Menurut laporan, kota Marawi memang sukar untuk benar-benar dikuasai sepenuhnya. Keadaan bangunan dan rumah di situ membolehkan militan bersembunyi dan melancarkan perang gerila. Lebih-lebih lagi mereka yang berasal dari situ.

Dilaporkan juga bahawa 90 peratus penduduk Marawi telah dipindahkan bagi memudahkan tentera memburu para pengganas itu. Menurut Presiden Rodriguez Duterte, beliau mengarahkan supaya tentera seboleh-bolehnya mengurangkan kerosakan kolateral. Iaitu mengelak orang awam terbunuh dan harta benda rosak. Ini bagi mengelakkan penduduk tempatan tidak memusuhi tentera dan kerajaan. Jika penduduk tempatan memusuhi kerajaan, ia akan menimbulkan masalah lain yang berpanjangan.

Untuk itu, Duterte mengajak anggota kumpulan Islam dan komunis menyertai tentera Filipina untuk menentang pengganas. Malah beliau menawarkan gaji seperti tentera sekiranya mereka ikut bersama operasi. Setakat ini pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari menyatakan kesediaan pihaknya untuk menentang pengganas itu. Sementara Murad Ebrahim dari Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pula mengatur bantuan kemanusiaan bagi penduduk Marawi yang dipindahkan. Luis Jalandoni, ketua kumpulan komunis, Barisan Demokratik Nasional (NDF) juga menyatakan kesediaan untuk menentang para pengganas.

Tentera Filipina menggunakan bom tepat bagi menyasar para pengganas. Bom tepat atau precision bombings ini diharapkan dapat mengena sasarannya tanpa menyebabkan kerosakan kolateral yang besar. Tetapi tentera Filipina tidak cukup memiliki bom seperti ini. Maka mereka terpaksa juga menggunakan bom biasa. Kesannya berat apabila tanpa sengaja ia digugurkan pada tempat tentera Filipina sendiri. Pada Khamis lalu 11 orang tentera Filipina terkorban kerana bom sendiri.

Apa yang menyukarkan peperangan seperti ini, pihak pengganas boleh menyelinap dalam kalangan orang awam untuk mereka bersembunyi atau lari. Tidak diketahui berapa orang pengganas Maurte ini. Terdapat anggaran dari 100 hingga 500 orang. Ada yang sudah dibunuh dan ditangkap. Antara yang terbunuh didapati adalah kalangan orang asing. Ada yang asal Malaysia, Indonesia, Singapura, Arab Saudi, Yaman dan Chechnya. Maknanya hubungan Maurte dengan Daesh bukan saja berbentuk baiah tetapi juga dari segi keanggotaannya.

Bagaimanapun dikatakan bahawa kebanyakan anggota kumpulan Maurte adalah asalnya orang Kristian yang memeluk Islam. Menurut Duterte, kumpulan ini diasaskan dua bersaudara Omar dan Abdullah Maurte yang asalnya adalah bekas pegawai polis Filipina yang terlibat dengan pengedaran dadah. Menurutnya, mereka mempunyai kilang syabu terbesar di wilayah Lanao del Sur, yang mana ibu kotanya ialah Marawi.

Daripada keuntungan lumayan penjualan syabu itu, Maurte bersaudara ini menubuhkan kumpulannya untuk menentang kerajaan. Sebabnya ialah kerajaan memburu mereka kerana pengedaran dadah itu.

Bagi mengukuhkan kumpulan itu, Maurte mengundang Isnilon Hapilon dari Abu Sayyaf sebagai amir atau ketua kumpulan itu yang diisytiharkan sebagai Daesh bagi Asia Tenggara. Isnilon Hapilon mendapat lantikan daripada ketua Daesh antarabangsa di Iraq iaitu Abu Bakar Baghdadi. Maka sebab itu Maurte menggunakan bendera Daesh dan manual kumpulan itu.

Dengan manual Daesh, kumpulan ini menjadi ganas. Di Marawi itu mereka menculik dan membunuh. Mereka menahan orang tempatan dan membunuh sesiapa yang tidak boleh membaca sebarang ayat al-Quran. Mayat-mayat dicampak ke gaung. Begitulah apa yang dilaporkan. Kekejaman mereka itu dilihat sebagai kebiasaan apa yang dilakukan oleh Daesh. Iaitu tiada belas kasihan dan tidak berperikemanusiaan.

Menyertai

Dalam perang ini, turut menyertai Maurte ialah anggota Abu Sayyaf yang datang dari wilayah lain. Begitu juga dengan kumpulan Bangsamoro Islamic Freedom Fighters (BIFF) yang berpusat di Maguindanao.

Penawanan Marawi oleh Maurte bukanlah sesuatu yang dirancang. Sememangnya Daesh antarabangsa mahu bertapak di Filipina sebagai pangkalan paling mudah di Asia Tenggara kerana keadaannya yang berada di luar kawalan kerajaan. Anggota Daesh asing sudah pun masuk ke Filipina, malah di Marawi tetapi mereka tidak membuat sebarang serangan. Walaupun sebelum itu ada serangan di kota Davao.

Kumpulan Maurte asalnya bergerak di pegunungan dan pihak tentera sentiasa memburu mereka untuk menangkap Isnilon Hapsilon. Pada Disember lalu, mereka mengugut kerajaan Filipina. Jika tentera terus memburu Isnilon, mereka akan turun ke Marawi. Duterte kata: Walang problema (Tak ada masalah).

Memang rupa-rupanya kumpulan Maurte itu memenuhi ugutannya dengan menawan kota Marawi. Mereka ambil alih lapangan terbang, hospital dan Mindanao State University. Mereka menurunkan bendera Filipina dan menaikkan bendera hitam Daesh.

Perkembangan ini mengejutkan bukan saja bagi kerajaan Filipina tetapi juga negara-negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia. Ia juga mengejutkan dunia. Ketika wilayah Daesh di Iraq dan Syria semakin kecil. Iaitu kota-kota taklukan mereka seperti Mosul di Iraq dan Raqqa di Syria telah terlepas, tiba-tiba Marawi pula yang tumbang ke tangan Daesh.

Duterte komited untuk menawan kembali Marawi dan mengalahkan keganasan di negara itu. Tetapi seperti kenyataan yang dikeluarkan dari Istana Malacanang, Filipina memerlukan apa saja bantuan bagi mengalahkan Muarte-Daesh ini, bukan saja dari segi ekonomi tetapi juga ideologi.

Dalam hal ini rakyat Filipina sendiri diseru supaya bersatu, tanpa mengira agama atau ideologi. Sama ada Kristian mahupun Islam, sama ada kiri ataupun kanan, mereka mesti bersatu menentang pengganas. Ini bukan soal Kristian lawan Islam, atau kerajaan lawan pemberontak, tetapi ia adalah perlawanan antara keselamatan dan kekacauan.

Ia bukannya mudah. Ada pelbagai kaedah bagi mengalahkan keganasan dan perkara ini sudah lama dibincangkan di banyak tempat. Tengok gayanya Duterte mengambil jalan keras dengan mengisytiharkan undang-undang tentera yang memberikan banyak kuasa kepada angkatan bersenjata untuk bertindak apa saja bagi mencapai matlamat.

Pilihan kaedah keras oleh Duterte tidak mengejutkan. Sejak menjadi presiden, beliau telah mengambil jalan keras bagi mengatasi masalah pengedaran dadah. Tindakan polis yang keras itu menimbulkan kritikan daripada pihak-pihak pemantau hak asasi. Tetapi Duterte percaya dengan cara itu.

Adakah Duterte akan berjaya mengalahkan keganasan ini? Tetapi apa yang jelas Daesh tidak akan berjaya. Ini kerana mereka kejam. Penduduk tempatan Marawi atau Mindanao keseluruhannya tidak akan menyokong Daesh.

Akhirnya hanya fahaman nasionalisme Filipina yang jika dilaksanakan secara adil pada semua rakyatnya akan menyelamatkan negara itu daripada kancah kekacauan yang selama ini merundung pulau Mindanao.