Sejarah kemerdekaan dan pembinaan semula negara ini selepas penjajahan boleh dikatakan agak unik. Penduduk berbilang agama dan bangsa sanggup bersatu-padu menuntut kemerdekaan dan perpaduan jitu itu akhirnya membolehkan kita membina sebuah masyarakat majmuk seper­ti yang ada sekarang.

Kemajuan kita selama ini sejak merdeka juga banyak dipengaruhi oleh faktor keutuhan jambatan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat. Namun kita masih baru berbanding negara-negara maju. Banyak lagi yang perlu kita lakukan supaya dapat membina tamadun bangsa tersendiri di samping terus menikmati kemajuan dan pada masa sama mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan yang ada.

Ringkasnya kita tidak boleh berhenti, berputus asa, mahupun mudah berpuas hati dengan apa yang telah dicapai selama ini.

Pihak kerajaan dilihat secara konsisten memperkenalkan dan melaksanakan pelbagai dasar untuk memastikan negara dan masyarakat kita terus menikmati kejayaan dan kemajuan dalam pelbagai bidang. Jika sebelum ini kita ada Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan disusuli pula dengan Wawasan 2020, terkini kerajaan tampil dengan misi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Setiap dasar ini mempunyai matlamat yang jelas dan khusus untuk meningkatkan tahap kese­jahteraan masyarakat dan kemajuan negara. Umumnya dasar-dasar yang telah dilaksanakan selama ini dilihat amat relevan, signifikan dan telah memberikan impak yang cukup besar kepada rakyat dan juga negara. Justeru kita perlu menyokong penuh dan memastikan misi terkini iaitu TN50 juga dapat direalisasikan dengan jayanya.

Secara prinsipnya TN50 adalah aspirasi dan visi daripada rakyat untuk rakyat. Justeru penglibatan setiap lapisan anggota masyarakat adalah cukup pen­ting terutamanya dari peringkat pa­ling bawah iaitu akar umbi. Ringkasnya setiap seorang daripada kita sama ada remaja, belia, dewasa, warga emas, petani, ahli politik hinggalah ke tokoh korporat perlu mengambil bahagian bagi memastikan aspirasi setiap kelompok ini dapat dijadikan visi dan misi utama TN50 kelak. Inilah satu-satunya negara kita, jadi menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama berganding bahu membangunkannya.

Setakat ini dilaporkan seba­nyak 33,000 aspirasi daripada pelbagai kelompok masyarakat sudah terkumpul yang dibahagikan kepada lima tema utama iaitu, ekonomi dan pekerjaan, kehidupan dan kesejahteraan, tadbir urus, gaya hidup dan masyarakat. Pihak kerajaan juga baru-baru ini telah menubuhkan Kumpulan Masa Depan yang akan membantu memperhalusi serta menganalisis aspirasi yang diterima di peringkat bawah sehingga ke peringkat seterusnya bagi merealisasikan TN50.

Kita perlu sedar betapa usaha dan inisiatif untuk mencapai kejayaan yang diidamkan 30 tahun yang akan datang perlu dimulakan dari sekarang agar hasilnya kelak dapat dituai seperti yang dihasratkan oleh semua.

Justeru marilah kita sama-sama membina Malaysia baharu menjelang 2050 yang boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Apa yang pa­ling penting ialah kita maju ikut cara dan acuan kita sendiri dan kita majukan sendiri negara kita tanpa campur tangan pihak luar melalui aspirasi seluruh anggota masyarakat.

Banyak yang boleh kita sumbangkan dalam menjayakan TN50 ini misalnya yang paling wajar dan juga mudah ialah de­ngan menyertai sesi dialog TN50 yang dianjurkan oleh pelbagai agensi berkaitan dengan kita untuk bertukar-tukar pandangan dan seterusnya mengemukakan pelbagai idea baharu sebagai aspirasi masa depan negara ini.

Hal ini sangat mustahak kera­na andai selama ini ada yang merungut tiada ruang dan platform untuk memberikan pandangan dan idea tentang sesuatu perkara, maka kali ini tiada sebarang alasan lagi kerana segenap lapisan masyarakat disediakan ruang secukupnya untuk berbuat demikian secara terbuka.

Jadi jangan mensia-siakan peluang yang telah disediakan ini dan pastikan suara dan aspirasi kita didengari oleh semua agensi kerajaan yang berkaitan agar boleh dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

Seterusnya bagi yang terlibat secara langsung sebagai duta mahupun ahli Kumpulan Masa Depan dalam kalangan belia pula wajar memainkan peranan yang diamanahkan. Peranan dan tanggungjawab anda cukup besar, yang bakal membantu meneliti setiap aspirasi yang telah terkumpul sebelum didokumenkan menjadi visi negara menjelang tahun 2050.

Jadi kita harap kumpulan ini dapat melaksanakan sebaik mungkin tugas mereka, pastikan setiap aspirasi yang terkumpul itu diteliti dan dianalisis secara objektif dan terperinci. Kita tidak mahu ada yang tertinggal, terlepas pandang mahupun tercicir kerana akibatnya kelak boleh merugikan sekelompok anggota masyarakat kita.

Akhirnya kita harap seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, kedudukan dan juga fahaman politik akan menerima visi TN50 sebagai aspirasi dan agenda kita bersama seterusnya menyokong penuh segala inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan bagi merealisasikan setiap aspirasi yang telah dipilih dan dimuktamad­kan.

Perkara ini adalah fasa yang cukup penting kerana sehebat mana sekali pun dasar dan visi kita tidak akan berjaya mahupun mendatangkan kebaikan yang diharapkan andai tiada sokongan anggota masyarakat. Kejayaan ataupun kegagalan TN50 bergantung kepada komitmen dan penglibatan setiap seorang daripada kita.

Justeru marilah kita ketepikan sejenak persengketaan, perselisih­an faham, perbezaan ideologi dan fahaman politik yang ada, seterusnya bersatu hati menjayakan TN50 sebagai agenda bersama demi kemajuan, kemakmuran, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara kita sekurang-kurangnya untuk 30 tahun yang akan datang.

Semoga negaraku Malaysia te­rus maju ke hadapan.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).