Dalam menyusun GSPS efektif demi mencapai matlamat yang disasarkan, perancangan teliti amat diperlukan dan semestinya memerlukan maklumat sahih de­­mi andaian dan jangkaan apa yang akan berlaku menjadi ke­nyataan. Sebab itu dihujahkan se­tiap perkara berlaku terutama se­kali berkaitan politik, ia tercetus bukan secara tidak sengaja tetapi disusun sedemikian rupa.

GSPS paling ketara adalah strategi pelancaran manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilakukan secara tersusun dan terpe­rinci supaya peroleh impak paling maksimum. Mengapa dipilih hari pelancaran sehari selepas pembubaran parlimen adalah percaturan yang munasabah kerana perhatian yang diberi terhadap pelancaran manifesto BN dianggap luar biasa. Begitu jua dengan susunan pelancaran manifesto setiap negeri dan diikuti dengan manifesto khusus seperti untuk anak muda dan juga golongan wanita, itu semua adalah GSPS PRU yang begitu nyata.

Apabila tanggungjawab me­ngumumkan calon PRU BN diberi kepada setiap Pengerusi BN Negeri yang lazimnya sama ada Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri, maka langkah itu juga dianggap sebagai strategi GSPS kerana modus operandinya mengikut kaedah penyusunan pengumuman manifesto. Oleh ke­rana pemilihan calon adalah perkara sensitif dan sering timbul rasa tidak puas hati maka kesan negatif ini perlu diminimumkan, elak sindrom sabotaj dalaman.

Oleh kerana setiap negeri te­lah memperkenalkan sekurang-kurangnya 40 peratus muka baharu dan tidak kurang juga dengan kejutan tidak mencalonkan orang lama yang dianggap warlord politik kawasan masing-masing dan juga kejutan muncul semula beberapa ahli politik, maka sudah pasti isu calon adalah begitu panas yang memerlukan GSPS pa­ling efektif. Bersandarkan reaksi ter­hadap ketiga-tiga kejutan ter­sebut, maka percaturan strategi pengumuman agak menjadi ke­rana keterujaan yang dipamerkan bukan sahaja oleh penyokong BN tetapi juga yang berada di luar BN adalah begitu positif sekali.

Begitu jua keputusan penggunaan logo PKR sebagai logo bersama parti dalam gabungan pembangkang PKR adalah keputusan strategik kerana GSPSnya adalah untuk mengendurkan stigma DAP sebagai parti cauvinis satu kaum sahaja. Tetapi mungkin di atas kertas GSPS tersebut diandaikan begitu pintar sekali tetapi kadang­kala boleh menghasilkan keputusan yang tidak disangka.

Ini kerana penyokong DAP di­katakan begitu tegar sekali dan berkemungkinan GSPS logo PKR akan dianggap sebagai sikap mengalah DAP hanya untuk meraih undi simpati sedangkan DAP adalah parti paling dominan dalam gabungan pembangkang PKR. Jika diambil iktibar Pilihan Raya Kecil Teluk Intan pada 2014 yang mana DAP mempertaruhkan Dyana Sofya yang tidak sinonim dengan calon lazim DAP, ramai penyokong tegar mereka tidak keluar mengundi sebagai tanda protes. Maka akan berlakunya protes kali ini juga mempunyai kebarangkalian yang agak besar.

Apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan dua calon parti itu iaitu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Liew Chin Tong iaitu Pengerusi DAP Johor sebagai calon yang bakal dilantik sebagai menteri jika gabungan pembangkang PKR berjaya membentuk kerajaan, la­ngkah GSPS tersebut bukan bersandarkan kedua-duanya memegang jawatan pengerusi negeri masing-masing, tetapi lebih menjurus kedua-duanya bertan­ding masing-masing di Parlimen Te­luk Intan dan Ayer Hitam.

Seperti diketahui Presiden Ge­rakan, Datuk Seri Mah Siew Ke­ong akan mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan sementara Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pula akan mempertahankan kedudukan beliau di Ayer Hitam. Strateginya adalah dengan mengumumkan kedua-dua calon DAP sebagai calon menteri, GSPSnya adalah kaedah ini akan lebih menarik simpati pengundi supaya mengundi calon DAP.

Tetapi perlu berhati-hati de­ngan GSPS ekstrem sedemikian rupa kerana masyarakat Cina sudah begitu serasi dengan peranan Gerakan dan MCA sama ada dalam kerajaan BN peringkat Pusat atau negeri adalah begitu signifikan sekali. Strategi DAP untuk hapuskan secara menyeluruh parti komponen BN yang telah banyak berjasa kepada masyarakat Cina berkemungkinan juga boleh makan diri sendiri.

Sebab itu dalam melaksanakan percaturan politik, GSPS yang diamalkan perlu difikirkan dalam setiap sudut supaya untuk elak situasi tidak membuahkan manfaat tetapi yang lebih teruk memberi kesan negatif kepada pelaksana GSPS tersebut. Apabila PPBM mencabar secara perundangan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang menggantung sementara pendaftaran parti tersebut, strategi tersebut dianggap sebagai GSPS yang lazim dalam percaturan politik.

Apabila Mahkamah Tinggi mem­buat keputusan menggantung ke­putusan ROS, sememangnya ke­putusan ini dianggap sebagai kemenangan kepada PPBM. Tetapi timbul pula dilema baharu dalam kalangan ahli PPBM sama ada calon PRU mereka sepatutnya kekal mengguna logo PKR atau pun PPBM. Dilema ini diperkuatkan lagi dengan wujudnya bantahan daripada kalangan ahli PKR yang membantah penggunaan logo parti mereka terutama sekali calon daripada PPBM.

Sebab itu, amat kritikal bagi mereka yang mengatur GSPS, mu­ngkin nampak hebat tetapi hakikatnya isi hati sasaran iaitu mereka yang akan mengundi amat sukar untuk ditentukan secara sahih.