Dalam tiga pilihan raya umum termasuk Pilihan Raya Umum ke-14, tumpuan ramai dihalakan pada salah laku dan tindakan yang boleh dikatakan menyalahi etika oleh parti pemerintah, terutama melibatkan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan.

Kempen penyebaran maklumat ini menumpukan pada personaliti dan amat kuat bergantung pada eksploitasi emosi orang ramai, hingga mencorakkan bentuk dan kandungan wacana politik negara.

Kempen ini berjaya membina satu mood sikap negatif terhadap BN hingga ke pilihan raya 9 Mei, 2018, yang akhirnya menumbangkan kerajaan BN dan meletakkan PH sebagai parti pemerintah di Putrajaya dan beberapa negeri.

EMOSI, SENTIMEN

Momentum gelombang yang dibina semakin kukuh dengan isu 1MDB dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang berjaya mengeksploitasi keresahan dan kesukaran yang dirasai ramai - dihalakan sepenuhnya pada parti pemerintah BN dan perdana menterinya.

Hal ini menjelaskan satu tumpuan yang besar diberikan pada kempen propaganda (disinformation, misinformation) dengan penyebaran meluas maklumat yang dipersenjatakan, yang secara mudahnya disebut sebagai berita palsu.

Maka, politik negara atau lebih tepat lagi wacana nasional politik negara, berlegar sekitar isu-isu yang sensasi, membangkit dan mengeksploit emosi, mengukuhkan kepuakan dan sangat melebarkan polarisasi yang sudah sedia wujud.

Tidak dapat dinafikan emosi dan sentimen akan sentiasa menjadi satu bahagian besar dalam politik, terutama proses politik yang melibatkan orang ramai seperti pilihan raya, yang sangat memerlukan penyebaran maklumat.

Walau bagaimanapun, sejak dua dekad lalu, bermula pada masa kebangkitan politik yang dikenali sebagai gerakan reformasi pada 1998, tahap emosi dan propaganda politik menjadi semakin agresif.

Seperti drama kesukaan ramai, yang menarik tumpuan pelbagai lapisan masyarakat, wacana politik Malaysia juga dibentuk seperti drama yang mudah menarik tumpuan dan mengeksploit emosi orang ramai.

Secara mudahnya, wacana politik dibentuk dengan naratif elit yang terasing daripada masyarakat dan berperwatakan jahat. Disebabkan keperluan skrip ini, watak-watak tertentu dibina selama bertahun-tahun secara agresif, sehingga tertanam dalam minda orang ramai imej jahat itu.

Akhirnya, tumpuan pada personaliti, yang sudah sedia berlebihan dalam wacana politik negara kita, menjadi semakin kukuh, hingga perbincangan hal-hal lain seperti pembinaan dasar, isu penting seperti ekonomi rakyat, kesihatan, alam sekitar dan sebagainya yang penting sebagai input untuk membina tindakan dan dasar, terus tenggelam.

Ini ialah akibat langsung yang kekal dirasakan dalam politik negara, dan perkembangan yang telah lama dikukuhkan ini tidak kelihatan akan dapat ditangani dengan baik oleh penggiat politik yang aktif, daripada ahli politik sendiri hingga ke aktivis termasuk yang terlibat dalam kempen propaganda.

PERSONALITI POPULAR

Wacana politik negara terus kekal berpusat pada personaliti, hingga jenama selipar dan makanan tambahan yang digunakan tokoh-tokoh tertentu mencetuskan cerita yang berpanjangan di media, dan disambut dengan teruja oleh orang ramai.

Sejarah tumpuan pada personaliti ini paling mudah diperhatikan bermula pada 1998, tahun pertembungan dua personaliti penting dalam politik Malaysia, dua personaliti yang kini berada dalam gabungan parti dan kerajaan yang sama.

Di peringkat pengikut, pergantungan pada personaliti ini, sebagai pemimpin dan panduan dalam segala sikap dan pendirian politik amat kuat, hingga mewujudkan pengkultusan.

Hal ini disedari oleh mereka yang terlibat dalam pengurusan melibatkan politik pemimpin masing-masing, yang turut terkait dengan kedudukan pemimpin itu dalam parti dan dalam masyarakat umum.

Personaliti popular ini dijadikan sandaran paling utama, maka amat penting bagi mereka memelihara dan mengukuhkan lagi imej yang telah dibina itu.

Pada masa sama, maka menjadi sesuatu yang amat penting juga personaliti lain, pemimpin lain yang boleh menyaingi pemimpin yang mereka kultuskan, terus diburukkan, secara berterusan agar tidak dapat dipulihkan.

Usaha membina dan mengukuhkan imej pemimpin tadi dilakukan secara berterusan bukan sahaja oleh pengikut yang setia dan naif, tetapi juga oleh pengikut dekat yang turut mempunyai kepentingan kedudukan dan perlu bergantung pada pemimpin terbabit.

Maka pengkultusan ini terus kukuh, dan menjadi satu bahagian besar yang menguasai perbincangan dan pertimbangan penggiat dan pengikut politik.

Ini bertentangan sama sekali dengan slogan-slogan dan seruan-seruan yang dijadikan bahan kempen populis, yang mengaitkan segalanya dengan “rakyat.”

TUGAS SUKAR

Sepanjang kempen menjelang pilihan raya umum yang lalu, slogan seperti “Bina semula negara” dan sebagainya disebarkan kepada umum, satu slogan yang memberi gambaran satu tugas besar yang sukar.

Malangnya selepas menang, tumpuan dan obsesinya kekal pada personaliti, pada usaha seorang pemimpin untuk mendaki ke puncak kuasa menjadi perdana menteri dan di satu pihak lain, mempertahankan pemimpinnya daripada digugat oleh bakal perdana menteri tadi.

Melalui inilah kempen maklumat salah mudah dijalankan dan semakin mudah diterima dan menjadi makanan ruji dalam politik, iaitu apabila emosi menjadi tunjang utama wacana politik.

Fokus pada personaliti ini paling mudah membangkit emosi dan sentimen, dan sekaligus mendedahkan pengikut dan orang ramai pada maklumat salah atau berita palsu yang menepati naratif yang dipegang dan dijadikan asas pendirian politik.

Inilah satu akibat kempen propaganda yang telah digerakkan oleh satu pihak dalam usaha memperoleh kuasa. Akibatnya, satu suasana polarisasi yang sengit, kepuakan yang merosakkan dan secara umumnya satu suasana toksik yang terbina kesan meresap dan mengukuh dalam minda orang ramai.

Dalam era penyebaran maklumat yang pantas melalui media di peralatan elektronik peribadi yang sudah menjadi arus perdana pada masa ini, akibat ini amat sukar disekat dan terus menunjukkan akibat buruknya, hingga kerajaan hari ini yang selama ini menggunakannya mula memikirkan langkah Orwellian menggubal peraturan menyekat penyebaran maklumat yang boleh merugikan mereka itu.

PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.