Secara keseluruhannya sebanyak 30,200 jemaah haji Malaysia telah terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji kali ini selepas kerajaan Arab Saudi bersetuju mengembalikan semula kuota haji rakyat negara ini kepada angka tersebut.

Sebelum ini kuota jemaah haji Malaysia yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi cuma 22,230 orang. Pengembalian kuota ini adalah hasil hubungan baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Usaha itu bermula melalui permintaan khas Perdana Menteri agar kuota haji bagi jemaah Malaysia ditingkatkan sehingga 30,000 orang ketika Raja Salman melawat negara ini Februari lalu. Hasilnya, Raja Salman memberikan respons amat positif berhubung permintaan Malaysia itu dan sedia mempertimbangkannya.

Akhirnya Ahli Parlimen Baling yang juga Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam sidang Dewan Rakyat, 15 Mac lalu memberitahu Parlimen bahawa kerajaan Arab Saudi bersetuju mengembalikan kuota jemaah haji Malaysia kepada 30,200 orang.

Ekoran pertambahan kuota tersebut, terdapat juga dalam kalangan bakal jemaah Malaysia yang sepatutnya ke Tanah Suci pada musim haji akan datang turut terpilih untuk musim tahun ini. Semuanya itu adalah ketentuan Allah SWT untuk menjemput sesiapa pun menjadi duyufurrahman (tetamu Allah).

Dalam pada itu, para jemaah yang terpilih diminta bersiap sedia dari segi fizikal, mental dan rohani agar segala manasik haji sama ada rukun mahupun wajib haji dikerjakan bertepatan dengan hukum syarak.

Paling penting ilmu yang dipelajari oleh para jemaah ketika menjalani Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji, Kursus Khas Haji dan Kursus Perdana Haji kendalian Tabung Haji hendaklah diaplikasikan sebaik-baiknya dalam usaha memastikan setiap pekerjaan haji dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Antaranya setiap jemaah wajib tahu 13 larangan ihram yang telah ditetapkan sebaik sahaja mereka berniat umrah mahupun haji. Tujuannya adalah untuk mengelakkan jemaah berhadapan dengan masalah sekiranya melanggar salah satu larangan tersebut.

“Bagi jemaah wanita pula perkara yang perlu mereka beri perhatian ialah kitaran haid. Perkara ini penting kerana haid ada kaitannya dengan ibadat. Apabila haid, mereka dilarang melakukan ibadat tawaf dan solat,” kata Pengurus Besar Bimbingan Tabung Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah ketika dihubungi baru-baru ini.

Sebab itu katanya, mereka yang mahu mengerjakan haji diwajibkan menghadiri kursus-kursus yang telah disediakan oleh Tabung Haji supaya bakal jemaah mempunyai ilmu untuk menunaikan ibadat tersebut.

Sekurang-kurangnya ilmu yang diperoleh itu boleh memberi panduan kepada bakal jemaah cara mana mengerjakan setiap rukun serta dan wajib haji dengan baik dan teratur. Ini memandangkan setiap rukun dan wajib haji berkenaan mempunyai syarat-syarat yang mesti dipatuhi.

Beliau turut meminta para jemaah mementingkan kesihatan khususnya ketika berada di Mekah, Arafah dan Mina kerana ibadat haji memerlukan kekuatan dari segi fizikal antaranya ketika melakukan tawaf, saie dan melontar.

“Kita tidak mahu ada jemaah yang tidak dapat menyempurnakan haji disebabkan masalah kesihatan. Yang paling kita bimbang sekiranya ada jemaah yang tidak dapat mengerjakan wukuf pada 9 Zulhijah. Jika ini berlaku tiadalah haji bagi jemaah terlibat. Tiada wukuf tiada haji,” katanya lagi.

Seperkara lagi, beliau memohon kepada para jemaah supaya sentiasa mematuhi undang-undang di Arab Saudi lebih-lebih lagi dengan suasana pergolakan yang berlaku di rantau Asia Barat ketika ini.

Antaranya beliau berkata, para jemaah dilarang keras menyertai mana-mana perhimpunan atau apa-apa aktiviti yang boleh membawa kepada perlanggaran undang-undang Arab Saudi.

Beliau berkata, pihak Tabung Haji juga ada menyediakan dua orang pembimbing agama di setiap maktab (penginapan jemaah) serta kemudahan Talian Ibadat (Taib) di talian 0125706161 (di Mekah) bagi membantu para jemaah menyelesaikan segala kemusykilan terutama berkaitan dengan ibadat haji dan umrah.

Pesan beliau, jangan sesekali mengambil nasihat daripada rakan-rakan sebilik kerana dikhuatiri pandangan mereka itu tidak tepat.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua jemaah agar jangan sesekali lupa Allah. Sentiasalah berdoa kepada Allah supaya kita diberikan perlindungan, kesihatan yang baik serta kemudahan sepanjang berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji. Moga-moga kita memperoleh haji yang mabrur,” katanya.

Hayatilah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 197: “Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal.”