektif utama FitMalaysia antara lain bertujuan menyediakan platform terbaik kepada masyarakat pelbagai lapisan untuk melibatkan diri dalam aktiviti kecergasan dan menterinya, Khairy Jamaludin Abu Bakar telah berusaha keras untuk melihat masyarakat negara ini sentiasa sihat dan cergas dengan bergiat aktif dalam pelbagai jenis aktiviti fizikal.

"Negara ini amat unik iaitu dengan berkongsi minat yang sama iaitu sukan mampu menjadi medium perpaduan terbaik. Maka langkah FitMalaysia mempromosikan aktiviti sukan dan kecergasan yang dapat dijayakan secara bersama oleh rakyat negara ini bakal memantapkan lagi keutuhan antara kaum.

"Hasil daripada kempen berterusan KBS dan agensi terlibat melalui konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam pelaksanaan program ini juga mampu meningkatkan kesedaran masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi terhadap kepentingan mengamalkan gaya hidup aktif dan cergas," katanya.

KBS tidak berseorangan dalam menjayakan gerakan itu apabila turut mendapat kerjasama strategik daripada semua agensi kerajaan, swasta, badan berkanun, persatuan sukan, badan bukan kerajaan dan media, sekali gus menjadikan usaha Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menjayakan matlamat FitMalaysia menjadi kenyataan.

Tidak salah dikatakan bahawa gerakan ini seperti serampang dua mata, dalam melahirkan masyarakat sihat dan cergas, ia juga mampu menambah baik Program Pengenalpastian Bakat untuk menggilap bakat atlet muda pada peringkat awal, sekali gus mengisi kekurangan semasa.

Tidak mustahil gerakan ini mampu menghasilkan Azizulhasni Awang baharu yang lebih baik atau pengganti Datuk Lee Chong Wei yang mampu menjuarai kejohanan badminton dunia dan Olimpik yang belum berjaya dicapai oleh pemain nombor satu dunia itu.

Segala kemudahan, sokongan dan prasarana berkelas dunia telah disediakan kerajaan, hanya menunggu masa untuk direbut, buktikan slogan Malaysia Boleh adalah nyata, bukannya sekadar retorik.