Nur, Bukit Mertajam.

UKE: Nabi SAW bersabda: "Janganlah salah seorang kamu mengharapkan kematian hanya kerana musibah yang menimpanya, kalau pun ingin melakukan itu, katakanlah: “Ya Allah, hidupkanlah aku jika hidup itu memang baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika wafat itu memang baik bagiku.”(Hadis riwayat Al-Bukhari no. 5671, Muslim no. 2680).

 Anda pergi untuk buat ibadat, kenapa hendak minta mati pula? Bukankah banyak tanggungjawab anda di tanah air dan berapa banyak pahala boleh dapat jika umur anda panjang? Kalau semua orang minta mati di sana, siapa pula yang akan jaga agama?

Adakah anda ingin mati di Mekah atau Madinah sebab ada orang kata kalau mati di sana masuk syurga? Kalau begitu sebabnya anda hendak mati, maka pendapat itu tak betul. Cuma apa sebab mati itulah yang perlu jelas. 

Tidaklah menjadi kesalahan minta mati di Mekah atau Madinah tetapi yang salah ialah bunuh diri atau cari jalan hendak bunuh diri sebab hendak mati di sana.

 Mintalah mati dalam husnul khatimah. Walau di mana mati sekalipun, jika dalam husnul khatimah itulah yang baik. Meninggal dunia ketika mengerjakan haji atau umrah, mudah-mudahan termasuk dalam husnul khatimah.


Main terup tanpa pertaruhan 

Permainan daun terup tanpa melibatkan pertaruhan wang mendapat sambutan di sekolah. Apakah permainan ini boleh mendorong pelajar untuk mencuba bertaruh wang? 
Apakah hukum orang Islam main daun terup tanpa bertaruh wang?

* Cik B, Negeri Sembilan.

UKE: Apabila berjudi sudah pasti ia haram. Jika tiada wang pertaruhan macam mana pula? Jawapannya, bukankah ia membuang masa? Permainan tersebut tidak ada faedah, melalaikan dan menjadikan tarikan ke arah berjudi.
Malah ada ulama mengharam permainan itu kerana daun terup itu memang dicipta untuk berjudi, maka bermain daun terup walaupun tidak ada pertaruhan tetap dilarang.
Lafaz Inna lillahi wainna ilaihirajiun kepada bukan Islam 


Adakah salah untuk kita melafazkan Inna lillahi wainna ilaihirajiun apabila kita mendengar perkhabaran kematian sahabat kita yang bukan beragama Islam?

* Roslan, Sungai Buloh.

UKE: Lafaz tersebut membawa maksud daripada Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali. Maka lafaz kalimah itu tidaklah salah diucapkan kepada sesiapa pun. 

Tetapi bagi orang yang meninggal dalam kekufuran adalah dilarang mendoa mereka supaya Allah mengampunkan mereka atau didoakan semoga tenang di sana. 

Al-Nawawi berkata: “Adapun mensolati orang kafir dan mendoakan agar diampuni dosanya, maka hukumnya haram, berdasarkan nas al-Quran dan ijmak.” (Al-Majmu’ 5/120).


Imam salah sebut bismillah 

Pada bulan Ramadan lalu, seorang ustaz jemputan yang menjadi imam Solat Sunat Tarawih beberapa malam di Bedong, Kedah, telah membaca bismillah dengan sebutan 'Nurrohim' dan bukan 'Nirrohim'. 
Dalam bacaan al-Fatihah pula disebut 'Nurrohim' dan bukan 'Nirrohim' pada ayat 'Arrahmanirrohim'. Sebutannya amat jelas bunyi begitu. 

Ramai makmum merungut mengatakan bacaannya itu salah dan solatnya tidak sah. Apa pendapat ustaz dan patutkah dia dijemput untuk mengimami Solat Tarawih lagi?

* Makmum, Badong.

UKE: Kalau sudah jelas memang begitu bacaannya maka memang salah bacaan surah al-Fatihahnya. Maka perbetulkan imam jemputan tersebut. Kalau dia tidak mahu membetulkan bacaannya maka carilah orang lain untuk menjadi imam.


Mana lebih utama 

Jika kita sampai ke masjid selepas waktu azan asar, solat sunat yang manakah perlu dilaksanakan terlebih dahulu antara Solat Tahiyatul Masjid dengan Solat Qabliyah Asar?
* Muhd. Hafiz, Setapak.

UKE: Mudah-mudahan bila anda mengerjakan solat sunat sebelum asar maka anda juga mendapat ganjaran solat Sunat Tahiyatul Masjid.


Tak pasti bilangan talak 

Kakak dan suaminya telah bercerai dua hari lepas dan itu adalah kali kedua mereka bercerai. Kali pertama bercerai dengan talak satu dan sudah rujuk kembali. 

Tidak lama selepas itu, bercerai lagi dengan talak dua. Adakah semua talak menjadi tiga? Bolehkah kakak saya rujuk kembali tanpa berkahwin dengan orang lain dan bercerai terlebih dahulu?

* Adik sangsi, Kedah. 

UKE: Yang menentukan sah atau jatuh talak atau tidak jatuh talak atau bilangan talak ialah pihak mahkamah. Saya syorkan mereka wajib membawa hal ini ke mahkamah untuk diselesaikan.

Maka ikutlah keputusan yang ditetapkan oleh pihak mahkamah dan daripada situlah dapat diketahui berapa talak yang sebenarnya, mengikut perbicaraan dan penghakiman.