Sememangnya di dunia masih terdapat banyak negara yang mengamalkan sistem beraja, termasuklah Malaysia sendiri yang juga mempunyai sistem unik. Tetapi sistem beraja Thailand mempunyai susur galur purba yang bersejarah di samping menjadi pencorak politik rantau Asia Tenggara. Dengan, berakhirnya upacara itu, maka bermulalah era baharu Thailand di bawah Raja Maha Vajiralongkorn.

Dalam sistem beraja, era sesebuah negara itu diukur menurut tempoh seseorang raja bersemayam. Maka era Raja Maha Vajiralongkorn mempunyai cabaran yang mana Thailand yang diperintah oleh pihak tentera perlu melaksanakan transisi ke arah mengembalikan sistem demokrasi berparlimen dengan mengadakan pilihan raya umum dan penubuhan kerajaan awam.

Walaupun pada masa ini pihak tentera berkuasa tetapi Thailand adalah sebuah negara Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang perlu mengembalikan kuasa kepada perwakilan rakyat.

Di ASEAN pada masa ini, kesemua 10 negara anggota diperintah oleh kerajaan awam kecuali Thailand. Myanmar yang memiliki pengaruh tentera yang kuat telah turut memberi ruang kuasa kepada pentadbiran sivil yang diketuai oleh Kaunselor Negaranya, Aung San Suu Kyi. Prinsip ASEAN adalah tidak campur tangan hal ehwal negara anggota. ASEAN juga tidak menetapkan bahawa negara anggotanya mengamalkan demokrasi berparlimen dengan pelbagai parti. Vietnam dan Laos mengamalkan sistem politik komunis dengan satu parti menerajui negara. Di Brunei, sistem politik di sana ialah monarki mutlak.

Buat masa ini, negara-negara ASEAN yang mengamalkan sistem beraja ialah Malaysia, Brunei, Thailand dan Kemboja. Kecuali Brunei, yang lain mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan. Cumanya di Thailand, pihak tentera masih memegang kuasa, walaupun dalam sejarah modennya, Thailand sudah banyak kali menikmati pemerintahan awam. Tetapi pada waktu yang sama berlaku juga rampasan kuasa yang mengembalikan kuasa tentera.

Dalam sejarah Asia Tenggara moden, negara yang dilihat pernah mengalami pemerintahan tentera ialah Indonesia, Kemboja, Vietnam Selatan dan Thailand sendiri.

Tetapi dalam sejarah pramoden pula, keseluruhan Asia Tenggara diperintah oleh pelbagai kerajaan mutlak dengan kekuatan mereka terletak pada tentera masing-masing yang turut menakluki negara-negara jiran. Peperangan di antara kerajaan berlaku bersilih ganti. Ada kerajaan yang tumbang apabila dapat dikalahkan. Kesemuanya menggunakan kekuatan ketenteraan masing-masing.

Tetapi institusi raja tradisional di Asia Tenggara menjadi suatu tamadun besar dengan kedatangan agama-agama. Bermula dengan agama Hindu, Buddha dan akhirnya Islam. Sebelum kedatangan Islam, kerajaan Hindu-Buddha ini bertapak di seluruh bahagian Barat Asia Tenggara. Di Malaysia dan Indonesia, ia didominasi oleh kerajaan Sri Wijaya dan Majapahit.

Kerajaan-kerajaan besar Hindu-Buddha juga bertapak kuat di Myanmar, Thailand, Kemboja dan Vietnam. Peninggalan Angkor Wat di Kemboja dan Brobudur di Indonesia merupakan mercu tanda kebesaran zaman itu. Banyak antara kerajaan-kerajaan ini berperang di antara satu sama lain.

Perang antara Myanmar yang dahulu dikenali sebagai Burma dan Thailand yang dikenali sebagai Siam adalah amat sengit. Begitu juga antara Siam dan Khmer yang berada di Kemboja. Mereka adalah musuh ketat yang peperangannya tidak mengenal belas kasihan.

Di Asia, kerajaan Hindu-Buddha mendominasi seluruh benua. Daripada Afghanistan, India, Mongolia, China sampailah ke Jepun. Apabila Islam datang ke Asia Tenggara, sebahagian kerajaan-kerajaan itu bertukar agama.

Kerajaan Champa, Pattani, Melaka, Brunei dan banyak yang lain juga menjadi Islam. Ia meliputi sebahagian kawasan yang kini berada di Vietnam, Kemboja, Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Filipina.

Dominasi

Ketika penjajah Barat yang terdiri daripada Portugis, Sepanyol, Belanda, Perancis dan British sampai di Asia Tenggara, mereka dapati rantau ini didominasi oleh dua agama yang berkerajaan. Iaitu Buddha dan Islam. Kerajaan Buddha menguasai Burma, Siam, Kemboja, Laos dan Vietnam. Sementara kawasan lain dari Sumatera hinggalah ke Filipina, kerajaan Islam yang mendominasi. Kecuali Bali diperintah oleh kerajaan Hindu.

Tetapi akhirnya seluruh Asia Tenggara kecuali Siam telah jatuh ke dalam kekuasaan penjajah Barat. Semua kerajaan-kerajaan Islam di Filipina ditundukkan oleh Sepanyol. Di Hindia Timur yang kemudian menjadi Indonesia, Belanda membenarkan beberapa keluarga diraja di Sumatera dan Jawa terus bertakhta tetapi mereka tidak ada kuasa. Sementara British memerintah negeri-negeri Melayu termasuk Brunei dalam bentuk naungan.

Tetapi di Burma, kerajaan Buddhanya dihapuskan oleh British dengan peperangan berdarah. Sebelum kedatangan British, kerajaan Burma adalah setanding dengan Siam dan mereka sering berperang di antara satu sama lain. Setelah menakluki Burma, British mencantumkan negara itu dengan India yang dikuasainya. Di Indochina, Perancis menghapuskan semua raja di situ kecuali di Kemboja.

Maka Siam bertukar namanya menjadi Thailand untuk menampilkan sebagai sebuah negara moden. Ia dapat mengelak diri daripada dijajah. Kemampuannya berbuat demikian adalah antaranya kerana proses pemodenan yang dilakukan oleh Raja Mongkut diikuti dengan Raja Chulalongkorn bagi menguatkan negara mereka. Dalam sejarah Asia moden, tiga raja yang melakukan proses pemodenan pada zaman itu ialah Maharaja Meiji di Jepun, Raja Mongkut di Siam dan Sultan Abu Bakar di Johor.

Kemodenan dan pertahanan tradisi inilah yang dapat dilihat dalam upacara pengurusan kemangkatan Raja Bhumipol itu. Acara besar-besaran dengan pakaian tradisi tentera yang juga dipengaruhi oleh unsur Barat menunjukkan kesan-kesan bagaimana Siam dan Thailand dapat mengekalkan kedaulatan dan kemerdekaannya.

Antara proses pembaharuan yang dilakukan adalah terhadap perkhidmatan awamnya, ketenteraannya dan sistem politiknya. Sebab itulah Thailand muncul sebagai negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan walaupun demokrasi berparlimen banyak kali dibatalkan oleh pihak tentera.

Namun begitu ada tiga kekuatan lain yang turut wujud bagi mempengaruhi politik Thailand. Kekuatan itu ialah pihak agamawan Buddha, golongan pelajar dan intelektual serta kuasa rakyat biasa yang terdiri daripada petani, pekerja dan pekerjaan-pekerjaan lain.

Maka di atas segala mereka inilah terletak Raja Maha Vajiralongkorn yang diharap dapat menjadi penaung Thailand seperti mana ayahandanya berjaya menstabilkan negara dalam pelbagai situasi genting selama 70 tahun. Era Bhumipol adalah zaman selepas Perang Dunia Kedua. Kini zaman itu sedang ditinggalkan oleh rakyat Thailand untuk measuki Era Maha.

Dalam suasana hari ini, Thailand perlu berkembang bersama dengan negara-negara ASEAN yang lain. Melalui ASEAN, buat pertama kalinya kerajaan-kerajaan Asia Tenggara tidak berperang sesama sendiri dengan azam mengeratkan lagi hubungan negara anggota.